Friday, October 14, 2011

Selamat Ulangtahun Kelahiran Blog Cahaya Puisi!



Usia Blog Cahaya Puisi ini genap 6 tahun pada 8 September 2011 yang lalu. Uish, sudah 6 tahun rupanya dalam tak sedar aku ini. Waktu telah mendewasakan dan mengilmuankan ramai kenalan dan sahabat ku yang lain.

Aku mengunci diriku dalam waktu. Seperti orang dalam gua yang menghadkan apa yang boleh kubuat. Memang sangatlah bebal. Bebal kerana meletakkan sepenuhnya perhatian kepada pekerjaan yang tidak menjanjikan aku apa-apa pun. Sebagai pejuang organisasi bertaraf bukan anak gahara a.k.a kuli mengikut kertas janji yang disambung-sambung setiap 2 tahun, aku begitu tekun dalam usahaku. Mungkin sehingga aku terkorban? Hampir 1 dekad aku menjunjung di atas batu jemala ini dengan penuh kesetiaan. Sehingga kini masih setia. Mungkin sudah terkorban pun. Terkorban masa untuk diri dan keluarga. Oleh itu, aku harus bijak membahagi masa. Bijak meletakkan yang mana dan bila perlu mendahulukan sesuatu yang lagi utama.

Berbicara tentang aku kuli mengikut janji yang ditempel setem hasil negara ini, memang aku sudah diperingat supaya tidak perlu mengeluh kesah tentang untung nasib. (Nasib kaulah siapa suruh jadi hamba). Maka, aku perlu berusaha untuk memecahkan rantai yang menjerut leher kehidupan ini. Usaha yang tegas demi mengeluarkan diri dari gua gelap ini.

Namun bagi sesetengah golongan, yang sememangnya lemah ekonomi, pengetahuan dan persekitaran tidak dapat dipersalahkan atas daya usaha mereka yang lemah. Sifat ekonomi kini amat keras kepada mereka yang lemah ini.

Bagi hamba marhaen yang juga penjerit aman dari Kedah (Tahniah! Sultan Kedah dilantik sebagai Yang Dipertuan Agong)bergelar Persatuan Orang Kedah Anti Inflasi atau POKAI, aku tabik kerana menyuarakan pendapat kalian supaya kerajaan memantau harga barang yang semakin meningkat dan menindas masyarakat terutama yang di luar bandar.

Aku menyaksikan negara ku ini memelihara golongan peniaga aristokrat yang so called konglomerat dengan menyuakan terlalu banyak suapan yang lahap-lahap sehingga tidak perasankan yang kurus-kurus yang perlu makan hanya tinggal nasi beberapa butir sahaja untuk dikongsi ramai-ramai.

Juga negara kita ini, yang punya pinggan kecil inilah yang menyuakan butir-butir nasi mereka ke dalam pinggan besar golongan kapitalis yang gah dengan teori ekonomi iaitu siapa hebat dialah yang mengaut kekayaan yang berasaskan teori ekonomi pasaran bebas yang dikembangkan daripada teori pasaran bebas Adam Smith itu. Walau pun, bukan salah Tuk Adam Smith dengan gagasannya. Ia telah diperkembang selama beratus tahun oleh segelintir manusia hebat yang berhasil dari fahaman ekonomi bebas itu sendiri dan kini mencengkam dunia dengan kuasa wang dan saham. Orang sebut sebagai kapitalisme. Di wall street government sistem ini berleluasa. Sehingga fahamnya menakluk universiti ekonomi tersohor dunia.

Negarawan harus perasankan suara Persatuan Orang Kedah Anti Inflasi(POKAI)itu walaupun tidak sehebat suara daripada Occupy Wallstreet.



Sebab itulah jiwa kita harus sama sepakat menjeritkan pendapat, HENTIKAN KETAMAKAN, BANTULAH YANG SUSAH.

1 comment:

SweetMelody said...

My greetings from France! After visiting your blog, I could not leave without putting a comment.
I congratulate you on your blog!
Maybe I would have the opportunity to welcome you on mine too!
My blog is in french, but on the right is the Google translator!
good day
cordially
Chris
http://sweetmelody87.blogspot.com/