Wednesday, November 30, 2011

Menari Seperti Bayangku


Bila ku berjalan di atas dunia
Bayang ku sedang menari-nari
Seperti anak kecil yang bahagia
Kaki menginjak ke bumi dan kadang terbang ke langit
Manjadi pari-pari mencari cita-cita
Lalu menggapai awan setinggi langit tujuh

Namun aku di dunia
Masih berpijak di bumi nyata
Mengharapkan dapat menari-nari seperti bayang ku

Lalu aku berjalan mencari ketenangan
Dan ku temui pintu ke alam itu
Lalu ku menerjah kearahnya
Kerna ku tahu disana menanti
Lalu ku turut hati penuh cinta
Dan ku temui sebuah dunia

Ku tanya apa ada padamu
lalu ku ditunjukkan cinta yang warna warni
Tiada lagi aku mencari cinta yang lain

Cinta Hampagas Sehingga Supernova


waktu terputar dalam ingatan

seperti mesin masa yang tak ku pesan

mengesani watak dirimu..setiap senyuman



aku tak perlu melihat

langkah yang sama menjauh dari ku

bukan aku tak kuat

cinta itu sudah ke ruang hampa gas

tiada rasa tiada nyawa tiada nafas



aku tak perlu jadi astronaout

mencari sisa cinta dalam sut putih

biar masa terdiam buat cinta itu

sehingga supernova matahari


Puisi ini ditulis pada 5 Disember 2010 jam 4:22 pagi. Menulis puisi ini untuk seorang sahabat Saudari Fid Epifid yang sedang berduka lara saat itu supaya dapat diciptakan melodinya. Kesibukan masa menyebabkan angan-angan menjadikan puisi ini bermelodi masih belum kesampaian.

Teringat kembali 'wishlist' yang masih belum terlaksana, belajar main keyboard...lari kepada idea keyboard sebab tak mahu sakit jari main gitar. hahahaha...

Tuesday, November 29, 2011

Warna Imaginasi


Pilih warna utk langit hati ku,
yang ada warna cinta,
langit yang menjadi nadi setiap pohon,
yang menjadi rindu setiap unggas,
rumput yang hijau tak pernah panas

melihat dunia dari mata ku
hidup setiap butirnya indah
dan benarkan warna imaginasi
menyerlahkan keindahan dunia

Pilih warna utk langit hidupku,
yang ada warna tinta,
yang ditulis jadi makna,
yang dibaca jadi mimpi,
yang disentuh jadi nyata
pelangi itu selendangku
warna imaginasi
ku lukis jadi pelangi dan
pelangi itu selendangku

yang tidak melangkah dari ruang waktu....


Membiarkan waktu berputar
Sepertinya aku telah terhenti
diruang antaranya
Melihat mereka berjalan
Siang dan malam tanpa henti
Dengan rencam alasan dan tujuan
untuk miliki dunia

Tika langit malam
Gelap bagai menikam
cahaya lampu berpesta
Hingga dilawani cerahnya mentari
Masa terus berputar
Tanpa melihat ada
yang tertinggal
di ruang antaranya

yang tidak melangkah dari ruang waktu....

Terbang Untuk Semua Yang Merdeka


kota ini ibu
kota ini teras
kota ini nadi
kota ini badi

ia nadi dunia
ia memberi bahagia
buat yang mengukur
dengan jenama rupa

limpahan rona ria
melimbah ke desa
meratah jiwa muda
kota ini jingga citranya

pemuka kota
mendabik rasa
kotaku mulia
kotaku adikara

adikuasa dan pemuka
mari lihat dalam kotamu
jelata melata tak tertanggung kata
ada yang melayah langkah
ada yang tabah melasah
ada yang lemah mengah
ada yang sungkur lacur

kota ini mestika para kapitalis
gemala sakti tercantik
yang memugar cinta
para pemuka kota

kota ini persada para politikus
mengapung mantera meta
yang menyalakan sumbu rasa
para rakyat jelata

Bukakan pintu jiwa
Yang menemukan pancaindera

bahawa kota ini menangis
di persada kapitalis
bahawa kota ini merengus
di bawah pentas politikus
bahawa kota ini memberita
ia untuk mata yang punya jiwa
ia untuk jiwa yang punya sayap
bahawa terbang itu untuk semua yang merdeka

Thursday, November 10, 2011

Apa-Apa Dalam Fikir 1

Apa yang aku perlukan adalah kekuatan dan tindakan. Dalam kotak yang tidak menyelesakan ini, aku menyungguhinya dan aku membencinya. Masa untuk mendapatkan nasihat daripada En Andrew Matthews lagi...

Tewas..,tewas pada kepenatan, perasaan seperti jiwa yang ditimpakan batu...

Betapa banyak yang bersimpangan di dalam fikiran, yang jenuh dan memberat dalam alir fikir. Sindrom bulan November dan Disember melanda. Melanda siapa saja yang bertugas di sektor pengurusan kewangan. Kalau boleh rasanya hendak ku buang dua bulan itu dari kalendar. hahaha

Secebis perasaan dari seorang degil yang keletihan dan kecamuk. Dan belum memiliki basikal yang dirancangkan. Damn. Mungkin aku patut tulis lagu untuk ini.

Wednesday, October 19, 2011

Seorang Degil


Aku seorang yang degil. Degil dalam banyak hal. Dalam pemikiran, kehendak dan konsep perspektif yang ku dukung. Namun, aku bertoleransi juga walau orang lain tidak mahu menerima konsep tersebut. Lalu aku berdegil dalam diriku sahaja.

Sewaktu zaman sekolah, aku pernah berdegil dengan keluargaku kerana tidak mahu mengambil aliran sains dan menukar ke aliran sastera. Sayang aku tak cukup berdegil rupanya. Aku tidak meneroka bahawa sastera itu satu dunia yang sangat besar dan begitu banyak pemainnya dan pejuangnya. Aku menyekat diri pada buku-buku teks. Aku tak cukup degil.

Mendapat tawaran ke maktab perguruan di Terengganu, aku tolak mentah-mentah. Aku degil, kerana tak mahu bertudung labuh dan tidak mahu hanya mempunyai sijil perguruan tanpa ijazah. Aku mahu ke menara gading, tetapi aku tak cukup berdegil untuk meneruskan perjuangan mendapatkan ijazah dalam bidang yang diminati. Aku terjun ke matrikulasi perakaunan kerana tidak cukup degil melawan pesan guru bahawa masuk ke matrikulasi itu bermakna sebelah kaki sudah ke universiti. Selamat.

Aku tak cukup degil.

Namun, aku tetap bersyukur memiliki diri ku yang ada pada hari ini. Manusia boleh menjadi mahir dalam apa jua yang urusan dengan cara belajar mengenainya daripada pembimbing berpengalaman, pengalaman, bacaan dan persekitaran. Ia adalah kehendak diri.

Aku tahu aku tak cukup degil demi cita-cita kerana degilku kini dalam hal yang lain pula. Degil mengerjakan kerja ku dengan tekun walau ia mengorbankan jiwa dan ragaku.

Aku mesti belajar degil untuk diri sendiri. Inilah hikayat seorang degil yang belum cukup degil. Hahahaha...

Membaca penerangan sebuah buku bahawa seorang yang berbintangkan Cancer adalah seorang yang keras hati bercampur hati perasa dan pembawa PMS sampai bila-bila...hahaha. Mungkin ada benar dan ada juga yang tidak. Kerana dengan masa mendewasakan manusia dan pengertian hidup semakin meluas dalam cakerawala fahaman.

Menulis ini, memenuhi satu cita-cita kecilku sekarang. Supaya aku menulis di blog ini setiap minggu. Supaya blog ini hidup sehingga saat satu masa tidak lagi aku dapat menulisnya. Syukur pada Allah SWT...aku tulis lagi. Tulis dengan tanpa peraturan.. yeeehaaaa....layan.

Friday, October 14, 2011

Selamat Ulangtahun Kelahiran Blog Cahaya Puisi!



Usia Blog Cahaya Puisi ini genap 6 tahun pada 8 September 2011 yang lalu. Uish, sudah 6 tahun rupanya dalam tak sedar aku ini. Waktu telah mendewasakan dan mengilmuankan ramai kenalan dan sahabat ku yang lain.

Aku mengunci diriku dalam waktu. Seperti orang dalam gua yang menghadkan apa yang boleh kubuat. Memang sangatlah bebal. Bebal kerana meletakkan sepenuhnya perhatian kepada pekerjaan yang tidak menjanjikan aku apa-apa pun. Sebagai pejuang organisasi bertaraf bukan anak gahara a.k.a kuli mengikut kertas janji yang disambung-sambung setiap 2 tahun, aku begitu tekun dalam usahaku. Mungkin sehingga aku terkorban? Hampir 1 dekad aku menjunjung di atas batu jemala ini dengan penuh kesetiaan. Sehingga kini masih setia. Mungkin sudah terkorban pun. Terkorban masa untuk diri dan keluarga. Oleh itu, aku harus bijak membahagi masa. Bijak meletakkan yang mana dan bila perlu mendahulukan sesuatu yang lagi utama.

Berbicara tentang aku kuli mengikut janji yang ditempel setem hasil negara ini, memang aku sudah diperingat supaya tidak perlu mengeluh kesah tentang untung nasib. (Nasib kaulah siapa suruh jadi hamba). Maka, aku perlu berusaha untuk memecahkan rantai yang menjerut leher kehidupan ini. Usaha yang tegas demi mengeluarkan diri dari gua gelap ini.

Namun bagi sesetengah golongan, yang sememangnya lemah ekonomi, pengetahuan dan persekitaran tidak dapat dipersalahkan atas daya usaha mereka yang lemah. Sifat ekonomi kini amat keras kepada mereka yang lemah ini.

Bagi hamba marhaen yang juga penjerit aman dari Kedah (Tahniah! Sultan Kedah dilantik sebagai Yang Dipertuan Agong)bergelar Persatuan Orang Kedah Anti Inflasi atau POKAI, aku tabik kerana menyuarakan pendapat kalian supaya kerajaan memantau harga barang yang semakin meningkat dan menindas masyarakat terutama yang di luar bandar.

Aku menyaksikan negara ku ini memelihara golongan peniaga aristokrat yang so called konglomerat dengan menyuakan terlalu banyak suapan yang lahap-lahap sehingga tidak perasankan yang kurus-kurus yang perlu makan hanya tinggal nasi beberapa butir sahaja untuk dikongsi ramai-ramai.

Juga negara kita ini, yang punya pinggan kecil inilah yang menyuakan butir-butir nasi mereka ke dalam pinggan besar golongan kapitalis yang gah dengan teori ekonomi iaitu siapa hebat dialah yang mengaut kekayaan yang berasaskan teori ekonomi pasaran bebas yang dikembangkan daripada teori pasaran bebas Adam Smith itu. Walau pun, bukan salah Tuk Adam Smith dengan gagasannya. Ia telah diperkembang selama beratus tahun oleh segelintir manusia hebat yang berhasil dari fahaman ekonomi bebas itu sendiri dan kini mencengkam dunia dengan kuasa wang dan saham. Orang sebut sebagai kapitalisme. Di wall street government sistem ini berleluasa. Sehingga fahamnya menakluk universiti ekonomi tersohor dunia.

Negarawan harus perasankan suara Persatuan Orang Kedah Anti Inflasi(POKAI)itu walaupun tidak sehebat suara daripada Occupy Wallstreet.



Sebab itulah jiwa kita harus sama sepakat menjeritkan pendapat, HENTIKAN KETAMAKAN, BANTULAH YANG SUSAH.

Thursday, October 13, 2011

Mula Dengan Impian Kecil

Aku memberitahu diriku. Mulakan mencapai impian yang kecil-kecil dan teruskan untuk mencapai impian yang lebih dari yang kecil itu sehinggalah mencapai impian yang besar-besar.


Kalau impian memiliki basikal lipat Dahon Speed TR seperti di atas ni, bukan impian kecil ni. Ini besar sebab harganya besar..muahahaha..

Apatah lagi basikal Dahon Vector20 yang berwarna merah hitam seperti ini..ahhh.



Namun, impian itu harus dikecilkan supaya ia mampu untuk dicapai. Mula mencari basikal biasa-biasa saja. Jika kita sentiasa meletakkan syarat yang tinggi ke atas kemahuan diri kita sendiri, kita tidak akan mencapai impian sendiri. Jadi longgarkan syarat dan mudahkan menerima sesuatu yang kurang daripada kehendak diri. Kita masih boleh mencapainya. Apa yang paling penting, adalah makna impian itu tercapai. Jadi, aku sedang 'mengusha' basikal. Biarlah ia tidak se 'vector 20' atau 'speed tr', hahaha..tetapi cantik di mata hati ku. Seperti basikal di bawah ini, tak pasti siapa pemiliknya, yang pasti dia tinggal di Marrakech dan gambar basikalnya dipaparkan oleh blogger bernama Maryam ini. Sangat cantik.'Beautiful indeed'.



Picture Source: http://moroccanmaryam.typepad.com/my_marrakesh/2011/05/marrakech-and-a-tale-of-a-beautiful-weekend.html

Dan bercakap tentang Marrakech, aku sudah lama jatuh cinta dengan Morocco. Impian besar yang disimpankan sejak lama. Dan menonton rancangan Jamie Oliver Does Marrakech sedikit sebanyak mengubat rindu. Arghh...atau semakin merindu untuk menjejak kaki ke sana.



Bazar mejual rempah di Marrakech antara daya menarik...salah satu sebab mengapa harus ke sana. Gila rempah..hahaha..



Dan makan malam di Marrakech. Morocco seperti sebuah misteri yang tersimpan tetapi disingkap keindahannya dengan keenakan makanannya. Begitulah yang selalu ku baca. Mungkin aku akan tiba atau mungkin juga aku tidak akan tiba langsung ke Morocco. Impian besar yang ku simpan sejak lama.

Tak mengapa yang penting aku mula menulis..haha seperti bayi yang baru menapak dan mahu berlari. Ada masa nanti, mahu ku tuliskan pengalaman menjejak kaki ke Nigeria pula. Miahahahaa..

Tuesday, October 04, 2011

Dunia Dua Dimensi

Mempunyai satu dunia yang lain pada waktu menjalani hidup dalam satu dunia yang serba keras dan membatu adalah memenatkan. Di pejabat, aku menganalisa data-data numerikal, memecahkan ia menjadi ayat-ayat dan gambaran yang boleh dibentangkan. Kadangkala sibuk mengarang kertas kerja dan kertas ringkasan yang langsung tak ringkas untuk pelaksanaan dasar atau dalam kata lain untuk 'kick start' pelaksanaan dasar baru untuk mencapai sesuatu sasaran yang khusus. Erghh...di sini, daya kreatif untuk merepek semahu apa yang aku suka adalah terlarang sama sekali..hehehe..

Di suatu dimensi yang lain, aku masih anak muda yang segar dengan pemikiran dan idea yang cerah seperti sedang melihat utopia. Atau boleh juga aku pilih untuk menjadi seorang anak muda yang menyusur jalan di pinggir hutan sambil menari-nari bersama bayanganku dan tatkala hujan gerimis, aku menyambutnya dengan senyum manis. Lalu di tepi jendela, dengan mejaku yang menghadap ke luar jendela yang menghijau dengan pepohon, aku menuliskan bait-bait cintaku yang diturunkan dari langit. Ilham dari Allah Yang Maha Agung dan Maha Mengetahui segalanya.

Begitulah aku dengan dunia dua dimensi ku. Terkadang aku ingin mencari kunci ke alam yang lagi satu dengan segera apabila dunia yang satu lagi kalut atau penuh kepuraan.
Di dunia yang satu lagi, aku menemui keindahan dalam jiwa. Perasaan aku bertukar menjadi bunga yang mekar dan berwarna. Yippaa....dan bibirku jadi merah kemilau seperti bibir Andrea yang manis setelah meninggalkan Miranda di hadapan 'fountain on the Place de la Concorde'. ..ahaks...layan kan saja..

Monday, October 03, 2011

Membayangkan Ariyatna Wisesa

Membayang Ariyatna Wisesa dalam pengembaraannya. Rugi sekali tiada skil melakar dan melukis gambaran sendiri. Sedikit sebanyak, inilah gambaran awal tentang Ariyatna. Sebenarnya aku membayangkan Ariyatna seorang wanita yang mempunyai tangan yang kuat, tegap tetapi sederhana tubuh badannya. Matanya yang bundar dan berwarna perang. Seperti Fantaghiro...hahaha...layankan saja.



Picture Source:
Sasha-Blood and Steel Book 1
Author: Joel Shepherd
Publisher: Orbit
Genre: Fantasy

Sunday, October 02, 2011

Siapa dia Ariyatna Adreuarsa?

Siapakah dia Puteri Ariyatna Adreuarsa?

Nama sebenarnya adalah Ariyatna Wisesa. Gadis ini adalah puteri sulung Maharaja Yura Wisesa. Dia seorang gadis yang rancak permainan ilmu bahasa, ilmu main pedang, ilmu sejarah, ilmu perubatan, ilmu ratna, ilmu peperangan seperti putera-putera Kerajaan Daluwarsa yang lain.

Walau bagaimanapun, maharaja berharap puterinya adalah pilihan terakhir mewarisi kerajaannya kerana Putera Aomiya atau Putera Aoriyan adalah sandaran harapannya.

Puteri Ariyatna adalah Puteri Daluwarsa dan seorang Puteri Daluwarsa yang berkahwin akan memberikan kuasa kepada suaminya memerintah.

Raja Yura Wisesa tidak mahu perkara itu berlaku. Hanya darah Wisesa patut memerintah Kerajaan Daluwarsa. Bukan darah Adreuarsa, apatah lagi orang kebanyakan. Arghh..Adreuarsa, jika keturunan mereka masih wujud di muka bumi, akan dicari hingga ke lubuk sungai atau celah batu. Selagi Putera Aomiya tidak mencapai umur kemahkotaan, Puteri Ariyatna tidak boleh berkahwin.

Lalu puteri itu,meninggalkan istana demi memperolehi kepercayaan ayahnya dan melafazkan ikrar setianya,"Raja Yura Wisesa, ayahanda ku. Aku mahu mencari restu dan kasih mu dalam kemegahan mu memiliki Putera Aomiya dan Putera Aoriyan. Aku mahu meninggalkan gelaran kurniaan mu yang membuang ku jauh daripada kepercayaan mu. Aku rela meninggalkan istana kemewahan ini demi untuk aku memberikan kegemilangan untuk mu."

"Aku Puteri Ariyatna anakanda Raja Yura Wisesa yang memerintah kerajaan Wisesa warisan Daluwarsa yang agung, berkelana mencari penawar kejahilan dan ketakutan yang menyelubungi bumi Daluwarsa, kitab hikayat yang agung, yang hilang lenyap bersama kebejatan Kerajaan Adreusarsa.

"Bumi Daluwarsa tidak lagi suci selagi darah Adreuarsa yang berdosa membasahinya. Aku Puteri Ariyatna menjadi saksi nenek moyang ku keturunan Adreuarsa adalah penderhaka. Selagi bunga Runya melata indah , selagi pohon Balusa tegak gagah, Daluwarsa selagi ada darah dan maruah, kemaraan mu akan ku patah dan Adreuarsa akan datang berserah."

Dan Ariyatna mengembara bersama Putera Aomiya. Dia juga bertemu teman lamanya si dua beradik anak pedagang hasil tani dari lembah gunung Memeri,Ramidri dan Ileus.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Mungkin aku gila atau apa agaknya..tetapi aku tahu Ariyatna sedang menderita kerana masih belum menemui putera yang akan melengkapkan hidupnya. Ramul Adreuarsa. Dia musuh keluarga yang bakal menjadi kekasih.


Picture's Source:http://bestgamewallpapers.com/prince-of-persia/prince-and-sword

Let The Joy Begin

Entah mimpi apa, entah dorongan apa aku menyelongkar laman ini yang lama telah aku simpan di sisi. Terlalu memikirkan apakah yang mahu aku tuliskan sehingga aku tidak menuliskan apa-apa disini. Seolah aku telah mati.

Hari ini, aku hidup sedikit dari kematian kejap itu kerana kata-kata ini. "Orang berilmu hidup dengan bertindak, bukan berfikir tentang bertindak." ~ Carlos Casteneda dan juga, "Anda tidak boleh menempa nama dengan apa yang anda AKAN buat." ~ Henry Ford.

Tidak mengapa blog ini tidak dibaca, menulisnya bukanlah bertujuan supaya dibaca tetapi bertujuan yang ianya ditulis (It's not about being read, it's about being written).

Hahaha...indeed, aku seorang deep person. Menyukakan diri sendiri, adalah tugasan sendiri..yeehaaa..hanya suamiku yang memahami diri ku, walaupun kadangkala dia semacam lost juga dengan lautan jiwa mana yang aku sedang duga. Hah...tak mengapa, let the joy begin. ;)


Merevolusikan pemakanan diri

Friday, May 13, 2011

Manusia perlu jadi berani bercinta dengan diri sendiri

Manusia perlu jadi berani. Menghadapi apa jua dalam kehidupan sama ada susah atau senang perlukan keberanian. Dan keberanian datangnya dari hati. Keberanian dari hati itu pula bukan datangnya sekadar fikir-fikir bahawa diri ini berani. Ia datang dari semangat, kebolehan, ilmu dan kesungguhan. Yang kita selalu sebut-sebut sebagai 'passion'. Namun dengan memiliki 'passion', masih belum bermakna kita sudah berani.

Dalam memperjuangkan 'passion', kadangkala kita tidak bergerak ke hadapan. Diri dibelenggu ketakutan yang pelbagai. Takutlah nanti hilang pekerjaan, takutlah nanti mana nak tinggal..sewa mahal, takutlah macam mana nak bayar kereta. Pelbagai takut yang mengurungkan jiwa merdeka seorang manusia.

Apa yang kita takutkan ini? Sedangkan Allah SWT mengajarkan kita untuk tidak takut apa pun selain daripadaNya. Tuhan tunjukkan kita tak perlu takut dan berusahalah sebaik mungkin menghadapi alam semesta.

Dari kecil kita diajarkan untuk takut. Kita diberitahu dengan takut kita akan selamat. Takut jatuh, jangan main buaian. Takut cacing, jangan main pasir. Takut lemas, jangan main air. Sekecil-kecil bayi umur setahun dah ditakutkan dengan lipas supaya tak merangkak atau merayau lebih daripada pandangan ibu atau ayah. Begitu besar impak takut, maka manusia terus hilang kepercayaan diri bahawa dalam hati itu ada berani yang amat besar. Amat besar sehingga impaknya juga besar kepada masa depan.

Beritahu hati kita, semuanya baik dan jadilah berani. Seperti kata-kata Punsukh Wangdu daripada filem 3 Idiots...Percayalah kebolehan diri dan kejayaan akan menyusul... ;D

Dan belajar mempercayai diri dan meningkatkan kebolehan diri adalah kejayaan yang tanpa henti seperti sebuah pengembaraan.

Dan hati, percayalah...ia bukan pemahaman kecil diri ku semata. Dalam teori psikologi, ia dipanggil Self-Efficacy iaitu kepercayaan diri manusia dengan kebolehan dirinya untuk mencapai kejayaan dalam situasi khusus. Kepercayaan dan penguasaan pancaindera terhadap kebolehan, pengalaman dan motivasi diri memainkan peranan bagaimana kita hendak mencapai matlamat, melaksanakan tugas dan mengatasi cabaran. Konsep 'self - efficacy' ini adalah daripada teori kognitif sosial oleh Albert Bandura, Psikologis. Ia menekankan peranan belajar dari pemerhatian dan pengalaman sosial untuk membentuk personaliti. Yang paling utama, bagi mereka yang punya 'self-efficacy yang tinggi, iaitu yang percaya dengan kebolehan diri selalunya memandang tugas yang mustahil sebagai sesuatu untuk dipelajari, bukannya untuk dielak.

Apa pun, wahai Ariyatna Adri aka Faizah Shafawi, beranilah bercinta dengan diri sendiri dan dengan impian diri. Dan gerakkan diri dari sini ke sana. Diri dilahirkan untuk belajar jadi berani dan jadilah berani.

Mahu mencapai langit cinta

Sangat merindui untuk kembali kepada dunia Daluwarsa. Aku seperti seorang roh yang sesat dalam satu ruang yang menyesakkan. Di mana pancainderaku dikurung dalam satu pekerjaan yang menjenuhkan. Seolah aku tidak mengenal dunia lain.
Bila aku memandang langit, aku seperti melihat jalan pulang. Namun sayapku telah hilang dalam kegelapan jiwa.

Langit biru adalah ruang.
Keluasan alam adalah kebebasan yang diberi Tuhan
Dirikan diri dengan percaya
Dan dengarkan kata hati
Di mana ia akan bercahaya dengan Cinta dari langit
Setiap hati punya nyawa yang bercahaya
Sayapku daripada jiwa yang bercahaya.
Ia menerbangkan ku ke langit biru.
Dan aku mencapai langit cinta.