Tuesday, April 06, 2010

Rindu

Rindu bukanlah perasaan yang indah jika ia untuk orang yang sudah meninggalkan kita. Terkadang aku punya rasa mahu berbicara dengan abah, aku mahu merangkulnya seperti anak kecil dan menceritakan perasaan hatiku. Betapa gelojak rindu ini ingin ku ceritakan kepadanya seolah abah kan pulang setelah berpisahan seketika. Tapi itu cuma imaginasi aku.

Setelah perasaan itu ditelan masa, sebenarnya aku telah menghilangkan rindu itu dengan tidak memikirkan. Menyimpan memori abah dalam kotak lain dan ku kunci ia dan ku letak di bawah himpunan kotak-kotak lain. Namun, memendam memori itu rupanya telah memakan aku. Kerna sebahagian diriku adalah cinta abah, seni abah, sastera abah, ayat abah, tulisan abah dan dunia ku dari abah.

Setelah abah pergi, puisi juga pergi dari kota inspirasi puisi ini. Aku jadi kaku dalam pejam pencarian ilhamku. Abah, rindu sangat pada abah. Kadangkala daku ingin menceritakan kepada mu, tentang peristiwa-peristiwa yang telah berlaku, yang sukar dan susah kami hadapi tanpa mu.

Ya Allah,
Yang Maha Mengasihani,
Yang Maha Mengampuni,
Tetapkanlah hati kami,
Kuatkanlah diri kami yang msih hidup di dunia ini
dalam iman dan petunjuk Mu yang lurus
Kasihi dan rahmatilah arwah abahku
Ampunilah dia dan letakkan dia dikalangan hambamu yang soleh dan menjadi ahli syurga Mu, Ya Allah

Al-Fatihah buat abah seorang guru yang sangat dedikasi dalam tugasnya, tidak pernah berharap balasan,tidak pernah culas dalam tugasnya. Dia adalah bintang di hati ku...dan juga bintang di hati anak-anak muridnya. Terima kasih abah.

Sunday, April 04, 2010

Berubah...

Aku memang tidak sempurna. Kelemahan diriku adalah terlalu mencari kesempurnaan. Lalu kerana itu aku masih mencari di jalan yang penuh liku. Setiap yang mahu ku tulis, terasa sukar benar untuk bertapakan di atas skrin.

Aku tahu aku perlu berubah. Aku perlu menerima hidup seadanya. Aku perlu menerima keluarga ku sepertinya. Aku perlu menerima pemergian abah dengan redhanya. Aku perlu menyintai sepenuhnya. Aku perlu menyayangi setingginya. Aku perlu menceriakan diri sehebat-hebatnya.

Aku, hanya insan biasa yang tak punya apa-apa kehebatan yang mahu mencuba membina gelombangku sendiri dalam laut kehidupan yang luas.

Ya Allah
Ku pohon ampun mu
Ku hilang suluh pada jalan ini
Ku hilang rasa pada lidah ini
Ku pohon ampun mu
Ku tidak mau hilang iman di dada
Ku tak mau hilang rahmat Mu atas diriku
Ku mohon ampun mu

Tiada apa yang akan berubah pada diri ini, tanpa diri ku yang merubahnya.

Sunday, March 21, 2010

Ke mana lagi mahu diletakkan hati dan segala perasaan? Jika tidak kepada orang yang paling hampir.

Tiada sesiapa jua yang mampu memahami kecuali diri sendiri.

Jadi aku harus lakukan apa yang aku perlu lakukan, tanpa memikirkan pemikiran atau penghakiman manusia lain. Kerana hanya aku yang mengetahui nilai kehidupanku.

Thursday, March 18, 2010

Rutin kerja yang memburu aku saban hari menjadikan aku orang yang tidak mengendahkan dunia sekelilingku. Aku menghdapai hari demi hari dengan menyelesaikan tugas demi tugas yang datang bergolek bagi ditekuni.

Sehingga aku melupakan diri aku sendiri yang telah hidup di dunia ini selama 31 tahun.

Thursday, February 25, 2010

Sebenarnya....

Sebenarnya aku sedang marah. Marah dengan manusia lelaki pembacul yang hidup atas penderitaan wanita. Menjadikan wanita mangsa atas kejahilan diri sendiri tetapi berlagak pusat alam semesta adalah tertumpu kepadanya.

Aku tidak menujukan ini kepada suamiku. hehehe. Nasib baik dia tidak masuk dalam kategori lelaki malaun ini. Aku baru selesai mengadakan misi khas menyelamatkan adikku daripada suaminya yang pijak semut tak mati tapi kaki pukul sepak terajang siram simbah air dan sebagainya sebagai kaedah penderaan.

Maka ada satu puisi yang pernah aku tulis sangat sesuai dengan lelaki malaun ini...

Seorang wanita adalah pejuang
Pejuang yang amat agung berbanding lelaki
Seorang wanita adalah mulia
Kemuliaannya tertinggi berbanding lelaki
Seorang wanita jiwanya besar dan tega
Tega dan besar jiwanya mengalahi lelaki

Seorang lelaki adalah pengalah
Pengalah yang enggan bicara kebenaran
Seorang lelaki adalah bacul
Baculnya hidup di atas derita wanita
Seorang lelaki jiwanya kejam
Kerana melunyai dan mencukur makna hidup wanita


Sebenarnya ada lelaki yang aneh lagi jahil konsep asas pemikirannya..bahawa isteri itu hamba kerana suami telah membelinya....bahawa isteri wajib menyerahkan semua gajinya kerna suami telah mengizinkannya kerja.

Bahawa aku percaya Allah SWT sentiasa memelihara dan membantu hambaNya yang teraniaya. Bahawa sesungguhnya suami yang menganiaya isteri dosanya sangat besar.

Monday, January 11, 2010

Ratna Mulya dah tunggu kau cukup lama!!!

Yang mana harus aku percaya?
Bahawa aku adalah seorang yang lemah atau bahawa aku seorang yang boleh melakukannya. Sudah bertahun lamanya, aku dalam keadaan seperti ini. Didalam yakin dan tidak yakin untuk mendaki gunung penulisan. Berfikir sahaja sudah menghabiskan masa aku, sedangkan sebaliknya masa itu harus ku pergunakan buat memerah ilham dan penyelidikan. Kadang-kadang aku juga tenggelam dalam artikel yang ku rujuk. Tenggelam dalam kemajmukan idea yang berlautan menjadikan aku lemas dan lesu.

Aku akan berenang-renang di antara idea dan lemas dalam suatu bab yang kemudian aku terdiam ditengahnya atau pun aku akan berulang alik di antara idea yang membuat aku padam dan tulis lalu padam dan tulis lagi. Masih di situ.

Sebenarnya aku sedang mencari "sparks" dan "booster", mencarinya dengan menghadiri bengkel-bengkel penulisan. arghhh....sempadan itu satu pemikiran.....

Aku mesti percaya, kerana percaya akan membenarkan kepercayaan. Andrew Mathews dalam Follow Your Hearts pun ada sebut, fikiran negatif dah berpuluhratusan ribu kali berulangan dalam fikiran kita, fikiran positif dan percaya kepada diri itu mesti diperkuatkan bagi melawan aliran negatif.

Faizah Mohd Shafawi!!! Ratna Mulya dah tunggu kau cukup lama!!! Marah diri sendiri..