Wednesday, December 30, 2009

Aku Mahu Belajar


Muka surat daripada Hikayat Abdullah. Edisi pertama dan ditulis antara tahun 1840 - 1843 oleh Munshi Abdullah(1796–1854).


Aku mahu belajar
daripada Munsyi Abdullah
yang memahami hidup lalu menulis
walau zamannya tiada menuntut

Aku mahu belajar
daripada Dato' Onn Jaafar
yang memahami keperluan lalu menggerakkan
walau bangsanya tiada mengenang

Aku mahu belajar
daripada Pendeta Za'ba
yang melihat diri seluas alam
walau umatnya tiada memaham

Aku mahu belajar
daripada Pak Hamka
yang mengajarkan falsafah kehidupan
walau manusia semakin memudarkan ertinya

Aku mahu belajar.

Wednesday, December 23, 2009

Engkau telah memberikan

Ya Tuhan Yang Maha Agung

Aku hamba Mu yang mahu berdiri
Engkau telah memberikan ku kaki sebelum aku meminta

Aku hamba Mu yang mahu melihat
Engkau telah memberikan ku mata sebelum aku bertanya

Aku hamba Mu yang mahu mendengar
Engkau telah memberikan ku telinga sebelum aku merayu

Aku hamba Mu yang mahu berbicara
Engkau telah memberikan ku lidah untuk aku bersuara

Ya Allah Yang Maha Agung dan Maha Sempurna Pengetahuan
Aku hamba Mu yang diciptakan
Yang harus punya kekuatan
Yang harus bergantung kepada diri
Yang harus menyelesaikan
Kerana Engkau tidak akan memberi kepada yang tidak melangkah sendiri

Wanita Pejuang dan Lelaki Pembacul

Seorang wanita adalah pejuang
Pejuang yang amat agung berbanding lelaki
Seorang wanita adalah mulia
Kemuliaannya tertinggi berbanding lelaki
Seorang wanita jiwanya besar dan tega
Tega dan besar jiwanya mengalahi lelaki

Seorang lelaki adalah pengalah
Pengalah yang enggan bicara kebenaran
Seorang lelaki adalah bacul
Baculnya hidup di atas derita wanita
Seorang lelaki jiwanya kejam
Kerana melunyai dan mencukur makna hidup wanita

Saturday, December 19, 2009

Bengkel Penulisan Puisi anjuran AVA

Puisi adalah nyawa cintaku. Yang menjadi alunan nyanyian kehidupanku. Namun sebenarnya aku sudah payah menulis puisi semenjak arwah abah pergi. Sepertinya aku juga telah menjenazahkan ilham puisi yang mendatang. Aku kini mahu kembali mencoret rasa dalam untaian kata yang serba indah, seperti di sebuah alam fantasi yang serba sempurna. Mataku terhadap puisi. Tetapi puisi bukan sedemikian sifatnya. Ia terkadang boleh mencungkil keperitan hidup paling payah seorang manusia. Bahawa hidup ini ada seribu warna untuk dilihat dan seribu rasa untuk ditelan.

Tak sabar nak pergi Bengkel Penulisan Puisi anjuran Agensi Villa Aksara(AVA). Moga permata ilham ini dapat aku gilapkan dibawah tunjuk ajar Prof. Rahman Bin Shaari.

Mari ramaikan bengkel puisi ini. Menggilap bakat yang sebenarnya ada dalam diri kita.

Tarikh : 7 Febuari (Ahad)
Tempat : Pusat Belia Antarabangsa, Cheras (ICY)
Masa : 9 pagi - 4 petang
Puisi : Menyertakan sebuah puisi / sajak (sila emel ejenmanuskrip@yahoo.com)
Yuran bengkel : RM 100.00

Maklumat lanjut, jom ke blog AVA di http://www.ejenmanuskrip.blogspot.com/

Saturday, December 05, 2009

Aku Sedang Bercinta




Cuci mata...dan mengangankan untuk bermain di gigi air.
Aku seperti sedang jatuh cinta tatkala memandang langit biru
Sepertinya aku bersayap untuk menuju kejauhan yang indah itu

Aku seperti juga seorang yang sangat merindu
Melantunkan kesyahduan rasa dengan suara sayu
Begitu aku sedang bercinta dengan alam ciptaan Yang Maha Agung

Wednesday, December 02, 2009

Letih

Menjeruk dalam perbendaharaan
Di dalam kotak yang dipintukan
Menguliti perihal urusan berencana
Menjenuhi tugasan yang datang bergolek
Melenguhkan segenap atma dan fikiran
Membuatkan kerinduan yang dalam kepada alam
Pantai yang damai dengan air kebiruan
Gunung yang hijau dengan keramahan bayu

Aku letih...dan rindukan alam yang indah