Monday, August 17, 2009

Sinar Iktibar Hikayat Munsyi Abdullah

Hikayat Abdullah adalah pembuka mata
Yang telah menegur bangsa yang berbahasa Melayu
Sejak 180 tahun dahulu

Nyata bangsa ini mengambil masa beratus tahun untuk berubah
Namun, ada yang kembali memelihara kekolotan kerana kebodohan
Sinar iktibar yang pernah dipancarkan oleh penanya adalah nyala terang kemilau
Tersimpan dalam timbunan sejarah seperti kubu yang runtuh dan ditimbus zaman

Kenapa kita simpan kehebatan itu menjadi eksklusif, jarang dikongsi dan tidak disedari? Hikayat Abdullah adalah kitab wajib baca bangsa Melayu.

Sunday, August 09, 2009

Keluarkan aku dari hitam dan masukkan aku dalam putih.

Aku selalu percaya dunia ini perlu dipenuhi dengan cita-cita dan impian. Melalui cita-cita dan impian kehidupan manusia akan menjadi lebih baik, bermakna dan penuh kepuasan yang indah. Kontradiknya, aku dibesarkan dalam sebuah keluarga konservatif yang berlingkar fahaman pesimistik dalam apa jua yang berlaku dalan persekitaran. Lalu aku menjadi pemberontak yang berjuang demi cita-cita dan impianku. Ironinya, aku sebenarnya masih terperangkap dalam dunia bersifat pesimis yang aku warisi dan pengharapan yang amat tinggi dalam mengejar apa yang ku panggil impian.

Aku masih dalam kotak itu...hahahahaahah..kelakarnya (sadisnya), perubahan mana yang aku tunggu? Minggu lepas, aku mula menghantar mesej pesanan ringkas (sms) kepada diri ku sendiri. Aku memberitahu diri aku sesuatu yang aku tahu dan aku hendak pegang. Penyerahan kepada Tuhan Yang Naha Memelihara. Menulis. Kekuatan. Keyakinan. Tiang yang menegakkan itu ada dalam diri sendiri.

Aku dulu manusia yang lupa, ketakutan, kelemasan dalam keresahan.Aku boleh meletakkan pernyataan negatif yang panjang tentang keseluruhan nasib hidupku (pesimis yang membunuh).

Tetapi senyuman, ketawa, bicara lucu, perjuangan tanpa rungutan, usaha tanpa lelah dan menghiraukan diri sendiri oleh seseorang yang sangat teguh kasihnya membuatkan aku perlu melakukan sesuatu. Apakah aku mahu membunuh semangat insan yang sangup meneman hidupku?

Aku bersungguh keluar dari dunia pesimis yang gelap seolah dipenuhi algojo yang sedia menghukum. (Satu pernyataan kehitaman dan kesuraman yang masih ada dalam atma..kikis)

Aku harus memandang dunia dengan pandangan serba indah dan serba keyakinan. Segalanya ada jalan keluar dan penyelesaian. Senyuman adalah ubat terbaik. Keyakinan, kejujuran dan kesungguhan adalah jalan yang luas terbentang. Pilihan adalah milik aku. Itulah akal. Akal bergantung kepada diri sendiri. Akal adalah kurniaan Allah SWT, Pencipta Yang Maha Agung yang meletakkan balasan pahala dan dosa adalah tanggungan manusia yang melaksana dalam pilihan dan penggunaan akal sendiri.

Ya Allah ku pohon, peliharalah aku dan insan yang ku cintai dalam Rahman dan Rahim MU Yang Maha Luas melebihi luasnya alam semesta.

Friday, August 07, 2009

Hati ini sebenarnya meronta mahu kembali ke alam itu, di mana aku dapat melihat langit serba biru dangan kehijauan rumput terbentang di lembah indah. Tasik yang damai dengan anak sungai yang mengalir jernih dan tenang sehingga meluncur di hujung batu berkemilauan rona putih kebiruan yang berderai jatuh ke tasik. Rerama terbang menjamah manisan bungaan yang melata pelbagai warna.