Tuesday, February 24, 2009

Strategi Musashi si samurai terhebat

Diri ini sebenarnya terlalu sibuk dengan pelbagai agenda kerja yang mengkecamuk minda. Lantas aku menggunakan kemahiran seperti yang ada pada otak lelaki iaitu simpan satu-satu perkara yang tak mahu ku pandang dahulu dalam kotak-kotak lain. Memang hebat, namanya buat tak tahu aja.

Aku sudah tidak lagi manjadi pembantu ketua turus pemegang tombak perhimpunan adikuasa Kerajaan Negeri Adikuasa Tanah Ini. Aku sudah manjalankan tugas baru iaitu pembantu ketua turus pemegang peti bendahari Kerajaan Negeri Tanah Ini.

Lantas aku harus terus menjalankan tugas-tugas di tempat baru, namun dalam masa yang sama mengajar jurus-jurus utama kepada penggantiku yang sudah masuk sebelum aku keluar dari jabatan. Sibuk ini menyukarkan aku menyentuh buku bagi dibaca atau ditelan.

Entah ajaib, aku terjumpa dan terbeli buku Strategi Samurai adaptasi oleh Boye Lafayette De Mente kerana diskaun 50%. Miyamoto Musashi adalah samurai terhebat dan terkenal di Jepun telah menulis Go Rin Sho (Book of Five Rings) pada tahun 1645 sebelum matinya. De mente sebenarnya telah memudahkan pembaca memahami falsafah, strategi dan "jalan kemenangan" yang diajarkan Musashi.

Budaya dan cara hidup samurai yang berlangsung selama 700 tahun iaitu ketika Jepun diperintah oleh pahlawan samurai masih boleh dilihat dalam budaya orang jepun hari ini. Orang jepun, secara sedar atau separa sedar sebenarnya mempunyai kelakuan dan pemikiran yang digariskan Musashi seperti pengorbanan demi mencapai matlamat yang unggul dan terus berusaha sehingga mencapai kesempurnaan.

Kata Musashi, strategi pertama hendaklah kita tetapkan matlamat. Matlamat itu hendaklah padu tetap dan semua kelakuan, kegiatan dan usaha mesti bergerak ke arah matlamat itu.

Kata Musashi itu sebenarnya membuat aku haru biru dalam seminggu ini. haru biru kerana aku terlalu sibuk dan teruja dengan tugas dan persekitaran baru. Penjawat disini yang kontrak semuanya berlumba-lumba mahu memenuhi matlamat menjadi PTD. Aku haru-biru dan terlupa matlamat kebebasan ku sehingga memikirkan aku juga layak dan mampu berlumba bersama mereka.

Kata Musashi mana yang aku tidak faham. Tidak ada. Semuanya aku faham. Aku benci bila mengaku aku terperangkap dalam kesibukan kerja sehingga tiap kelakuan dan usahaku tidak kujalankan ke arah langit matlamatku.

Musashi aku tak sabar dan mendengar kata-kata mu lagi.


Ariyatna Adri