Monday, April 14, 2008

Degupan Jantung Sastera

Adakah jantung sastera ku masih berdegup? Adakah aku masih hidup dalam rona indah warna puisi? Ternyata aku menipu diriku sendiri. Melenyapkan sendiri apa yang menjadi diriku. Bukan siapa-siapa yang melarang diri, bukan jua segala penghalang itu menjadi tembok tinggi kerana pilihan orang lain. Justeru, musuh itu adalah diri sendiri. Pemusnah degup jantung sastera itu adalah diri ku sendiri.


Biarkan dia mati! Kematian dia tiada kuburan! Dia mati dan mati lagi!

Jika dia mahu hidup, dia sendiri akan memanjat kuburannya!


Benar apa dengan diri? Terlalu banyak yang disimpan dan tersimpan sejak sekian lama. Warna puisi yang berkitar di laman ini juga pudar selama mana ia ditinggalkan. Ibarat teratak yang dibiarkan tanpa bertuan. Tiada dijaga dan dihiasi. Tetapi untuk apa menghiasi sahaja. Jiwa itu bukan sekadar perhiasan. Ia adalah nyawa dan jantung sebuah sastera.


Mendambakan buah ilham yang ranum, harus aku menanam dulu pokoknya. Dan aku tidak menanam sebarang pohon, malah rumput juga tidak. Seorang penakut itu aku. Seorang penakut tidak layak pada penanya.

Lalu kata-kata George Orwell di dinding kedai buku Borders benar-benar menghantui aku!

"Good novels are written by people who are not frightened" - George Orwell


14 April 2008 (tulisan ini juga bertangguh...$%#&%^*$ ... marah pada diri)




Tuesday, April 08, 2008

Hanya Sebuah Dewan (Pustaka Cerita Maut)

Ia hanya sebuah dewan yang menjadi pustaka
Buat menyimpan tulisan sehingga dihujung waktu
Untuk dijual dengan sehelai ringgit
Khazanahnya adalah amarah seniman
Yang seninya tidak diletakkan kemuliaan

Ia hanya sebuah dewan yang menjadi pustaka
Buat menyimpan tulisan sehingga dihujung waktu
untuk dibungkus jadi hadiah beli satu percuma satu
Kuburan keramat buat sasterawan
Yang tulisnya tidak dipanjikan dengan makna

Ia sebuah dewan yang menjadi pustaka cerita maut
Penuh keranda duka para pecinta bahasa