Tuesday, January 30, 2007

Dari Kota Di Atas Perbukitan

Puisi
Aku ingin mengutus dikau
Dalam kamar Unika
Kata jiwa harus hadir
Rimbun rasa harus lahir
Masih aku disini
Meraih masa yang tidak terluang
Masih.


Karya
Aku ingin menyirami dikau dengan benih rasa dan ilmu
Menyuburkan perjuangan seorang Ratna Mulya
Sehingga aku bergelumangan dengan risalah
Sehingga aku bercintaan di taman lawnet yang asing
Dan sehingga kini aku masih berhutang soalan
Yang harus aku tanyakan.


Persidangan Adikuasa Utama dan Pahlawan Pelusuk Negeri
Aku bertarung
Menghunus pedang
Kepada musuh yang sebenar


Kitab Perintah Utama Persidangan Negeri
Aku menghadap dikau walaupun perisaiku hilang
Waja atma dan utuh tubuh sahaja yang kubawa menghadap
Seberat mulia kitab seberat itu jua utuh tubuh ini harus dikejap

Persidangan Adikuasa Pelusuk Negeri
Aku akan menyelesaikan dikau dengan pedang ku ini
Pedang cahaya ketaatan ini bercahaya kembali
Kerna dikau juga musuh sebenarku kini
Sehingga aku kehilangan masa bercinta buat karya dan puisiku.

Ariyatna
8.35 malam, kota di atas perbukitan, Shah Alam.


Apa yang aku miliki adalah diriku
Apa yang aku kerjakan adalah diriku
Apa yang aku perbuat adalah diriku
Apa yang aku fikirkan adalah diriku
Apa yang aku usahakan adalah diriku

Aku cuma ada satu diri untuk perbuat semua yang harus aku perbuat.
Dan ada manusia yang mahu aku perbuatkan kerja dirinya yang harus dia perbuat.
Aku cuma ada satu diri untuk perbuat apa yang harus aku perbuat dan apa yang harus dia perbuat.

Ada manusia yang bangga dengan apa yang diperbuat sehingga itu disebutnya berkali-kali, tetapi apakah yang dikau perbuat itu sungguh? Atau cuma melepaskan apa yang patut-patut. Lalu aku juga yang perbuat ia supaya kapal tidak karam kerana lubang-lubang yang ditinggalkan tak bertampal. Aku jua perbuat ia.

Jangan mudah percaya pada manusia yang kejar nama, gaya dan penampilan. Profail ini membahayakan.

Tuesday, January 23, 2007















Salam Maal Hijrah. Kita sudah tiba ke tahun 1428.

Semoga tahun ini menjadikan kita insan yang lebih mengenal diri.
Semoga aku berlindung di bawah cahaya rembulan kerna matari nanti panasnya ganas.

Wednesday, January 17, 2007

Cinta Menyintai Cinta

Suatu tika dulu
Aku mati sebelum waktu
Kerna tiada nyawa cinta dalam dadaku
Saat melewati usia jagungan
Kitab tersingkap dan tinta tertulis
Seperti musim buah ranum
Jendera aku seusai musim
Kerna tiada nyawa cinta dalam dadaku

Suatu tika yang tiada jejak
Aku seperti kekasih yang bangun dari pusara
Mendengar seruan cinta menyintai cinta
Lalu ketemu sekudup bunga cahaya atas cahaya
Mahu mekar dalam telapak tanganku
Cinta mahu aku berfikir supaya ku bercinta
Cinta mahu aku bercinta supaya ku berfikir
Cinta mahu aku hidup dalam matiku
Cinta tidak mahu aku mati dalam hidupku
Kerna cinta itu santapan kalbu
Kerna nama benar cinta itu ilmu
Tanda kekuasaan Yang Maha Esa
Tanda orang beriman dan bersyukur

16 Januari 2007 (Selasa)
Shah Alam


Ilmu menyintai ilmu. Mengapa tidak aku temui ini dalam zaman persekolahanku. Betapa aku telah mensia-siakan zaman mudaku (aku belum tua sangat pun). Aku memang membaca, tetapi membaca yang aku suka atau perlu sahaja tatkala itu. Kini, aku seperti kehilangan sesuatu. Ada sesuatu yang tidak aku isikan pada waktu persekolahanku, ilmu. Aku mengakui aku membaca dan aku cemerlang dalam setiap peperiksaan utama sekolah, tetapi aku hanya membaca untuk menjawab soalan peperiksaan. Lalu, selepas selesai peperiksaan, memori jangka pendek itu segera luput dari ingatan. Aku menyesali kerana menzalimi otak ku. Aku telah mensia-siakan neuron-neuron dalam tempurung kepalaku.
Kini, aku berusaha mengutip kembali apa yang telah kucicirkan. Membaca. Dimana saja jika sempat aku mesti membaca. Kerna aku tak punya banyak waktu. Menulis. Dimana saja jika terlintas aku mesti menulis. Kerna aku tak punya banyak waktu.
Ke mana waktu itu pergi? Ia ke medan perang yang menghunuskan dendrits demi dendrits dari neuronku. Ke mana lagi, kalau tidak di atas meja kerja ku.
Taufan kerja sudah melanda. Banjir kerja pasti melanda. Aku menerima sahaja.
Ada yang menarik hendak ku tuliskan berkenaan konsep Nigerian Way sejak September 2006 di sini. Waduh! 2007 ni! Juga aku mahu tuliskan tentang buku yang baru selesai ku baca, Confession of an Economic Hitman. Waktu sudah berputar ligat dilanda taufan. Taufan kerja!