Wednesday, November 28, 2007

Dia Juga Menyahut Seruan Ilahi

Dia juga sudah pergi menyahut seruan Ilahi
Dia juga seperti seorang bapa yang meneduhi hati
Memberi nasihat dan pesanan seorang tua kepada muda
Semoga Allah mengampuni dosanya dan diletakkan dikalangan orang-orang yang soleh

Al-Fatihah buat Allahyarham Pak Ismail Adnan @ Pak Isbiha
dan Al-fatihah buat Allahyarham ayahanda ku jua.

Bingkisan Pak Isbiha buat ku akan ku pegang selalu,

I asked for Strength...
And Allah gave me Difficulties to make me strong.
I asked for Wisdom...
And Allah gave me Problems to solve.
I asked for Prosperity...
And Allah gave me Brain and Brawn to work.
I asked for Courage...
And Allah gave me Danger to overcome.
I asked for Love...
And Allah gave me Troubled people to help.
I asked for Favours...
And Allah gave me Opportunities.
I received nothing I wanted ...
I received everything I needed!

(purple_pot)

daripada Isbiha @ Pak Mail pada 18 Januari 2006

Coretan Allahyarham Pak Isbiha masih tertinggal di blognya http://isbiha.blogspot.com/

Semoga aku berhenti daripada menangis.
Demi Allah semoga aku berhenti memusnahkan dunia penulisanku.

Monday, September 17, 2007

Abah pergi dalam damai menyahut panggilan Ilahi pada tanggal 2 September 2007, jam 7.45 pagi. Aku masih merinduinya. Saat menaip ini aku menangis sehingga kabur butang huruf atas keyboard. Aku sangat merinduinya.

Kasihnya menumbuhkan pohon meredup jiwa
Perginya abah menghilang puisi pada jiwa
Perginya abah menghilang kata bermadah
Perginya abah, menerbangkan rasa dalam jiwa
Yang ada hanya air mata dan kenangan.

Astarghfirullah... berkali mohon keampunan pada Allah Yang Maha Mengerti ...Maha Mengetahui. Namun air mata tetap jatuh pabila wajah abah singgah di jiwa.

Segala yang ada dalam diriku adalah kerna sentuhannya.
Pemikiran
Pandangan
Citarasa
Kehalusan
Kesenian
Keindahan
Segalanya adalah sentuhan hatinya

Dan air mata ini keras mengalir. Betapa rindunya pada abah. Mahu berkongsi bicara dengan abah seperti dulu. Tapi ingin itu mendatang rasuk yang mengharukan jiwa.

Astaghfirullah...Adakah hamba Mu ini boleh diselamatkan.
Adakah hamba Mu ini layak diselamatkan.

Buat teman yang mengucapkan takziah, terima kasih diucapkan. Buat teman-teman lama, teman-teman yang baru mengenali dan yang baru menjejaki blog ini, terima kasih kerana menjenguk diri ini. Maaf jika blog ini mengecewakan kamu. Kerana aku sendiri mengecewakan diriku.

Al-Fatihah buat abah.

Wednesday, June 27, 2007

Doakan Ayahanda Saya Sembuh

Ayahanda saya sedang uzur
Derita menangani kanser kolon yang baru disedari
Sudah lelah ke hospital kerajaan sana-sini
Banyak sudah ubat diberi dan dicuba bagai eksperimentasi
Namun perhatian diberi setelah ujian darah klinik swasta mencabari

Ayahanda saya sedang uzur
Ku tak mampu hendak menuliskan di sini
Kerana sesuatu yang harus ku simpan hingga pasti
Ku pohon teman semua mendoakan ayahanda saya sembuh


Ariyatna Adri
Shah Alam
28 Jun 2007

Friday, June 15, 2007

Daya Hitam dan Daya Putih

Dalam diri ku ada daya hitam dan daya putih.

Aku jua yang menentukan daya mana yang menguasai diri ini. Aku jua dan cuma aku.

Maka yang menghalang diri aku menggunakan daya putih adalah aku cuma. Daya hitam begitu menguasai. Aku mengenalnya, menggamit dan mengakuinya. Lantas ia terlalu menguasai.

Ya Allah bantulah aku menolak daya hitam ini. Hanya manusia berakal sempurna mendapat cahaya Mu. Aku melihat jalan yang bercahaya, aku tahu jalan mana yang bercahaya, tetapi jalanku ada yang bercahaya, ada yang gelap dan ada pula yang bercahaya malap.

Y a Allah Yang Maha Mengetahui apa yang baik untuk setiap hamba Mu. Ku pohon kekuatan untuk mengenal daya putih yang berada dalam diri ku. Mengenal, menggamit dan memegang ia dalam jiwaku. Memegang ia terus, kejap dan tangguh dalam darah dan hatiku. Kerana dari hatiku ia akan jadi aku.

Sunday, May 27, 2007

Jiwa

Jiwa hilang sayap
mahu bicara
Jiwa hilang bentuk
mahu bersuara

Jiwa masih lagi ada
Dipenjara hidup berjasad
Dipenjara untuk kenyang
Dipenjara untuk selamat
Dipenjara untuk senang
Dipenjara untuk nafsu

Jiwa masih lagi ada
Mahu menggugah dunia
Tetapi tak bertangan

Jiwa
Mahu memandang sampai bila
Sampai majikan kata "berambus!".


28 Mei 2007


Jiwa boleh dipenjarakan. Walaupun manusia di tanah Malaysia sudah merdeka 50 tahun. Dunia boleh dikurung dalam suatu sudut persepsi, perasaan dan pemahaman. Mengapa segan untuk bersuara walhal kebenaran mengatasi segala-gala.

Jiwa ini hanya terikat dengan Tuhan yang Satu. Dia yang memberikan aku segala. Dari matiku hingga hidupku hingga matiku semula. Namun jiwa mudah terpedaya dengan daya dan hendak hidup di dunia. Kerana akal logik hanya melihat sesuatu yang boleh dilihat.

Jiwa ini inginkan kebenaran tetapi penuh ketakutan. Bila keberanian akan datang itu tidak harus kupersoal. Bagi orang yang berani, keberanian tidak perlu diminta-minta, ia hadir dalam jiwa. Jiwa besar.

Besarkah jiwa ku? Nyata soalan itu menjawab siapa diri aku. Aku masih berjiwa kecil.

Jiwa ini mesti besar! Besarkan jiwa aku! Walau dengan perkara kecil-kecil. Seperti pepatah cina, kalau hendak mengalihkan gunung, mesti bermula dengan batu-batu kecil dahulu.

Bila nak alih gunung! Suatu pedang sudah terukir buat memula kerja. Cepat!

Tuesday, January 30, 2007

Dari Kota Di Atas Perbukitan

Puisi
Aku ingin mengutus dikau
Dalam kamar Unika
Kata jiwa harus hadir
Rimbun rasa harus lahir
Masih aku disini
Meraih masa yang tidak terluang
Masih.


Karya
Aku ingin menyirami dikau dengan benih rasa dan ilmu
Menyuburkan perjuangan seorang Ratna Mulya
Sehingga aku bergelumangan dengan risalah
Sehingga aku bercintaan di taman lawnet yang asing
Dan sehingga kini aku masih berhutang soalan
Yang harus aku tanyakan.


Persidangan Adikuasa Utama dan Pahlawan Pelusuk Negeri
Aku bertarung
Menghunus pedang
Kepada musuh yang sebenar


Kitab Perintah Utama Persidangan Negeri
Aku menghadap dikau walaupun perisaiku hilang
Waja atma dan utuh tubuh sahaja yang kubawa menghadap
Seberat mulia kitab seberat itu jua utuh tubuh ini harus dikejap

Persidangan Adikuasa Pelusuk Negeri
Aku akan menyelesaikan dikau dengan pedang ku ini
Pedang cahaya ketaatan ini bercahaya kembali
Kerna dikau juga musuh sebenarku kini
Sehingga aku kehilangan masa bercinta buat karya dan puisiku.

Ariyatna
8.35 malam, kota di atas perbukitan, Shah Alam.


Apa yang aku miliki adalah diriku
Apa yang aku kerjakan adalah diriku
Apa yang aku perbuat adalah diriku
Apa yang aku fikirkan adalah diriku
Apa yang aku usahakan adalah diriku

Aku cuma ada satu diri untuk perbuat semua yang harus aku perbuat.
Dan ada manusia yang mahu aku perbuatkan kerja dirinya yang harus dia perbuat.
Aku cuma ada satu diri untuk perbuat apa yang harus aku perbuat dan apa yang harus dia perbuat.

Ada manusia yang bangga dengan apa yang diperbuat sehingga itu disebutnya berkali-kali, tetapi apakah yang dikau perbuat itu sungguh? Atau cuma melepaskan apa yang patut-patut. Lalu aku juga yang perbuat ia supaya kapal tidak karam kerana lubang-lubang yang ditinggalkan tak bertampal. Aku jua perbuat ia.

Jangan mudah percaya pada manusia yang kejar nama, gaya dan penampilan. Profail ini membahayakan.

Tuesday, January 23, 2007















Salam Maal Hijrah. Kita sudah tiba ke tahun 1428.

Semoga tahun ini menjadikan kita insan yang lebih mengenal diri.
Semoga aku berlindung di bawah cahaya rembulan kerna matari nanti panasnya ganas.

Wednesday, January 17, 2007

Cinta Menyintai Cinta

Suatu tika dulu
Aku mati sebelum waktu
Kerna tiada nyawa cinta dalam dadaku
Saat melewati usia jagungan
Kitab tersingkap dan tinta tertulis
Seperti musim buah ranum
Jendera aku seusai musim
Kerna tiada nyawa cinta dalam dadaku

Suatu tika yang tiada jejak
Aku seperti kekasih yang bangun dari pusara
Mendengar seruan cinta menyintai cinta
Lalu ketemu sekudup bunga cahaya atas cahaya
Mahu mekar dalam telapak tanganku
Cinta mahu aku berfikir supaya ku bercinta
Cinta mahu aku bercinta supaya ku berfikir
Cinta mahu aku hidup dalam matiku
Cinta tidak mahu aku mati dalam hidupku
Kerna cinta itu santapan kalbu
Kerna nama benar cinta itu ilmu
Tanda kekuasaan Yang Maha Esa
Tanda orang beriman dan bersyukur

16 Januari 2007 (Selasa)
Shah Alam


Ilmu menyintai ilmu. Mengapa tidak aku temui ini dalam zaman persekolahanku. Betapa aku telah mensia-siakan zaman mudaku (aku belum tua sangat pun). Aku memang membaca, tetapi membaca yang aku suka atau perlu sahaja tatkala itu. Kini, aku seperti kehilangan sesuatu. Ada sesuatu yang tidak aku isikan pada waktu persekolahanku, ilmu. Aku mengakui aku membaca dan aku cemerlang dalam setiap peperiksaan utama sekolah, tetapi aku hanya membaca untuk menjawab soalan peperiksaan. Lalu, selepas selesai peperiksaan, memori jangka pendek itu segera luput dari ingatan. Aku menyesali kerana menzalimi otak ku. Aku telah mensia-siakan neuron-neuron dalam tempurung kepalaku.
Kini, aku berusaha mengutip kembali apa yang telah kucicirkan. Membaca. Dimana saja jika sempat aku mesti membaca. Kerna aku tak punya banyak waktu. Menulis. Dimana saja jika terlintas aku mesti menulis. Kerna aku tak punya banyak waktu.
Ke mana waktu itu pergi? Ia ke medan perang yang menghunuskan dendrits demi dendrits dari neuronku. Ke mana lagi, kalau tidak di atas meja kerja ku.
Taufan kerja sudah melanda. Banjir kerja pasti melanda. Aku menerima sahaja.
Ada yang menarik hendak ku tuliskan berkenaan konsep Nigerian Way sejak September 2006 di sini. Waduh! 2007 ni! Juga aku mahu tuliskan tentang buku yang baru selesai ku baca, Confession of an Economic Hitman. Waktu sudah berputar ligat dilanda taufan. Taufan kerja!