Friday, December 29, 2006

Langkah Ini Sudah Berlari

Pencarian tanpa henti
Pencarian tanpa lelah
Pencarian yang pasti
~~
Langkah ini sudah berlari
Tak mungkin kembali
~~
Seperti Pendeta Mesir bercanda
Papyrus yang dahaga tinta
~~
Langkah ini sudah berlari
Tak mungkin kembali
~~
Seperti Ratna Mulya bertingkah
Berpencak juang seindah madah
29 Disember 2006
~~~#~~~
Salam perjuangan
Tinggalkan saja 2006
Sahut terus 2007
Tak perlu toleh lagi
Depan sana jalan kita
~~
Keras itu semangat
Peduli itu hemah
Fikir itu hikmah
Depan sana jalan kita
~~
Pandang dengan benar
Susur dengan rencana
Tiada rentak tak bermakna
Depan sana jalan kita
~#~
Selamat Hari Raya Aidiladha
Salam Tahun Baru 2007

Monday, December 25, 2006

Serahkan Cinta Mu Kepada Tuhan

Serahkan cinta mu kepada Tuhan
Beri cintamu separuh saja pada insan
Kerna tangis dan runtun hati pada manusia
hanya bawa sengketa

Serahkan cinta mu kepada Tuhan
Kerna Dia membalas dengan bahagia
Kerna Dia menganugerah aman pada jiwa

Jalan yang lurus terbentang dihadapan
Pintu taman-taman yang berpohon rendang
Didalamnya mengalir sungai yang nyaman

Moga Tuhan ampuni aku
Moga Yang Maha Esa memelihara aku.

10.57 malam
25 Disember 2006
Shah Alam

Bicara dengan kanda Zalisa mengubat hati yang merengsa. Manusia akan mudah merasakan sakit hati jika menyerahkan seluruh hatinya kepada manusia. Tetapi jika kita melihat hati sebagai milik Allah, kesedihan yang melarat dan cedera hati akibat perilaku manusia lain terhadap kita adalah tidak patut. Serahkan hati kepada Allah. Tiba-tiba, kita boleh melihat dunia ini dengan mata yang lagi satu. Mata hati.
Keazaman yang luntur kerana hati yang pedih, bagaikan kembang kembali. Bukankah hati ini milik Allah? Maka ia harus disirami dengan semangat.

Thursday, December 21, 2006

Cambuk Hati

Cambuk Hati?

Kenapa hati itu mudah merasai kesedihan?

Kenapa makan hati? Bukankah terasa hati itu satu kebodohan?

Hati itu selalu sifatnya emosi. Tidak membawa hasil. Masih mahu kecamuk hati?

Soalan ini ku tanya pada diri sendiri. Kerna aku manusia, yang ada hati, ada hati maka ada rasa, ada rasa maka ada terasa. Tetapi berbaloikah melayan perasaan sedemikian? Bukankah aku tahu ia tiada membawa faedah dan untung.

Moga Allah mengampuni ku.
Begitu banyak peluang terbentang di hadapan mata, aku masih berdiri dengan hati yang sama.

Moga Allah mengampuni ku.

Tuesday, December 19, 2006

Mengapa hati di rasuk kebendaan?

Akal Memandu Hati

Hati, yang seketul itu
Candanya intim roh
Bertalunan suara
Memagar atma raga
Pagar tinggi tiang mahu
Pagar tinggi tiang nafsu

Yang tersimpan dalam tempurung kepala,
Sekadar buat ukur-ukur pagar
Sehingga ilmu yang tidak terukur
Terbiar bagai awan yang berlapisan
Menunggu bubar sesampainya masa

Akal memandu hati sebelum mati
Manusia atmanya jelas CINTA Ilahi


20 Disember 2006


Mengapa hati dirasuk kebendaan? Soal hati ini satu persoalan yang dalam. Hendak mengupasnya bukanlah suatu kerja mudah. Tapi persoalan ini mengetuk-ngetuk pintu mindaku dari hari ke hari. Bukanlah aku membencikan segala yang berbentuk kebendaan ini. Tetapi persoalan ini mengganggu aku sudah lama. Daripada zaman ku di matrikulasi lagi.
Mengapa manusia yang dapat biasiswa menghabiskan wangnya dengan membeli handphone tercanggih?
Mengapa manusia yang dapat biasiswa menghabiskan wangnya dengan membeli pakaian berjenama?
Mengapa manusia yang dapat biasiswa menghabiskan wangnya dengan membeli set mekap dan minyak wangi bagai artis ternama?
Bukankah biasiswa itu bagi pembiayaan buku ilmiah! Kesukaan hati lebih penting dari nyawa segumpal neuron dalam tempurung kapala? Aneh.
Sehingga kini persoalan itu tidak pernah lupus.

Tuesday, December 12, 2006

Manusia Mati Yang Hidup

Ilmu seperti cahaya matari
Lintasan menerangi hati
Berpasak pada masa yang tidak dilupai
Seperti tinta alKindi dan AlFarabi
"Kerana manusia berilmu tidak mati sesudah mati,
dan manusia hidup seperti mati jika tiada ilmu"

Waktu berhempas pulas merakam peristiwa, namun;

Manusia mengetuk pintu diri
Demi persoalan keinsanan
Demi persoalan kehidupan
Demi persoalan pencapaian
Seperti Socrates dia berteleku
Puncak fikirnya setinggi pundak
Berpintal ligat membenam akal
Manusia mati yang hidup
Mahu mati ternama
Mahu mati berharta
Mahu mati berjenama
Mahu mati berkuasa
Mahu mati bertema
Mahu mati berhamba
Mahu segala atas nama cita


12 Disember 2006

Hakikat manusia zaman kini.

Sabtu yang tragis, aku keracunan makanan. Ahad yang lebih tragis, aku ke karnival jomheboh menemani adik-adikku yang datang dari kampung. Aku cuma nampak unsur hiburan dan komersil saja dalam karnival ini. Tiada yang hebat apatah lagi yang menyumbang kepada masyarakat.

Baik, ada Kedai Dawama. Tapi juruwang amat tidak mesra pelanggan. Saya beli buku tau, bukan jual buku! Ada hadiah percuma, rupa-rupanya buku lama yang perlu dilupus dari stor dibungkus dalam kertas hadiah.

Tuesday, December 05, 2006

Modal Insan?

Hidup penuh dambaan
Isian kulitan yang perlu
Isian kulitan yang tidak perlu
Demi pundak dan jiwa yang berseteru
Manusia jadi insan pendamba
Manusia jadi insan pemikir
Manusia lupa jika tidak diajar
Manusia silap jika salah ajaran

5 November 2006


Aku memerhati dalam dua minggu yang sibuk ini. Memerhati teman sekerja yang menjadi organ, kaki dan tangan organisasi. Betapa sebenarnya manusia adalah makhluk yang sukar difahami walau pun boleh digembleng. Soalnya, insan ini mempunyai pelbagai kerenah, fiil, dan kelakuan sehinggakan segala macam teori dibina bagi memahami manusia.

Douglas McGregor telah mengkaji dan mengkelaskan manusia kepada dua teori, iaitu teori X dan Y (USA) , kemudian Dr. William Ouchi, memperkenalkan teori Z (Jepun) :

Teori X - manusia tidak suka dengan kerja, mengelak tanggungjawab dan adalah tugas pihak atasan mengarahkan kerja. Organisasi yang menggunakan teori ini mengamalkan pengurusan autoritarian dan menghukum.

Teori Y - manusia bercita-cita, bermotivasi, suka kepada tanggungjawab, mempunyai disiplin dan hala tuju. Manusia akan menjadi kreatif dan berinisiatif jika diberikan kebebasan melaksanakan tugasan.

Teori Z - manusia taat setia kepada organisasi dengan pekerjaan yang memberikan kepuasan bukan sahaja semasa bekerja tetapi juga kepada kehidupan harian. Pekerja merasa pekerjaan terjamin lalu meningkatkan produktiviti seterusnya memelihara moral dan memperoleh kepuasan diri yang tinggi.


Pengurusan atasan perlu bijak mengenalpasti teori mana yang perlu digunapakai. Tapi kitakan manusia, sebijakmana pun kita pasti ada yang akan tercalar serba sedikit. Lebih-lebih lagi buat manusia yang mudah terasa hati dan tidak faham maksud kerja cara profesional. Langsung kerja yang mudah, senang dan tepat arahannya juga terjadi kekurangan.
Orang lama berkata pegawai kerajaan dulu ada kualiti, komited, mempunyai nilai moral dan nilai keislaman yang tinggi dalam jati dirinya, tapi kini nilai-nilai itu semakin luput. Masyarakat pasti menuding dan menyoal mana silapnya.
Jati diri dan disiplin seorang insan yang lahir ke dunia dibentuk oleh pendidikan yang diterima melalui pengalaman dan asuhan. Manusia menerima pendidikan daripada ibu bapa, datuk nenek, guru, jiran, kawan, tv, masyarakat dan segala unsur yang bersekitaran dirinya. Unsur yang paling bertebaran di alam fana sekarang adalah unsur materialistik dan hedonistik. Langsung modal insan adalah satu isu besar buat negara.
Mengapa ada modal insan seperti dalam situasi ini? Adakah mereka lahir dengan teori X sebagai genetik?
Aku juga manusia biasa yang terikat dengan hukum alam dan fitrah. Insan lemah dan lupa. Semoga teman-teman sentiasa menghulurkan persahabatan dan membantu aku melihat jalan ke hadapan. Semoga pandangan sinis seorang manusia yang menilai diri seorang manusia lain dengan harta kebendaan tidak terkesan pada diri kita. Teman-teman, ingatkan daku ya!