Monday, November 27, 2006

Perhimpunan Adikuasa Pelusuk Negeri

Aku lelah
Dijenuhi seluruh akal dan kudrat
Demi perhimpunan adikuasa pelusuk negeri

Lalu ku pohon, moga Allah mengubati lelahku
Dengan seberkas tinta ilham buatku lakarkan hati
Demi bahasa dan hikmah yang bernyawa dibenak insani


27 November 2006 (Isnin)


Aku terlalu letih menegakkan kekuatan yang bertiangkan tanggungjawabku terhadap tugasku yang satu ini. Memastikan perjalanan perhimpunan adikuasa pelusuk negeri berlangsung dengan lancar dan damai. Kudratku sebagai serikandi seringkali diuji, namun aku tetap menguatkan diri. Biarpun aku cuma serikandi, aku bangga. Pahlawan gagah yang seringkali mengangkatkan diri dengan kejantanan mereka, seringkali tidak bertahan sehingga purnama menampakkan diri di langit malam. Perhimpunan adikuasa pelusuk negeri ini, bertunjangkan kekuatan serikandi biasa cuma. Bukan aku seorang, tetapi serikandi-serikandi yang berjuang sama dengan ku. Moga Allah memberikan kami lebih kekuatan dan kesihatan.

Pahlawan gagah berani, simpan saja lagakmu dalam peti kayu di rumahmu. Serikandi-serikandi ini tidak heran dengan lagak bongkak mu.

Monday, November 20, 2006

Ayat-ayat Cinta dan Bengkel KarnaDya

Rumput semakin menghijau di kakiku
Langit semakin membiru di kepalaku
Sayap yang kusimpan ditapak tanganku
Kupakaikan ke jiwa nubariku, untukku terbang
Pantas menyusup segenap pelusuk alam

Langit biru itu tersenyum kepadaku.

21 November 2006 (Selasa)


Alhamdulillah. Debaran menantikan hari bengkel KarnaDya telahpun reda. Bengkel itu telah pun ku hadiri pada hari Sabtu lepas, 18 November 2006. Dr. Rahim memberikan penerangan berkaitan penggunaan tatabahasa terutama Kata Tugas. Walau pun, pengajaran Dr. Rahim hanya perkara asas dalam tatabahasa, ia menyedarkanku banyak lagi yang perlu dipelajari.
Kak Aina Emir telah membakar api semangat semua peserta bengkel. Kata-kata hikmah Kak Aina menyusup dalam jiwa kami seperti ayat-ayat cinta sehingga aku jadi rindu bayangan dengan bengkel itu.
Seperti yang Kak Aina katakan, hendak menjadi penulis memang banyak rintangan, rintangan-rintangan itu tidak boleh dijadikan alasan. [Hatta, kesibukan bekerja yang menuntut hingga ke malam sekalipun! (Arghh, kuat semangat seperti Puteri Daluwarsa!)]
Paling Kak Aina tekankan, disiplin. Mesti memperuntukkan masa penulisan khusus dalam satu hari. "Tulis! jangan tak tulis!". Menulis juga tidak boleh ikut mood, tapi bila kebuntuan melanda melanda cari Kamus Dewan, kutiplah apa jua perkataan yang menarik minat mata dan himpunkan. Perkataan-perkataan itu boleh digunakan semula semasa menyambung penulisan.
"Betul kata Kak Aina, bila kala rajin buka Kamus Dewan, puisiku ada kosa kata baru. Waduh, sudah lama tidah membedah Kamus Dewan."
Mari menulis sahabat-sahabatku, pena itu tidak harus kekeringan tintanya!







Tuesday, November 14, 2006

Ariyatna Wisesa


Ariyatna Wisesa

Langkahnya jitu

Jiwa atmanya tiada longlai

Kerana hidupnya sebagai Puteri Daluwarsa

Aku,

Hanya meminjam semangatnya,

Kerana aku bukan Puteri Daluwarsa,

Di tanganku hanya sekeping mimpi yang bersayap,

Dibawah langit yang hendak kudakap.

Siapakah Ariyatna Wisesa

Ariyatna Wisesa adalah puteri yang lahir dalam keluarga diraja Daluwarsa. Lahir dalam Kerajaan Daluwarsa yang telah menjadi tiga, Kerajaan Yura Wisesa. Sebagai puteri sulung dia diberi gelaran Puteri Daluwarsa. Gelaran itu bermakna dia adalah bakal maharani Daluwarsa jika dia berkahwin sebelum usia adinda lelakinya ditabalkan sebagai Putera Daluwarsa. Tetapi ayahanda Ikned Wisesa, enggan menerima Ariyatna mengatasi putera Aomiyan.

"Aku tidak mahu dianugerahi gelaran Puteri Daluwarsa, sekiranya anugerah itu menjauhkan kasih ayahanda."

"Biar aku mencari Hikayat Daluwarsa Agung yang hilang itu. Kerana laknatnya keturunan Adreuarsa itu, sehingga mengotori bangsa Daluwarsa."

"Moga ayahanda memandangi aku dengan rasa kasih dan bangga bahawa puterinya berjasa menemukan Hikayat Daluwarsa Agung yang telah hilang dalam perang Adreuarsa."

Siapakah Ramidri Adreusa?

Adakah darahnya dari Raja Adreuarsa? Ariyatna belum mengenalinya, apatah lagi bersua. Benarkah?


Friday, November 10, 2006

Ku Bujuk Hati Yang Menangis



Aku ingin menangis
Tetapi bahu yang ingin kusandar itu jauh
Lalu aku menangis dalam sepi
Sehingga sepi itu sendiri tidak menyedari air mataku yang jatuh

Ku bujuk hati
Bukankah Yang Maha Kasih memberikan hidup supaya kutempuhi
Kupohon moga senantiada ada kasih sejernih air di kaki Ismail buatku

Ku bujuk hati
Bukankah Yang Maha Cinta itu sentiasa melihat daku
Ku pohon moga ada cinta senikmat meneguk air dari syurga didadaku

10 November 2006 (Jumaat)


Aku menangis. Kesedihan apakah yang menjerut dadaku sehingga terperah air mata lalu jatuh ke pipi ku. Aku tahu kenapa. Tetapi aku tidak mampu meluahkannya. Aku tidak tahu bagaimana mahu bicara dengan teman yang lain tentang segala yang merojak dalam benak. Adakah benar aku ini sabar, sehingga Yang Maha Kasih memberikan situasi-situasi ini untuk kutempuhi? Adakah benar aku tabah? Atau aku buat-buat tabah? Aku bingung.

Aku tidak tabah. Kalau aku tabah pasti aku mendepani teman-temanku dengan senyum tawa girang. Apakah yang meracuni atma ku hingga tiada bicara yang mahu terzahir dari lidahku.

Kalau kuluahkan. Segala yang ditetapkan untukku itu tetap perlu kutempuhi. Argh..Biar kusimpan saja buat diriku.

Aku tidak dapat berpura-pura tabah. Aku tidak tabah. Tapi aku mengaku tabah. Ya Allah, tabahkah hamba Mu ini?