Tuesday, June 20, 2006

Aku Mahu Bangkit dalam Damai

Kuseru damai yang hilang
Bersama nafasku di awan
Tatkala sinar juang paling terang
Gelung akalku berkelibut
Aku dipeluk selut kemelut perjuangan
Sehingga nafasku sesak dalam kekuatannya

Aku mahu bangkit, tapi aku mesti bangkit dalam damai.

20 Jun 2006


Aku masih terkejut dan masih terasa seperti di awang-awangan. Aku boleh merasakan pengawasan minda ku berkurangan kerana ubat penenang yang diberikan doktor. Ah, aku benci disuruh bodoh begini.
Semalam aku diserang anxiety attack. Tidak boleh bernafas, tangan dan kaki kebas, kepala hampir kebas, aku hampir-hampir hilang sedar apabila memejamkan mata. Namun demi mengingatkan banyak lagi perkara yang belum aku lunaskan, kerja pejabat dan penulisanku, maka aku melawan. Aku bangun dan memanggil jiran menghantarkanku ke klinik. Maka aku terpaksa memaklumkan kronologi situasi yang membawa aku kepada serangan tersebut kepada Dr. Soraya.

"You're over do it."

"You have to slow down, not going to class once a while."

Ayat-ayat Dr. Soraya mengocak kolam damai hatiku. Aku tidak mahu tidak hadir kelas penulisanku. Aku tidak mahu tidak hadir kelas editorialku. Aku tidak mahu tidak hadir kelas hari Sabtu dan Ahadku yang menyalakan perjuangan dalam hidupku.

Aku juga harus meneruskan perjuangan penulisanku yang aku ladeni saban malam, walaupun geraknya seperti kura-kura yang baru belajar berjalan. Aku mesti meneruskan.

Serangan ketidaktenangan adrenalin ini terjadi, juga akibat aku mendesak diriku menyiapkan kertas kerja yang harus dibentangkan di hadapan adikuasa negeri sebelum dibentangkan pula dihadapan perhimpunan adikuasa pelusuk negeri. Kertas itu ku ladeni hingga jam 4.30 pagi sebaik sahaja pulang daripada bengkel karya pelukis dan penulis oleh Sdr Zunar, Ahad lepas.

"Your body clock warned. It want you to stop and relax." Dr. Soraya menegaskan.

Damai. Iya, itu yang aku perlukan saat ini. Ubat Dr. Soraya tidak mendamaikan, cuma menerbangkan aku di awan (rasa diawang-awangan).

Dr. Soraya pesan supaya aku pergi window shopping dengan adikku dan menonton wayang yang bodoh-bodoh. Wayang yang menggembirakan dan menceriakan. Wayang Melayu?
Tapi aku nak baca Sejarah Falsafah dan World's Mythologies yang ku beli, belum habis menelaah. Damai. Tidak damai juga.
Maaf puan doktor, pesakit puan yang ini memang degil. Tapi saya akan tonton wayang, Superman Return.

Monday, June 05, 2006

Rupa Sebuah Rindu


Kasih, biar kau tahu rupa sebuah rindu
Kerana merindui itu sengsara rasa
Walau indah ujana kayangan
Intan dan puspa serasa penjara

Kasih, rupa sebuah rindu
Bak pucuk yang menjulang
Meraih sinar sang mentari terang
Labuhnya malam bagai penghujung
Ditelan sepi kelam yang tak bertepi
Itulah pautan rindu menduri hati
Kasih, rupa sebuah rindu
Bak pantai yang dibisikkan alunan laut
Disapa dan dibelai dalam pelukan ombak
Surutnya sang laut bagai takkan bertaut
Memilukan atma duka lara sebuah penantian
Itulah deburan rindu merawan jiwa

Kasih
Kerana rindu sang rama-rama hilang warna
Kerana rindu si bunga tanjung hilang harum
Kerana rindu sang Cinta menjadi penyair
Kerana itulah rupa sebuah rindu

Ratna Alam @ Ariyatna
Aku rindu pada dia, sepertimana Ariyatna rindu pada Rameulnya.
Aku rindu pada dia, seperti mana Jediadri rindu pada Obi Wan Kelubinya.
Aku rindu dalam kembara ku, sepertimana dia dalam kembaranya merindui aku.
Demi kembara yang tidak pernah usai,
Demi kembara yang menuntut pedangmu,
Demi kembara yang melelahkan kudamu,
Demi kembara yang mengikis perisaimu,
Leonidas Spartacus, kuatlah usahamu,
Moga jaya yang direstui Ilahi itu milikmu.
"terbanglah wahai camar cintaku, terbang mu demi mengejar sebuah impian dan harapan, dan kepulangan mu adalah penawar kerinduan, dan aku jua akan terbang seperti sang rama-rama yang mengejar impian, dan aku akan pulang kerana akulah penawar kerinduan mu"