Monday, May 29, 2006

Demi Kehidupan Serba Saduran


Kehidupan ini saduran
Di atas pandangan mata
Ada lapis-lapis yang gelap
Memberati kelopak mata akal
Bersusun memenuhi jiwa manusiawi
Seperti rak-rak yang memuati khazanah
Di perpustakaan Cordoba

Hamparan cinta yang memenuhi dada
Adalah pengisian makna-makna
Ini lapisan untuk ku, namanya darjat
Ini lapisan untuk ku, namanya kaya
Ini lapisan untuk ku, namanya gaya
Hamparan yang melebarkan dada manusia
Lantas menjepit kiri dan kanan pintu jiwa
Lantas membutakan kiri dan kanan mata rasa
Daripada menikmati luas hakikat yang memenuhi langit

Berperut rasa inilah hidup
Berjantung debar inilah nyawa
Berhembus nafas inilah nyata
Ini lapisan untuk ku, namanya darjat
Ini lapisan untuk ku, namanya kaya
Ini lapisan untuk ku, namanya gaya.

Lapis-lapis yang gelap terlalu rapat
Mengatapi ruang-ruang berakal
Tiang-tiang tebal yang sebal
Membentengi kehidupan saduran
Manusia buta pandangan hakikat
Manusia tuli kemerduan irama nikmat
Manusia menghidupi ukuran duniawi
Lalu terkatup kelopak mata nilai diri
Demi kehidupan serba saduran


29 Mei 2006 (Shah Alam)

Aku hidup di sekitar manusia-manusia yang menjadi tukang ukur. Yang sentiasa mengukur-ukur kehidupan manusia lain. Aku jadi orang bersalah kerana tidak mengikut kayu ukur yang telah dipacakkan di tengah kumpulan kehidupan yang menyekitari aku.

Aku jadi orang bersalah kerana bersederhana dalam hidup. Aku jadi orang bersalah kerana mahu menghindari hidup berhutang demi gaya dan keselesaan. Aku jadi orang bersalah kerana sanggup meredahi hujan dengan kenderaan pacuan 2 roda ku. Aku jadi orang bersalah kerana koleksi pakaianku tidak bertambah. Aku jadi orang bersalah kerana tidak memakai sepatu dan tas tangan berjenama. Aku jadi orang bersalah kerana menjamah juadah murah. Aku serba-serbi bersalah.

Walau bagaimana bersalahnya aku ini dalam perbicaraan mahkamah itu, aku tersenyum kerana saksi ku adalah aspirasi kehidupan yang sentiasa menunjuki jalan bahawa keindahan dan kebahagiaan adalah lebih daripada ukuran-ukuran sedemikian.

Semuanya adalah daripada Ilahi. Milik Ilahi.

~~~~~

Sajak di atas ku bingkiskan buat diriku dan buat teman-teman yang sedang berlawan dengan kesaduran dunia masa kini.

Teringat kata-kata cikgu Luo Pu Ti kepada murid-murid kelasnya semasa mengajarkan bahasa Korea.

*“Jika dilanda masalah atau kesunyian. Bacalah sajak. Kerana sajak membuatkan kita merasai bahawa kita adalah insan paling bernilai dalam dunia.”
Seorang muridnya, Zhao Bi yang sebatang kara. Tiada ayah, ibu mahupun adik beradik. Tiada teman akrab untuk berkongsi cerita. Memelihara kucing sebagai teman bicara kerana bimbang jadi bisu. Tinggal di bilik kecil di kawasan setinggan. Menderita tumor tetapi tiada kemampuan untuk mengubatinya. Lalu dia memiliki semula semangat hidupnya kerana seorang guru yang mengajarkan bahawa dirinya paling bernilai dalam dunia.
Terima kasih cikgu! Terima kasih Sifu! Selamat Hari Guru!

(*Petikan daripada episod 16 Drama Korea - Biscuit Teacher and Star Candy)

Thursday, May 18, 2006

Sang Petaka (Manusia) Tidak Menyintai Seadanya

Rimba belantara yang bersuara merdu
Sudah hilang nada alunan mendayu
Kugiran unggas yang selalu menyapa jiwa
Sudah henti segala pesta ria

Rimba belantara yang hijau rimbun
Duka nestapa merayap di kakinya
Tegak merayu sang petaka dan jentolak
Tatkala meranap sang pohon dan unggas

Kasih yang tinggal tegaknya berdaun kering
Kakinya kotor dengan darah kecurangan
Manatah hendak merayu dan memaki
Saat cinta ranap dikuburkan di kaki

Biarpun langit luas bertangisan meratap kasih
Rindunya hilang tiada mahu memeluk butir cinta
Rindunya tiada kudrat lagi bagi menadahi cinta
Sehingga bah cinta tiada terlarang merosaki semua

Nada irama berlagu sayu di celah awan-gemawan
Melagukan hiba sang rimba belantara hujan perawan
Cuma Sang Petaka tidak mencintai seadanya
Kerana kecurangan itu menambah tebal kocek.


26 Mei 2006 (Jumaat)

Sumber inspirasiku dilanggar jentolak. Pemandangan serba menghijau yang menjadi tangga ke alam fantasiku diranapkan oleh kerakusan jentolak. Aku menyaksikan pohon-pohon getah yang tegak itu dilanggar dan dikebumikan disitu juga. Ada pohon yang sengaja ditinggalkan, buat meredupi taman buatan. Indah sangat taman buatan itu nanti. Tidak semak dan membiak monyet.

Aku melihat manusia selalu inginkan keindahan. Tetapi keindahan yang diciptakan itu tidak mengambilkira sifat alam semulajadi. Salahkah tanah indah ini kerana penuh rimba hutan hujan. Salahkah tanah ini jika bunga musim sejuk tidak mahu hidup melata. Manusia selalu begitu, tidak tahu untuk mencintai seadanya.

Salahkah aku kerana tidak mampu menahan sejuknya pendingin hawa. Aku anak bumi tropika. Mahu bernafas di bawah rimbun pohon dan menghirup segarnya bau daun, akar dan debunga. Bukannya menghela nafas dari haruman buatan yang dilekatkan pada pendingin hawa.

Tuesday, May 09, 2006

Cerita Perjalanan ke Kuantan

27 Mac 2006, perjalanan ke Kuantan.

Setelah mendapat perutusan, panggilan daripada negeri gunung maka berhimpun sekalian setia adikuasa di bumi Pahang, negeri gunung. Aku, pemegang buku segala atur dan segala tentu, menerima arahan mengiringi setia adikuasa bumi sini.
***
Maka pengembaraan pun berlangsung
Perjalanan yang membawa ku ke negeri gunung
Langit mendung warna kelabu
Hujan menerjuni langit menujahi pandangan
Cahaya yang tertinggal di sisip awan mulai hilang
Habis ditelan semua oleh kegelapan malam
Seperti naga nantaboga menelan bulan
Lalu tiada berteman sang pungguk yang kepiluan

***

Komputer di ribaan ku ketuk dibawah cahaya lampu bacaan yang menyuluh dari atas kepalaku. Menghilangkan kebosanan dalam perjalanan dan menggunakan sepenuhnya komputer riba yang baru kubeli. Peti ajaib itu ku beli pada 25 Mac (Sabtu) yang lalu selepas Kelas Editorial dan Penulisan Kreatif Bahasa Klasik anjuran PTS. Peti serba ajaib ini tidak boleh berpisah dariku.

Sesekali memandang ke hadapan. Jalan yang berturap hitam menambah warna pada kehitaman malam. Ada jalan yang tiada tiang lampu dan ada pula selekoh yang tiada penghadang tebing.

Kenderaan pejabat yang dinaiki terasa goyang. Bukan kerana digoyangkan mana-mana makhluk. Tetapi kerana kereta ini bertukar tayar sebelum memulakan perjalanan. Tidak berjaya diserasikan oleh si pemasang tayar di pusat tayar petang tadi. Memandang kiri dan kanan lebuhraya pantai timur, segalanya gelap dan sepi. Janganlah pula tayar kereta ini tercabut pula. Aku hanya mampu bermohon daripada Allah supaya perjalanan ini penuh keselamatan dan kesejahteraan. Akhirnya tiba di Kuantan. Maka berhimpun dan bermesyuarat sekalian Setia Adikuasa sekalian Negeri Tanah Melayu dan Tanah Borneo di Negeri Pahang.
Pulang. Singgah membeli keropok lekor dan keropok kering yang siap dibungkus. Keropok 926. Macam barang emas pula. Oh, rupa-rupanya keropok itu mendapat bekalan ikan daripada jeti 926.

Hanya doa yang mampu terbang merapati

Hatikubicara
Mengajarkan erti cinta
Mengajarkan cahaya aspirasi
Dalam pelukan nafas kehidupan
Setelah menemukan cintanya (Sha)
Dia kembali kepada Cinta
Hanya doa yang mampu terbang merapati
Hanya bicarahati yang masih didengari
Hatikubicara, Al- fatihah.


“Teruskanlah menulis, tulis terus dari hati, kerana apa sahaja datangnya dari hati, merupakan apa yang kita rasa, timbul dari perasaan. Dan ingat selalu, tulislah yang baik-baik, agar ianya dapat menjadikan diri sendiri dan pembaca-pembaca menjadi insan yang lebih mulia lagi.”

Pesanan terakhir Ghaz membuatkan aku terkedu. Sungguh lama aku meninggalkan blog ini dengan warna kecewa yang pekat hitam. Kerana peristiwa hancur luluh sebuah kepercayaan, telah membuatkan aku takut untuk meninggalkan apa-apa bingkisan di sini. Kepada teman-teman yang lama tahu, ariyatna adreuarsa bukanlah nama asal blog ini. Aku mengunakan nama sebenarku tanpa selindung. Namun, kerana duka aku melenyapkan nama itu. Lantas, hanya sisi diriku yang misteri itu yang ku hantarkan sebagai wakil ku disini. Namun, sisi diriku yang misteri itu tidak dapat memancarkan kerdip cahaya nubari di jendela ini. Sehingga jendela ini, penuh dengan pekat hitamnya hati yang kerapuhan lantaran aku tidak menulis di sini seperti sewajarnya.

Terima kasih Ghaz, kerana mengingatkan aku untuk terus menulis.

Kanda Zalisa, adindamu ini terlalu bertangguh untuk membingkiskan tulisan ini. Sudah terlalu tangguh. Namun, harus diletakkan jua.

Monday, May 08, 2006

Langit ini dicurahi cahaya penuh kasih

kesuraman yang meredupi langitku
adalah rapuh dan kehitaman perasaan
yang berbaki daripada hati yang dilukai
aku sedang membungkus ia dalam peti perasaan
yang akan ku lontarkan ke laut kelupaan

awan hitam yang mengumpal di langit
tidak akan menerjuni lapis langit cahaya
tidak akan membasahi bumi atma seri jiwa
tidak akan melintasi biru langit yang kupandang

Biarpun kerdipan bintang itu
Sinarnya enggan melintasi aku
Mentari yang manis dari Ilahi
Sentiasa mencurahi penuh kasih


9 May 2006 (Selasa)


Aku mahu lupa. Lupa itu kadangkala bagus bagi tidak mengingati sesuatu yang tidak perlu dalam ingatan. Lupa itu kadangkala suci, kerana ia menghapuskan dendam. Kelupaan itu pula bukanlah buat-buatan sekadar menyedap rasa. Kelupaan itu jadi perkara wajib, sebagai tanda kasih terhadap diri. Kelupaan yang akan memancarkan sinar cahaya.

Puisi ini sempadan buat diriku. Sempadan antara langit yang luas dengan keredupan melampau yang telah lama bertapuk dalam dunia cahaya ini. Langit ini dicurahi cahaya penuh kasih dari Ilahi.