Tuesday, December 05, 2006

Modal Insan?

Hidup penuh dambaan
Isian kulitan yang perlu
Isian kulitan yang tidak perlu
Demi pundak dan jiwa yang berseteru
Manusia jadi insan pendamba
Manusia jadi insan pemikir
Manusia lupa jika tidak diajar
Manusia silap jika salah ajaran

5 November 2006


Aku memerhati dalam dua minggu yang sibuk ini. Memerhati teman sekerja yang menjadi organ, kaki dan tangan organisasi. Betapa sebenarnya manusia adalah makhluk yang sukar difahami walau pun boleh digembleng. Soalnya, insan ini mempunyai pelbagai kerenah, fiil, dan kelakuan sehinggakan segala macam teori dibina bagi memahami manusia.

Douglas McGregor telah mengkaji dan mengkelaskan manusia kepada dua teori, iaitu teori X dan Y (USA) , kemudian Dr. William Ouchi, memperkenalkan teori Z (Jepun) :

Teori X - manusia tidak suka dengan kerja, mengelak tanggungjawab dan adalah tugas pihak atasan mengarahkan kerja. Organisasi yang menggunakan teori ini mengamalkan pengurusan autoritarian dan menghukum.

Teori Y - manusia bercita-cita, bermotivasi, suka kepada tanggungjawab, mempunyai disiplin dan hala tuju. Manusia akan menjadi kreatif dan berinisiatif jika diberikan kebebasan melaksanakan tugasan.

Teori Z - manusia taat setia kepada organisasi dengan pekerjaan yang memberikan kepuasan bukan sahaja semasa bekerja tetapi juga kepada kehidupan harian. Pekerja merasa pekerjaan terjamin lalu meningkatkan produktiviti seterusnya memelihara moral dan memperoleh kepuasan diri yang tinggi.


Pengurusan atasan perlu bijak mengenalpasti teori mana yang perlu digunapakai. Tapi kitakan manusia, sebijakmana pun kita pasti ada yang akan tercalar serba sedikit. Lebih-lebih lagi buat manusia yang mudah terasa hati dan tidak faham maksud kerja cara profesional. Langsung kerja yang mudah, senang dan tepat arahannya juga terjadi kekurangan.
Orang lama berkata pegawai kerajaan dulu ada kualiti, komited, mempunyai nilai moral dan nilai keislaman yang tinggi dalam jati dirinya, tapi kini nilai-nilai itu semakin luput. Masyarakat pasti menuding dan menyoal mana silapnya.
Jati diri dan disiplin seorang insan yang lahir ke dunia dibentuk oleh pendidikan yang diterima melalui pengalaman dan asuhan. Manusia menerima pendidikan daripada ibu bapa, datuk nenek, guru, jiran, kawan, tv, masyarakat dan segala unsur yang bersekitaran dirinya. Unsur yang paling bertebaran di alam fana sekarang adalah unsur materialistik dan hedonistik. Langsung modal insan adalah satu isu besar buat negara.
Mengapa ada modal insan seperti dalam situasi ini? Adakah mereka lahir dengan teori X sebagai genetik?
Aku juga manusia biasa yang terikat dengan hukum alam dan fitrah. Insan lemah dan lupa. Semoga teman-teman sentiasa menghulurkan persahabatan dan membantu aku melihat jalan ke hadapan. Semoga pandangan sinis seorang manusia yang menilai diri seorang manusia lain dengan harta kebendaan tidak terkesan pada diri kita. Teman-teman, ingatkan daku ya!

9 comments:

jaffrizaini said...

Tentang si pekerja : Bukan salah ibu mengandung. Ibu telah asuh lebih dari segalanya. Sekolah telah ajar secukupnya. Bila bekerja, Jabatan telah beri latihan secanggihnya. Kalau masih ada yang berperangai seperti beruk dapat bunga, sendiri mau ingat kalau masyarakat menganggap dia betul-betul sebagai beruk.

Tentang Masyarakat : Dulu dan sekarang sama. Pegawai awam yang bermoral tinggi masih wujud juga mereka yang moralnya rendah. Cuma kini, masyarakat telah dewasa. Dulu msykt rela telan dan simpan. Kini apa yang pahit akan diluah dan disembur balik. Ia adalah pola yang normal bagi sesebuah masyarakat yang semakin maju.

Puteri Daluwarsa said...

jafrizaini,

walaupun telah diasuh, lama-lama lupa juga. Pengukuhan kendiri itu penting. Kendiri itu jatidiri. Soalnya latihan bentuk bagaimana yang mampu memberi pengukuhan kendiri. Saya sendiri boleh terlupa.

rasa ada betul kata sdr, masyarakat semakin menyuarakan kepincangan yang dilihat. Semak & imbang oleh masyarakat, tapi orang atas tak suka kerana imej mereka tercalar.

Kerja yang ikhlas dan sanggup mendepani kesalahan ke arah kebaikan masa mendatang mesti diamalkan. Pasti hebat pentadbiran negara maju.

elhakim said...

owh..ok..
aku lebih suka mengatakan bahawa ianya satu 'takdir'

aku x salahkan takdir...

cuma... aku mahu nyatakan bahawa ianya adalah satu realiti hidup.

kadang2 kita faham.
Acapkali kita buat-buat tak faham.

itulah masalah manusia ni.

Puteri Daluwarsa said...

sdr hakim,

kau pasrah pada takdir?

kau pasrah kalau kau diherdik dan dilayan cara semberono ketika berurusan rasmi?

manusia(segala macam pembolehubah) + latihan + hukuman = manusia disiplin

berat persamaan tu. pasti kau kata aku membazir masa memikirkan hal ni.

Serunai Faqir aka SF said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Serunai Faqir aka SF said...

Ah adindaku, tinggalkan sahaja perkhidmatan yang tidak membawa ke mana itu, jadilah seperti burung yang terbang bebas ke angkasa luas, mencari gemala kasturi yang sentiasa menanti orang2 yang memerdekakan dirinya ...

Puteri Daluwarsa said...

kanda SF,

saya ini ingin terbang bersama kuda semberaniku mencapai impian bertakhta di Kota Arlusa. Namun cabaran buat daku dan leonidas spartacus tidak semudah tu. Itupun, kami belum dikurniakan putra putri. Uncang nipis, hehe.

Buat kanda, terbanglah setinggi-tingginya kerana tiada beban yang memberati pundakmu.

Abang Long said...

Teori yang betul + Praktikal yang jelas = HASIL yang baik. Yang penting adalah mempraktikkan sesuatu teori.

Pawana Malam.. said...

salam buat puteri daluwarsa...

jua salam perkenalan...

dalam dunia kini...semuanya bisa terjadi..usahkan diperlakukan semberono..lebih teruk mungkin ada..yang pasti..persiapkan diri dgn setiap fenomena yg mungkin kan pasti..

itu cuma gayaku memperisaikan kehidupan agar tiada yg dapat mengejutkan diri ini...cuma sedikit tips kerdil dariku yg lagi maha jahil...

apa pun, kak..hadapi hari2mu dgn senyuman ya...