Saturday, August 19, 2006

Diam Itu Pilu, Diam Itu Cinta

Diam itu pilu
Terpenjarakan hati
Dalam perdu jiwa sayu
Kerna diam itu batu
Tenggelam jauh dalam lautan
Sehingga hilang suara merdu
Seorang puteri dalam tangis pilu.

Diam itu juga cinta
Terbangnya ke alam luas
Bersayap rindu berjiwa teguh
Kerna diam itu angin
Terbangnya jauh seberang lautan
Sehingga pulang kembara
Seorang puteri dengan merdeka.


20 Ogos 2006 (Ahad) - Shah Alam

Terlalu banyak yang ingin aku tuliskan. Terlalu lama meninggalkan dunia cahaya puisi ini. Terlalu lama juga meninggalkan kamu semua teman-temanku. Terlalu lama yang aku sendiri tidak hendak.

Terlalu lama sehingga apa yang ku tuliskan ini terasa basi sahaja. Tetapi aku yakin isunya tidak harus basi. Ianya soal pengukuhan sistem undang-undang syariah yang menapaknya sudah lama di negara Malaysia tetapi masih kanak-kanak dalam perkembangannya.

Pada 27 Jun 2006 yang lalu, Majlis Mahabbah bersama Jabatan kehakiman Syariah Malaysia berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Peserta-peserta yang hadir terdiri daripada kakitangan awam, guru sekolah sehinggalah pelajar sekolah. Matlamat utama Majlis Mahabbah ini bagi memberikan penerangan dan pengenalan tentang Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia yang telah ditubuhkan berikutan Jemaah Menteri bersetuju dengan penyusunan semula Mahkamah Syariah seluruh Malaysia pada 3 Julai 1996.

Apabila bahagian Mahkamah Syariah ini keluar dan terpisah daripada Jabatan Agama Islam Negeri Selangor, jabatan ini hanya tinggal 4 orang hakim bagi keseluruhan Negeri Selangor. 4 orang hakim ini yang mengendalikan masalah kehakiman syariah di 9 daerah. Penyusunan semula Mahkamah Syariah mengatasi masalah ini apabila 4 orang hakim mahkamah rayuan syariah diwujudkan bagi menimbang kes rayuan mahkamah rayuan negeri-negeri.

Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia memperkemas Jabatan Kehakiman Negeri-negeri melalui pengenalan Skim Perjawatan Gunasama bagi pegawai-pegawai Mahkamah Syariah seluruh Malaysia, mengadakan persidangan pegawai kehakiman syariah seluruh Malaysia secara tahunan, melibatkan semua Jabatan Kehakiman Negeri yang telah menyertai Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia mendapatkan pengiktirafan MS ISO 9001:2000 dan memperkenalkan laman web esyariah.gov.my.

Jabatan ini begitu luas impaknya kepada masyarakat dan negara. Penentu hala tuju kehakiman syariah Malaysia ini bertatih-tatih memperkukuhkan kedudukannya di negara Islam ini. Kehakiman sivil begitu matang kerana sudah berkembang sejak tahun 1937, di bawah Enakmen Undang-undang Sivil 1937 yang meletakkan Negeri Selangor, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan sebagai Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Apabila Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu menyertai Persekutuan Malaya pada tahun 1948, Ordinan Undang-undang Sivil (Tambahan) 1951 digunapakai dan merupakan undang-undang sebelum ini yang diperpanjangkan kuatkuasanya ke atas negeri-negeri Perlis, Kedah, Terengganu, Kelantan dan Johor. Enakmen ini kemudiannya digantikan dengan Ordinan Undang-undang Sivil 1956 yang berkuatkuasa ke atas 11 negeri persekutuan. Perkembangan kehakiman sivil juga dibantu oleh peguam-peguam sivil yang bersama-sama hakim mendalami undang-undang sivil semenjak penubuhannya. Nyata sekali, perundangan syariah Malaysia perlu segenap daya usaha pengamal undang-undang Syariah, baik dari hakim hinggalah ke peguam syarie, saling bantu- membantu memperkukuhkan tiang seri Kehakiman Syariah Malaysia milik Islam.

Segalanya belum terlambat, tetapi segalanya akan berlalu dengan pantas. Samada Kehakiman Syariah akan terus ketinggalan berbanding Kehakiman Sivil adalah terletak pada kesungguhan umat Islam Malaysia sejagat sebenarnya. Ia bermula daripada kita juga.

Di sini ku tamatkan nota yang telah bersesak-sesak dalam benak. Akhirnya tertulis di sini. Nanti akan ku tuliskan pula cerita pengalamanku mengembara ke negara Siam. Tidak puteri ini ke negara Siam bukan mencari Putera, Putera ku di Tanah Melayu saja, di negeri gunung.

No comments: