Tuesday, May 09, 2006

Cerita Perjalanan ke Kuantan

27 Mac 2006, perjalanan ke Kuantan.

Setelah mendapat perutusan, panggilan daripada negeri gunung maka berhimpun sekalian setia adikuasa di bumi Pahang, negeri gunung. Aku, pemegang buku segala atur dan segala tentu, menerima arahan mengiringi setia adikuasa bumi sini.
***
Maka pengembaraan pun berlangsung
Perjalanan yang membawa ku ke negeri gunung
Langit mendung warna kelabu
Hujan menerjuni langit menujahi pandangan
Cahaya yang tertinggal di sisip awan mulai hilang
Habis ditelan semua oleh kegelapan malam
Seperti naga nantaboga menelan bulan
Lalu tiada berteman sang pungguk yang kepiluan

***

Komputer di ribaan ku ketuk dibawah cahaya lampu bacaan yang menyuluh dari atas kepalaku. Menghilangkan kebosanan dalam perjalanan dan menggunakan sepenuhnya komputer riba yang baru kubeli. Peti ajaib itu ku beli pada 25 Mac (Sabtu) yang lalu selepas Kelas Editorial dan Penulisan Kreatif Bahasa Klasik anjuran PTS. Peti serba ajaib ini tidak boleh berpisah dariku.

Sesekali memandang ke hadapan. Jalan yang berturap hitam menambah warna pada kehitaman malam. Ada jalan yang tiada tiang lampu dan ada pula selekoh yang tiada penghadang tebing.

Kenderaan pejabat yang dinaiki terasa goyang. Bukan kerana digoyangkan mana-mana makhluk. Tetapi kerana kereta ini bertukar tayar sebelum memulakan perjalanan. Tidak berjaya diserasikan oleh si pemasang tayar di pusat tayar petang tadi. Memandang kiri dan kanan lebuhraya pantai timur, segalanya gelap dan sepi. Janganlah pula tayar kereta ini tercabut pula. Aku hanya mampu bermohon daripada Allah supaya perjalanan ini penuh keselamatan dan kesejahteraan. Akhirnya tiba di Kuantan. Maka berhimpun dan bermesyuarat sekalian Setia Adikuasa sekalian Negeri Tanah Melayu dan Tanah Borneo di Negeri Pahang.
Pulang. Singgah membeli keropok lekor dan keropok kering yang siap dibungkus. Keropok 926. Macam barang emas pula. Oh, rupa-rupanya keropok itu mendapat bekalan ikan daripada jeti 926.

2 comments:

ilhaqim said...

dengan tanpa kebenaran, aku telah mengambil sesuatu dari blog ini untuk aku letakkan di blog aku. Semuanya semata-mata untuk satu himpunan kata-kata teman-teman tentang allahyarham ghaz.

maaf dan terimakasih.

Puteri Daluwarsa said...

sdr alhaqimi, sy telah melawat blog sdr.Usaha sdr mengumpulkan bingkisan teman2 ttg Ghaz amat bermakna. Pasti lebih ramai yang disentuh hatinya oleh Ghaz. Semoga ia menjadi apa yang baik diajarkannya jadi ilmu yang bermanfaat. Ia adalah pahala yang kekal berpanjangan.