Friday, December 29, 2006

Langkah Ini Sudah Berlari

Pencarian tanpa henti
Pencarian tanpa lelah
Pencarian yang pasti
~~
Langkah ini sudah berlari
Tak mungkin kembali
~~
Seperti Pendeta Mesir bercanda
Papyrus yang dahaga tinta
~~
Langkah ini sudah berlari
Tak mungkin kembali
~~
Seperti Ratna Mulya bertingkah
Berpencak juang seindah madah
29 Disember 2006
~~~#~~~
Salam perjuangan
Tinggalkan saja 2006
Sahut terus 2007
Tak perlu toleh lagi
Depan sana jalan kita
~~
Keras itu semangat
Peduli itu hemah
Fikir itu hikmah
Depan sana jalan kita
~~
Pandang dengan benar
Susur dengan rencana
Tiada rentak tak bermakna
Depan sana jalan kita
~#~
Selamat Hari Raya Aidiladha
Salam Tahun Baru 2007

Monday, December 25, 2006

Serahkan Cinta Mu Kepada Tuhan

Serahkan cinta mu kepada Tuhan
Beri cintamu separuh saja pada insan
Kerna tangis dan runtun hati pada manusia
hanya bawa sengketa

Serahkan cinta mu kepada Tuhan
Kerna Dia membalas dengan bahagia
Kerna Dia menganugerah aman pada jiwa

Jalan yang lurus terbentang dihadapan
Pintu taman-taman yang berpohon rendang
Didalamnya mengalir sungai yang nyaman

Moga Tuhan ampuni aku
Moga Yang Maha Esa memelihara aku.

10.57 malam
25 Disember 2006
Shah Alam

Bicara dengan kanda Zalisa mengubat hati yang merengsa. Manusia akan mudah merasakan sakit hati jika menyerahkan seluruh hatinya kepada manusia. Tetapi jika kita melihat hati sebagai milik Allah, kesedihan yang melarat dan cedera hati akibat perilaku manusia lain terhadap kita adalah tidak patut. Serahkan hati kepada Allah. Tiba-tiba, kita boleh melihat dunia ini dengan mata yang lagi satu. Mata hati.
Keazaman yang luntur kerana hati yang pedih, bagaikan kembang kembali. Bukankah hati ini milik Allah? Maka ia harus disirami dengan semangat.

Thursday, December 21, 2006

Cambuk Hati

Cambuk Hati?

Kenapa hati itu mudah merasai kesedihan?

Kenapa makan hati? Bukankah terasa hati itu satu kebodohan?

Hati itu selalu sifatnya emosi. Tidak membawa hasil. Masih mahu kecamuk hati?

Soalan ini ku tanya pada diri sendiri. Kerna aku manusia, yang ada hati, ada hati maka ada rasa, ada rasa maka ada terasa. Tetapi berbaloikah melayan perasaan sedemikian? Bukankah aku tahu ia tiada membawa faedah dan untung.

Moga Allah mengampuni ku.
Begitu banyak peluang terbentang di hadapan mata, aku masih berdiri dengan hati yang sama.

Moga Allah mengampuni ku.

Tuesday, December 19, 2006

Mengapa hati di rasuk kebendaan?

Akal Memandu Hati

Hati, yang seketul itu
Candanya intim roh
Bertalunan suara
Memagar atma raga
Pagar tinggi tiang mahu
Pagar tinggi tiang nafsu

Yang tersimpan dalam tempurung kepala,
Sekadar buat ukur-ukur pagar
Sehingga ilmu yang tidak terukur
Terbiar bagai awan yang berlapisan
Menunggu bubar sesampainya masa

Akal memandu hati sebelum mati
Manusia atmanya jelas CINTA Ilahi


20 Disember 2006


Mengapa hati dirasuk kebendaan? Soal hati ini satu persoalan yang dalam. Hendak mengupasnya bukanlah suatu kerja mudah. Tapi persoalan ini mengetuk-ngetuk pintu mindaku dari hari ke hari. Bukanlah aku membencikan segala yang berbentuk kebendaan ini. Tetapi persoalan ini mengganggu aku sudah lama. Daripada zaman ku di matrikulasi lagi.
Mengapa manusia yang dapat biasiswa menghabiskan wangnya dengan membeli handphone tercanggih?
Mengapa manusia yang dapat biasiswa menghabiskan wangnya dengan membeli pakaian berjenama?
Mengapa manusia yang dapat biasiswa menghabiskan wangnya dengan membeli set mekap dan minyak wangi bagai artis ternama?
Bukankah biasiswa itu bagi pembiayaan buku ilmiah! Kesukaan hati lebih penting dari nyawa segumpal neuron dalam tempurung kapala? Aneh.
Sehingga kini persoalan itu tidak pernah lupus.

Tuesday, December 12, 2006

Manusia Mati Yang Hidup

Ilmu seperti cahaya matari
Lintasan menerangi hati
Berpasak pada masa yang tidak dilupai
Seperti tinta alKindi dan AlFarabi
"Kerana manusia berilmu tidak mati sesudah mati,
dan manusia hidup seperti mati jika tiada ilmu"

Waktu berhempas pulas merakam peristiwa, namun;

Manusia mengetuk pintu diri
Demi persoalan keinsanan
Demi persoalan kehidupan
Demi persoalan pencapaian
Seperti Socrates dia berteleku
Puncak fikirnya setinggi pundak
Berpintal ligat membenam akal
Manusia mati yang hidup
Mahu mati ternama
Mahu mati berharta
Mahu mati berjenama
Mahu mati berkuasa
Mahu mati bertema
Mahu mati berhamba
Mahu segala atas nama cita


12 Disember 2006

Hakikat manusia zaman kini.

Sabtu yang tragis, aku keracunan makanan. Ahad yang lebih tragis, aku ke karnival jomheboh menemani adik-adikku yang datang dari kampung. Aku cuma nampak unsur hiburan dan komersil saja dalam karnival ini. Tiada yang hebat apatah lagi yang menyumbang kepada masyarakat.

Baik, ada Kedai Dawama. Tapi juruwang amat tidak mesra pelanggan. Saya beli buku tau, bukan jual buku! Ada hadiah percuma, rupa-rupanya buku lama yang perlu dilupus dari stor dibungkus dalam kertas hadiah.

Tuesday, December 05, 2006

Modal Insan?

Hidup penuh dambaan
Isian kulitan yang perlu
Isian kulitan yang tidak perlu
Demi pundak dan jiwa yang berseteru
Manusia jadi insan pendamba
Manusia jadi insan pemikir
Manusia lupa jika tidak diajar
Manusia silap jika salah ajaran

5 November 2006


Aku memerhati dalam dua minggu yang sibuk ini. Memerhati teman sekerja yang menjadi organ, kaki dan tangan organisasi. Betapa sebenarnya manusia adalah makhluk yang sukar difahami walau pun boleh digembleng. Soalnya, insan ini mempunyai pelbagai kerenah, fiil, dan kelakuan sehinggakan segala macam teori dibina bagi memahami manusia.

Douglas McGregor telah mengkaji dan mengkelaskan manusia kepada dua teori, iaitu teori X dan Y (USA) , kemudian Dr. William Ouchi, memperkenalkan teori Z (Jepun) :

Teori X - manusia tidak suka dengan kerja, mengelak tanggungjawab dan adalah tugas pihak atasan mengarahkan kerja. Organisasi yang menggunakan teori ini mengamalkan pengurusan autoritarian dan menghukum.

Teori Y - manusia bercita-cita, bermotivasi, suka kepada tanggungjawab, mempunyai disiplin dan hala tuju. Manusia akan menjadi kreatif dan berinisiatif jika diberikan kebebasan melaksanakan tugasan.

Teori Z - manusia taat setia kepada organisasi dengan pekerjaan yang memberikan kepuasan bukan sahaja semasa bekerja tetapi juga kepada kehidupan harian. Pekerja merasa pekerjaan terjamin lalu meningkatkan produktiviti seterusnya memelihara moral dan memperoleh kepuasan diri yang tinggi.


Pengurusan atasan perlu bijak mengenalpasti teori mana yang perlu digunapakai. Tapi kitakan manusia, sebijakmana pun kita pasti ada yang akan tercalar serba sedikit. Lebih-lebih lagi buat manusia yang mudah terasa hati dan tidak faham maksud kerja cara profesional. Langsung kerja yang mudah, senang dan tepat arahannya juga terjadi kekurangan.
Orang lama berkata pegawai kerajaan dulu ada kualiti, komited, mempunyai nilai moral dan nilai keislaman yang tinggi dalam jati dirinya, tapi kini nilai-nilai itu semakin luput. Masyarakat pasti menuding dan menyoal mana silapnya.
Jati diri dan disiplin seorang insan yang lahir ke dunia dibentuk oleh pendidikan yang diterima melalui pengalaman dan asuhan. Manusia menerima pendidikan daripada ibu bapa, datuk nenek, guru, jiran, kawan, tv, masyarakat dan segala unsur yang bersekitaran dirinya. Unsur yang paling bertebaran di alam fana sekarang adalah unsur materialistik dan hedonistik. Langsung modal insan adalah satu isu besar buat negara.
Mengapa ada modal insan seperti dalam situasi ini? Adakah mereka lahir dengan teori X sebagai genetik?
Aku juga manusia biasa yang terikat dengan hukum alam dan fitrah. Insan lemah dan lupa. Semoga teman-teman sentiasa menghulurkan persahabatan dan membantu aku melihat jalan ke hadapan. Semoga pandangan sinis seorang manusia yang menilai diri seorang manusia lain dengan harta kebendaan tidak terkesan pada diri kita. Teman-teman, ingatkan daku ya!

Monday, November 27, 2006

Perhimpunan Adikuasa Pelusuk Negeri

Aku lelah
Dijenuhi seluruh akal dan kudrat
Demi perhimpunan adikuasa pelusuk negeri

Lalu ku pohon, moga Allah mengubati lelahku
Dengan seberkas tinta ilham buatku lakarkan hati
Demi bahasa dan hikmah yang bernyawa dibenak insani


27 November 2006 (Isnin)


Aku terlalu letih menegakkan kekuatan yang bertiangkan tanggungjawabku terhadap tugasku yang satu ini. Memastikan perjalanan perhimpunan adikuasa pelusuk negeri berlangsung dengan lancar dan damai. Kudratku sebagai serikandi seringkali diuji, namun aku tetap menguatkan diri. Biarpun aku cuma serikandi, aku bangga. Pahlawan gagah yang seringkali mengangkatkan diri dengan kejantanan mereka, seringkali tidak bertahan sehingga purnama menampakkan diri di langit malam. Perhimpunan adikuasa pelusuk negeri ini, bertunjangkan kekuatan serikandi biasa cuma. Bukan aku seorang, tetapi serikandi-serikandi yang berjuang sama dengan ku. Moga Allah memberikan kami lebih kekuatan dan kesihatan.

Pahlawan gagah berani, simpan saja lagakmu dalam peti kayu di rumahmu. Serikandi-serikandi ini tidak heran dengan lagak bongkak mu.

Monday, November 20, 2006

Ayat-ayat Cinta dan Bengkel KarnaDya

Rumput semakin menghijau di kakiku
Langit semakin membiru di kepalaku
Sayap yang kusimpan ditapak tanganku
Kupakaikan ke jiwa nubariku, untukku terbang
Pantas menyusup segenap pelusuk alam

Langit biru itu tersenyum kepadaku.

21 November 2006 (Selasa)


Alhamdulillah. Debaran menantikan hari bengkel KarnaDya telahpun reda. Bengkel itu telah pun ku hadiri pada hari Sabtu lepas, 18 November 2006. Dr. Rahim memberikan penerangan berkaitan penggunaan tatabahasa terutama Kata Tugas. Walau pun, pengajaran Dr. Rahim hanya perkara asas dalam tatabahasa, ia menyedarkanku banyak lagi yang perlu dipelajari.
Kak Aina Emir telah membakar api semangat semua peserta bengkel. Kata-kata hikmah Kak Aina menyusup dalam jiwa kami seperti ayat-ayat cinta sehingga aku jadi rindu bayangan dengan bengkel itu.
Seperti yang Kak Aina katakan, hendak menjadi penulis memang banyak rintangan, rintangan-rintangan itu tidak boleh dijadikan alasan. [Hatta, kesibukan bekerja yang menuntut hingga ke malam sekalipun! (Arghh, kuat semangat seperti Puteri Daluwarsa!)]
Paling Kak Aina tekankan, disiplin. Mesti memperuntukkan masa penulisan khusus dalam satu hari. "Tulis! jangan tak tulis!". Menulis juga tidak boleh ikut mood, tapi bila kebuntuan melanda melanda cari Kamus Dewan, kutiplah apa jua perkataan yang menarik minat mata dan himpunkan. Perkataan-perkataan itu boleh digunakan semula semasa menyambung penulisan.
"Betul kata Kak Aina, bila kala rajin buka Kamus Dewan, puisiku ada kosa kata baru. Waduh, sudah lama tidah membedah Kamus Dewan."
Mari menulis sahabat-sahabatku, pena itu tidak harus kekeringan tintanya!







Tuesday, November 14, 2006

Ariyatna Wisesa


Ariyatna Wisesa

Langkahnya jitu

Jiwa atmanya tiada longlai

Kerana hidupnya sebagai Puteri Daluwarsa

Aku,

Hanya meminjam semangatnya,

Kerana aku bukan Puteri Daluwarsa,

Di tanganku hanya sekeping mimpi yang bersayap,

Dibawah langit yang hendak kudakap.

Siapakah Ariyatna Wisesa

Ariyatna Wisesa adalah puteri yang lahir dalam keluarga diraja Daluwarsa. Lahir dalam Kerajaan Daluwarsa yang telah menjadi tiga, Kerajaan Yura Wisesa. Sebagai puteri sulung dia diberi gelaran Puteri Daluwarsa. Gelaran itu bermakna dia adalah bakal maharani Daluwarsa jika dia berkahwin sebelum usia adinda lelakinya ditabalkan sebagai Putera Daluwarsa. Tetapi ayahanda Ikned Wisesa, enggan menerima Ariyatna mengatasi putera Aomiyan.

"Aku tidak mahu dianugerahi gelaran Puteri Daluwarsa, sekiranya anugerah itu menjauhkan kasih ayahanda."

"Biar aku mencari Hikayat Daluwarsa Agung yang hilang itu. Kerana laknatnya keturunan Adreuarsa itu, sehingga mengotori bangsa Daluwarsa."

"Moga ayahanda memandangi aku dengan rasa kasih dan bangga bahawa puterinya berjasa menemukan Hikayat Daluwarsa Agung yang telah hilang dalam perang Adreuarsa."

Siapakah Ramidri Adreusa?

Adakah darahnya dari Raja Adreuarsa? Ariyatna belum mengenalinya, apatah lagi bersua. Benarkah?


Friday, November 10, 2006

Ku Bujuk Hati Yang Menangis



Aku ingin menangis
Tetapi bahu yang ingin kusandar itu jauh
Lalu aku menangis dalam sepi
Sehingga sepi itu sendiri tidak menyedari air mataku yang jatuh

Ku bujuk hati
Bukankah Yang Maha Kasih memberikan hidup supaya kutempuhi
Kupohon moga senantiada ada kasih sejernih air di kaki Ismail buatku

Ku bujuk hati
Bukankah Yang Maha Cinta itu sentiasa melihat daku
Ku pohon moga ada cinta senikmat meneguk air dari syurga didadaku

10 November 2006 (Jumaat)


Aku menangis. Kesedihan apakah yang menjerut dadaku sehingga terperah air mata lalu jatuh ke pipi ku. Aku tahu kenapa. Tetapi aku tidak mampu meluahkannya. Aku tidak tahu bagaimana mahu bicara dengan teman yang lain tentang segala yang merojak dalam benak. Adakah benar aku ini sabar, sehingga Yang Maha Kasih memberikan situasi-situasi ini untuk kutempuhi? Adakah benar aku tabah? Atau aku buat-buat tabah? Aku bingung.

Aku tidak tabah. Kalau aku tabah pasti aku mendepani teman-temanku dengan senyum tawa girang. Apakah yang meracuni atma ku hingga tiada bicara yang mahu terzahir dari lidahku.

Kalau kuluahkan. Segala yang ditetapkan untukku itu tetap perlu kutempuhi. Argh..Biar kusimpan saja buat diriku.

Aku tidak dapat berpura-pura tabah. Aku tidak tabah. Tapi aku mengaku tabah. Ya Allah, tabahkah hamba Mu ini?

Thursday, October 19, 2006

Cinta Dari Ilahi

Kekasih itu hendak meninggalkan daku
Walau telah ku dakapi dia dengan jiwaku
Dia hadir kerna anugerah Ilahi Yang Maha Tinggi
Buat manusia yang mahu meneguk cinta redha Yang Maha Agung

Embun Ramadhan yang membasah kala dinihari
Mensucikan jiwa-jiwa yang kering
Melembutkan hati-hati yang bertulang hasad
Menyamankan seisi benak yang menakung akal

Harapku ada cinta Ramadhan yang masih diam didadaku
Harapku ada cinta Ramadhan yang memutih pada tulangku
Harapku ada cinta Ramadhan yang bergaul dalam nafasku
Harapku ada cinta Ramadhan yang berarus dalam darahku

Kerana Ramadhan itu adalah cinta dari Ilahi Yang Maha Pengasih

Monday, September 18, 2006

Kembara Ke Nigeria

Salam teman semua, sebenarnya catatan pengembaraan ke Siam masih belum selesai. Catatanku tempoh hari terhenti pada kembara hari kedua. Nah, bila pulang dari Nigeria, aku bersemangat hendak menyambung semula catatan kembara lengkap bergambar hari ketiga di Siam. Gambar-gambar itu ku simpan dalam desktop pejabat. Aduh! 14 hari tak jejak pejabat, blogspot kena banned. Mana mungkin! Pasrah (dalam hati marah), aku tiada perasaan hendak memindahkan gambar-gambar itu ke dalam thumb drive, supaya nanti kemudiannya dapat dipostkan di sini. Biar sampai situ saja!

Jadi di sini aku terus saja kepada catatan pengembaraanku ke Nigeria, negara bekas jajahan British di Afrika yang memperoleh kemerdekaannya pada 1 Oktober 1960. Terbang ke Afrika memang meletihkan. KL - Dubai - Lagos - Abuja (penerbangan + transit) ambil masa 26 jam. Transit di Dubai kerana mengelakkan terbang dengan British Airways (MAS tak ada penerbangan terus ke Abuja). Almaklum dengan isu Lapangan Terbang Heathrow, makanya terbang aja dengan Emirates. Orang kulit putih selamba aja naik sekapal dengan pak arab. Tak takut pun. Heh.




Penduduk Nigeria beragama Islam (50%), Kristian (40%) dan menganut kepercayaan animisme (10%). Bila dapat tahu ia negara Islam dan mengamalkan undang-undang syariah (12 negeri daripada 36 negeri + 1 wilayah sahaja), kurang sikit kerisauan pasal makanan halal. Hah! Iyelah tu! Sarapan pagi pun berhidang daging yang membuang selera tu!




Tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Lagos, salah satu bandar di Nigeria, kami dibawa menaiki van dengan diiringi oleh kereta peronda polis ke lapangan terbang domestik, juga di bandar Lagos. Penerbangan domestik sangat-sangat mengerikan. Tiket kami tidak ada boarding pass, staf kaunter cuma tulis dengan pen saja nombor tempat duduk kami. Haru-biru pun ada. Bila nak terbang, sesama dia keliru dengan kehadiran kami. Macam mana orang asing muncul naik penerbangan domestik. Nasib baik kasi naik, kalau tak kasi, alamat mogok tak tidurlah kami.


Tiba di Abuja, mendarat di lapangan terbangnya agak tua, sempit dan tidak ada rupa lapangan terbang. Gatal tangan nak merakamkan suasananya dengan lensa kamera, tiba-tiba aku disergah oleh sekuriti airport. Bukan main marah, siap nak rampas kamera lagi, siap tanya sama ada aku ni reporter! Nasib baik orang kedutaan Malaysia ada. Selamat kemala ratnaku (kamera) hehe...

Kisah ini baru penceritaan tentang satu hari campur 2 jam pengembaraan merentas Selat Melaka, Teluk Bengal, Laut Arab, Teluk Parsi dan separuh benua Afrika. Ada masa, ada peluang, ada talian internet campur tidak di banned di kawasan luar pejabat, maka akan disambung.





Sunday, September 03, 2006

Kembara ke Negeri Siam 2



Kembara hari kedua bermula menuju ke perkampungan Puak Karen, berleher panjang. Pagi yang indah dengan pemandangan sawah padi.






Wanita di sini memakai gelung di leher. Gelung ini boleh mencapai berat sehingga 14 kilogram. Sebenarnya, bukan leher mereka panjang, tetapi bahu yang jatuh akibat menampung berat gelung.






Berhenti makan nenas yang dijual tepi jalan. Manis dan sedap.







Kedai makanan halal di Chiang Rai. Makan tengah hari di sini. Sup dagingnya sedap betul. Sampai sekarang masih terbayang. Fuh!









Pintu gerbang ke masjid. Lorong masuk di celah-celah bangunan kedai.








Tenang dan tenteram kawasan masjid ini.










Selesai makan tengah hari, singgah di sempadan siam-myanmar. Di sini barang kemas seperti batu-batuan ratna mudah didapati. Pintu gerbang biru itu adalah sempadan Myanmar.




Perjalanan hari kedua belum selesai. Nantilah, balik dari Nigeria aku postkan kat sini. Teman-teman semua, aku akan kembara pula ke Afrika Barat. Sekadar melunaskan tugas-tugas rasmi dan akan kembali pada 14 September 2006 ini.

Salam dan salam temu kembali nanti.

Wednesday, August 30, 2006

Kembara ke Negeri Siam



Aku kembara ke Chiang Mai dan Chiang Rai, Negeri Siam. Melihat negeri orang, semakin jauh perjalanan semakin luas pemandangan. Semakin luas pemandangan, semakin banyaklah pengalaman. Ini Alan, pemandu pelancong berbahasa Inggeris yang kadang-kadang aku tidak faham sebutannya.


Bendera raja dipasang sana-sini sempena ulangtahun kelahiran ibu kepada Negeri Siam ini. Permaisuri Siam adalah ibu kepada semua rakyat Thailand.






Permaisuri Thailand mempunyai lambang dan warna dirajanya sendiri iaitu warna biru.







Pergi ke Shinawatra Thai Silk. Kedai sutera Thai eksklusif ini milik keluargaThaksin Shinawatra, Perdana Menteri Thailand.




Shinawatra Thai Silk dimulakan oleh ayah Thaksin pada tahun 1929 dengan membawa kepakaran dari negeri China. Keluarannya tidak terhad kepada kain, tetapi juga koleksi baju lelaki dan wanita daripada pakaian kerja, santai hingga ke baju tidur, juga barangan perhiasan rumah seperti sarung bantal kusyen, lapik meja dll. Semuanya cantik-cantik dan mahal-mahal belaka. Orang perempuan kelabu mata.



Aku patut kembara dengan kuda semberaniku, tidaklah bermasalah macam ni. Bas semput kerana hendak ke Chiang Rai perjalanannya memanjat gunung. Perjalanan diteruskan sejam kemudian, setelah pemandu menyejukkan enjin dengan air sungai.



Sampai di Chiang Rai jam 9.30 malam, kami menginap di hotel Inn Come. Selesai perjalanan satu hari. Esok, kembara akan berlangsung lagi.

Catatan ini dibuat pada 10 Ogos 2006, perjalanan hari pertama dari lapangan Terbang Chiang Mai ke Chiang Rai.

Saturday, August 19, 2006

Diam Itu Pilu, Diam Itu Cinta

Diam itu pilu
Terpenjarakan hati
Dalam perdu jiwa sayu
Kerna diam itu batu
Tenggelam jauh dalam lautan
Sehingga hilang suara merdu
Seorang puteri dalam tangis pilu.

Diam itu juga cinta
Terbangnya ke alam luas
Bersayap rindu berjiwa teguh
Kerna diam itu angin
Terbangnya jauh seberang lautan
Sehingga pulang kembara
Seorang puteri dengan merdeka.


20 Ogos 2006 (Ahad) - Shah Alam

Terlalu banyak yang ingin aku tuliskan. Terlalu lama meninggalkan dunia cahaya puisi ini. Terlalu lama juga meninggalkan kamu semua teman-temanku. Terlalu lama yang aku sendiri tidak hendak.

Terlalu lama sehingga apa yang ku tuliskan ini terasa basi sahaja. Tetapi aku yakin isunya tidak harus basi. Ianya soal pengukuhan sistem undang-undang syariah yang menapaknya sudah lama di negara Malaysia tetapi masih kanak-kanak dalam perkembangannya.

Pada 27 Jun 2006 yang lalu, Majlis Mahabbah bersama Jabatan kehakiman Syariah Malaysia berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Peserta-peserta yang hadir terdiri daripada kakitangan awam, guru sekolah sehinggalah pelajar sekolah. Matlamat utama Majlis Mahabbah ini bagi memberikan penerangan dan pengenalan tentang Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia yang telah ditubuhkan berikutan Jemaah Menteri bersetuju dengan penyusunan semula Mahkamah Syariah seluruh Malaysia pada 3 Julai 1996.

Apabila bahagian Mahkamah Syariah ini keluar dan terpisah daripada Jabatan Agama Islam Negeri Selangor, jabatan ini hanya tinggal 4 orang hakim bagi keseluruhan Negeri Selangor. 4 orang hakim ini yang mengendalikan masalah kehakiman syariah di 9 daerah. Penyusunan semula Mahkamah Syariah mengatasi masalah ini apabila 4 orang hakim mahkamah rayuan syariah diwujudkan bagi menimbang kes rayuan mahkamah rayuan negeri-negeri.

Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia memperkemas Jabatan Kehakiman Negeri-negeri melalui pengenalan Skim Perjawatan Gunasama bagi pegawai-pegawai Mahkamah Syariah seluruh Malaysia, mengadakan persidangan pegawai kehakiman syariah seluruh Malaysia secara tahunan, melibatkan semua Jabatan Kehakiman Negeri yang telah menyertai Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia mendapatkan pengiktirafan MS ISO 9001:2000 dan memperkenalkan laman web esyariah.gov.my.

Jabatan ini begitu luas impaknya kepada masyarakat dan negara. Penentu hala tuju kehakiman syariah Malaysia ini bertatih-tatih memperkukuhkan kedudukannya di negara Islam ini. Kehakiman sivil begitu matang kerana sudah berkembang sejak tahun 1937, di bawah Enakmen Undang-undang Sivil 1937 yang meletakkan Negeri Selangor, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan sebagai Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Apabila Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu menyertai Persekutuan Malaya pada tahun 1948, Ordinan Undang-undang Sivil (Tambahan) 1951 digunapakai dan merupakan undang-undang sebelum ini yang diperpanjangkan kuatkuasanya ke atas negeri-negeri Perlis, Kedah, Terengganu, Kelantan dan Johor. Enakmen ini kemudiannya digantikan dengan Ordinan Undang-undang Sivil 1956 yang berkuatkuasa ke atas 11 negeri persekutuan. Perkembangan kehakiman sivil juga dibantu oleh peguam-peguam sivil yang bersama-sama hakim mendalami undang-undang sivil semenjak penubuhannya. Nyata sekali, perundangan syariah Malaysia perlu segenap daya usaha pengamal undang-undang Syariah, baik dari hakim hinggalah ke peguam syarie, saling bantu- membantu memperkukuhkan tiang seri Kehakiman Syariah Malaysia milik Islam.

Segalanya belum terlambat, tetapi segalanya akan berlalu dengan pantas. Samada Kehakiman Syariah akan terus ketinggalan berbanding Kehakiman Sivil adalah terletak pada kesungguhan umat Islam Malaysia sejagat sebenarnya. Ia bermula daripada kita juga.

Di sini ku tamatkan nota yang telah bersesak-sesak dalam benak. Akhirnya tertulis di sini. Nanti akan ku tuliskan pula cerita pengalamanku mengembara ke negara Siam. Tidak puteri ini ke negara Siam bukan mencari Putera, Putera ku di Tanah Melayu saja, di negeri gunung.

Tuesday, July 25, 2006

Pesta Buku Selangor 2006

Perpustakaan Awam Negeri Selangor menganjurkan pesta buku yang menghimpunkan 40 penerbit dan penggiat industri buku di Kompleks PKNS bermula pada 25-31 Julai 2005. Pesta Buku ini dirasmikan oleh Y.B. Dato' Ahmad Nawawi bin Dato' M. Zin, EXCO Pendidikan, Sukan dan Pembangunan Insan Negeri Selangor mewakili Y.A.B. Dato' Menteri Besar Selangor.

Jadual aktiviti Pesta Buku Selangor 2006

25/7/2006 (Selasa)

11.30 -12.30 - Puppet Show dari Kelip-kelip PPAS

26/7/2006 (Rabu)
12.00 - 1.00 - Persembahan Perpustakaan Komuniti MPPJ

1.00-3.00 - Persembahan Pelajar SMK Pendidikan Khas Seksyen 17

3.00-5.00 - Forum:Menulis, hobi atau ganjaran?


27/7/2006 (Khamis)
12.00 - 1.00 - Persembahan Perpustakaan Kuala Lumpur

3.30 - 5.30 - Bersama ilustrator/pelukis


28/7/2006 (Jumaat)
3.30 - 5.30 - Pertandingan melukis kulit buku.


29/7/2006 (Sabtu)
11.00 - 12.00 - Peraduan mewarna si kembar.

1.00 - 2.00 - Persembahan Karyawan Remaja Universiti KL

2.00 - 3.00 - Busana Muslim dari Dara.com

3.00 - 4.00 - Persembahan bercerita dan MBBY sory tellers


30/7/2006 (Ahad)
11.00 - 1.00 - Program kemahiran mencari maklumat

1.00 - 3.00 - Persembahan kebudayaan Jabatan Kebudayaan dan Warisan

3.00 - 5.00 - Bersama Kavyan


31/7/2006 (Isnin)
11.00 - 1.00 - Kuiz membina minda

1.00 - 3.00 - Demonstrasi melukis bersama kartunis


Datanglah beramai-ramai ke PKNS Shah Alam. Iklan ini percuma, PPAS tidak membayar saya.


Kempen membaca tahun ini "Bangsa Membaca Bangsa Berjaya". Memang maksudnya sangat jelas. Begitu juga jelas sekali, penduduk Shah Alam tidak berapa mengerumuni booth-booth yang ada sepertimana mereka selalu mengerumuni booth-booth jualan pakaian dan tudung. Mungkin hari pertama, 25 Julai, tidak ramai yang tahu. Bagi peminat buku, pesta buku adalah pesta keramaian. Anda bagaimana? Jangan pandang sepi kempen ini. Ingat! Bangsa membaca bangsa berjaya!

26/7/2006

Tuesday, June 20, 2006

Aku Mahu Bangkit dalam Damai

Kuseru damai yang hilang
Bersama nafasku di awan
Tatkala sinar juang paling terang
Gelung akalku berkelibut
Aku dipeluk selut kemelut perjuangan
Sehingga nafasku sesak dalam kekuatannya

Aku mahu bangkit, tapi aku mesti bangkit dalam damai.

20 Jun 2006


Aku masih terkejut dan masih terasa seperti di awang-awangan. Aku boleh merasakan pengawasan minda ku berkurangan kerana ubat penenang yang diberikan doktor. Ah, aku benci disuruh bodoh begini.
Semalam aku diserang anxiety attack. Tidak boleh bernafas, tangan dan kaki kebas, kepala hampir kebas, aku hampir-hampir hilang sedar apabila memejamkan mata. Namun demi mengingatkan banyak lagi perkara yang belum aku lunaskan, kerja pejabat dan penulisanku, maka aku melawan. Aku bangun dan memanggil jiran menghantarkanku ke klinik. Maka aku terpaksa memaklumkan kronologi situasi yang membawa aku kepada serangan tersebut kepada Dr. Soraya.

"You're over do it."

"You have to slow down, not going to class once a while."

Ayat-ayat Dr. Soraya mengocak kolam damai hatiku. Aku tidak mahu tidak hadir kelas penulisanku. Aku tidak mahu tidak hadir kelas editorialku. Aku tidak mahu tidak hadir kelas hari Sabtu dan Ahadku yang menyalakan perjuangan dalam hidupku.

Aku juga harus meneruskan perjuangan penulisanku yang aku ladeni saban malam, walaupun geraknya seperti kura-kura yang baru belajar berjalan. Aku mesti meneruskan.

Serangan ketidaktenangan adrenalin ini terjadi, juga akibat aku mendesak diriku menyiapkan kertas kerja yang harus dibentangkan di hadapan adikuasa negeri sebelum dibentangkan pula dihadapan perhimpunan adikuasa pelusuk negeri. Kertas itu ku ladeni hingga jam 4.30 pagi sebaik sahaja pulang daripada bengkel karya pelukis dan penulis oleh Sdr Zunar, Ahad lepas.

"Your body clock warned. It want you to stop and relax." Dr. Soraya menegaskan.

Damai. Iya, itu yang aku perlukan saat ini. Ubat Dr. Soraya tidak mendamaikan, cuma menerbangkan aku di awan (rasa diawang-awangan).

Dr. Soraya pesan supaya aku pergi window shopping dengan adikku dan menonton wayang yang bodoh-bodoh. Wayang yang menggembirakan dan menceriakan. Wayang Melayu?
Tapi aku nak baca Sejarah Falsafah dan World's Mythologies yang ku beli, belum habis menelaah. Damai. Tidak damai juga.
Maaf puan doktor, pesakit puan yang ini memang degil. Tapi saya akan tonton wayang, Superman Return.

Monday, June 05, 2006

Rupa Sebuah Rindu


Kasih, biar kau tahu rupa sebuah rindu
Kerana merindui itu sengsara rasa
Walau indah ujana kayangan
Intan dan puspa serasa penjara

Kasih, rupa sebuah rindu
Bak pucuk yang menjulang
Meraih sinar sang mentari terang
Labuhnya malam bagai penghujung
Ditelan sepi kelam yang tak bertepi
Itulah pautan rindu menduri hati
Kasih, rupa sebuah rindu
Bak pantai yang dibisikkan alunan laut
Disapa dan dibelai dalam pelukan ombak
Surutnya sang laut bagai takkan bertaut
Memilukan atma duka lara sebuah penantian
Itulah deburan rindu merawan jiwa

Kasih
Kerana rindu sang rama-rama hilang warna
Kerana rindu si bunga tanjung hilang harum
Kerana rindu sang Cinta menjadi penyair
Kerana itulah rupa sebuah rindu

Ratna Alam @ Ariyatna
Aku rindu pada dia, sepertimana Ariyatna rindu pada Rameulnya.
Aku rindu pada dia, seperti mana Jediadri rindu pada Obi Wan Kelubinya.
Aku rindu dalam kembara ku, sepertimana dia dalam kembaranya merindui aku.
Demi kembara yang tidak pernah usai,
Demi kembara yang menuntut pedangmu,
Demi kembara yang melelahkan kudamu,
Demi kembara yang mengikis perisaimu,
Leonidas Spartacus, kuatlah usahamu,
Moga jaya yang direstui Ilahi itu milikmu.
"terbanglah wahai camar cintaku, terbang mu demi mengejar sebuah impian dan harapan, dan kepulangan mu adalah penawar kerinduan, dan aku jua akan terbang seperti sang rama-rama yang mengejar impian, dan aku akan pulang kerana akulah penawar kerinduan mu"

Monday, May 29, 2006

Demi Kehidupan Serba Saduran


Kehidupan ini saduran
Di atas pandangan mata
Ada lapis-lapis yang gelap
Memberati kelopak mata akal
Bersusun memenuhi jiwa manusiawi
Seperti rak-rak yang memuati khazanah
Di perpustakaan Cordoba

Hamparan cinta yang memenuhi dada
Adalah pengisian makna-makna
Ini lapisan untuk ku, namanya darjat
Ini lapisan untuk ku, namanya kaya
Ini lapisan untuk ku, namanya gaya
Hamparan yang melebarkan dada manusia
Lantas menjepit kiri dan kanan pintu jiwa
Lantas membutakan kiri dan kanan mata rasa
Daripada menikmati luas hakikat yang memenuhi langit

Berperut rasa inilah hidup
Berjantung debar inilah nyawa
Berhembus nafas inilah nyata
Ini lapisan untuk ku, namanya darjat
Ini lapisan untuk ku, namanya kaya
Ini lapisan untuk ku, namanya gaya.

Lapis-lapis yang gelap terlalu rapat
Mengatapi ruang-ruang berakal
Tiang-tiang tebal yang sebal
Membentengi kehidupan saduran
Manusia buta pandangan hakikat
Manusia tuli kemerduan irama nikmat
Manusia menghidupi ukuran duniawi
Lalu terkatup kelopak mata nilai diri
Demi kehidupan serba saduran


29 Mei 2006 (Shah Alam)

Aku hidup di sekitar manusia-manusia yang menjadi tukang ukur. Yang sentiasa mengukur-ukur kehidupan manusia lain. Aku jadi orang bersalah kerana tidak mengikut kayu ukur yang telah dipacakkan di tengah kumpulan kehidupan yang menyekitari aku.

Aku jadi orang bersalah kerana bersederhana dalam hidup. Aku jadi orang bersalah kerana mahu menghindari hidup berhutang demi gaya dan keselesaan. Aku jadi orang bersalah kerana sanggup meredahi hujan dengan kenderaan pacuan 2 roda ku. Aku jadi orang bersalah kerana koleksi pakaianku tidak bertambah. Aku jadi orang bersalah kerana tidak memakai sepatu dan tas tangan berjenama. Aku jadi orang bersalah kerana menjamah juadah murah. Aku serba-serbi bersalah.

Walau bagaimana bersalahnya aku ini dalam perbicaraan mahkamah itu, aku tersenyum kerana saksi ku adalah aspirasi kehidupan yang sentiasa menunjuki jalan bahawa keindahan dan kebahagiaan adalah lebih daripada ukuran-ukuran sedemikian.

Semuanya adalah daripada Ilahi. Milik Ilahi.

~~~~~

Sajak di atas ku bingkiskan buat diriku dan buat teman-teman yang sedang berlawan dengan kesaduran dunia masa kini.

Teringat kata-kata cikgu Luo Pu Ti kepada murid-murid kelasnya semasa mengajarkan bahasa Korea.

*“Jika dilanda masalah atau kesunyian. Bacalah sajak. Kerana sajak membuatkan kita merasai bahawa kita adalah insan paling bernilai dalam dunia.”
Seorang muridnya, Zhao Bi yang sebatang kara. Tiada ayah, ibu mahupun adik beradik. Tiada teman akrab untuk berkongsi cerita. Memelihara kucing sebagai teman bicara kerana bimbang jadi bisu. Tinggal di bilik kecil di kawasan setinggan. Menderita tumor tetapi tiada kemampuan untuk mengubatinya. Lalu dia memiliki semula semangat hidupnya kerana seorang guru yang mengajarkan bahawa dirinya paling bernilai dalam dunia.
Terima kasih cikgu! Terima kasih Sifu! Selamat Hari Guru!

(*Petikan daripada episod 16 Drama Korea - Biscuit Teacher and Star Candy)

Thursday, May 18, 2006

Sang Petaka (Manusia) Tidak Menyintai Seadanya

Rimba belantara yang bersuara merdu
Sudah hilang nada alunan mendayu
Kugiran unggas yang selalu menyapa jiwa
Sudah henti segala pesta ria

Rimba belantara yang hijau rimbun
Duka nestapa merayap di kakinya
Tegak merayu sang petaka dan jentolak
Tatkala meranap sang pohon dan unggas

Kasih yang tinggal tegaknya berdaun kering
Kakinya kotor dengan darah kecurangan
Manatah hendak merayu dan memaki
Saat cinta ranap dikuburkan di kaki

Biarpun langit luas bertangisan meratap kasih
Rindunya hilang tiada mahu memeluk butir cinta
Rindunya tiada kudrat lagi bagi menadahi cinta
Sehingga bah cinta tiada terlarang merosaki semua

Nada irama berlagu sayu di celah awan-gemawan
Melagukan hiba sang rimba belantara hujan perawan
Cuma Sang Petaka tidak mencintai seadanya
Kerana kecurangan itu menambah tebal kocek.


26 Mei 2006 (Jumaat)

Sumber inspirasiku dilanggar jentolak. Pemandangan serba menghijau yang menjadi tangga ke alam fantasiku diranapkan oleh kerakusan jentolak. Aku menyaksikan pohon-pohon getah yang tegak itu dilanggar dan dikebumikan disitu juga. Ada pohon yang sengaja ditinggalkan, buat meredupi taman buatan. Indah sangat taman buatan itu nanti. Tidak semak dan membiak monyet.

Aku melihat manusia selalu inginkan keindahan. Tetapi keindahan yang diciptakan itu tidak mengambilkira sifat alam semulajadi. Salahkah tanah indah ini kerana penuh rimba hutan hujan. Salahkah tanah ini jika bunga musim sejuk tidak mahu hidup melata. Manusia selalu begitu, tidak tahu untuk mencintai seadanya.

Salahkah aku kerana tidak mampu menahan sejuknya pendingin hawa. Aku anak bumi tropika. Mahu bernafas di bawah rimbun pohon dan menghirup segarnya bau daun, akar dan debunga. Bukannya menghela nafas dari haruman buatan yang dilekatkan pada pendingin hawa.

Tuesday, May 09, 2006

Cerita Perjalanan ke Kuantan

27 Mac 2006, perjalanan ke Kuantan.

Setelah mendapat perutusan, panggilan daripada negeri gunung maka berhimpun sekalian setia adikuasa di bumi Pahang, negeri gunung. Aku, pemegang buku segala atur dan segala tentu, menerima arahan mengiringi setia adikuasa bumi sini.
***
Maka pengembaraan pun berlangsung
Perjalanan yang membawa ku ke negeri gunung
Langit mendung warna kelabu
Hujan menerjuni langit menujahi pandangan
Cahaya yang tertinggal di sisip awan mulai hilang
Habis ditelan semua oleh kegelapan malam
Seperti naga nantaboga menelan bulan
Lalu tiada berteman sang pungguk yang kepiluan

***

Komputer di ribaan ku ketuk dibawah cahaya lampu bacaan yang menyuluh dari atas kepalaku. Menghilangkan kebosanan dalam perjalanan dan menggunakan sepenuhnya komputer riba yang baru kubeli. Peti ajaib itu ku beli pada 25 Mac (Sabtu) yang lalu selepas Kelas Editorial dan Penulisan Kreatif Bahasa Klasik anjuran PTS. Peti serba ajaib ini tidak boleh berpisah dariku.

Sesekali memandang ke hadapan. Jalan yang berturap hitam menambah warna pada kehitaman malam. Ada jalan yang tiada tiang lampu dan ada pula selekoh yang tiada penghadang tebing.

Kenderaan pejabat yang dinaiki terasa goyang. Bukan kerana digoyangkan mana-mana makhluk. Tetapi kerana kereta ini bertukar tayar sebelum memulakan perjalanan. Tidak berjaya diserasikan oleh si pemasang tayar di pusat tayar petang tadi. Memandang kiri dan kanan lebuhraya pantai timur, segalanya gelap dan sepi. Janganlah pula tayar kereta ini tercabut pula. Aku hanya mampu bermohon daripada Allah supaya perjalanan ini penuh keselamatan dan kesejahteraan. Akhirnya tiba di Kuantan. Maka berhimpun dan bermesyuarat sekalian Setia Adikuasa sekalian Negeri Tanah Melayu dan Tanah Borneo di Negeri Pahang.
Pulang. Singgah membeli keropok lekor dan keropok kering yang siap dibungkus. Keropok 926. Macam barang emas pula. Oh, rupa-rupanya keropok itu mendapat bekalan ikan daripada jeti 926.

Hanya doa yang mampu terbang merapati

Hatikubicara
Mengajarkan erti cinta
Mengajarkan cahaya aspirasi
Dalam pelukan nafas kehidupan
Setelah menemukan cintanya (Sha)
Dia kembali kepada Cinta
Hanya doa yang mampu terbang merapati
Hanya bicarahati yang masih didengari
Hatikubicara, Al- fatihah.


“Teruskanlah menulis, tulis terus dari hati, kerana apa sahaja datangnya dari hati, merupakan apa yang kita rasa, timbul dari perasaan. Dan ingat selalu, tulislah yang baik-baik, agar ianya dapat menjadikan diri sendiri dan pembaca-pembaca menjadi insan yang lebih mulia lagi.”

Pesanan terakhir Ghaz membuatkan aku terkedu. Sungguh lama aku meninggalkan blog ini dengan warna kecewa yang pekat hitam. Kerana peristiwa hancur luluh sebuah kepercayaan, telah membuatkan aku takut untuk meninggalkan apa-apa bingkisan di sini. Kepada teman-teman yang lama tahu, ariyatna adreuarsa bukanlah nama asal blog ini. Aku mengunakan nama sebenarku tanpa selindung. Namun, kerana duka aku melenyapkan nama itu. Lantas, hanya sisi diriku yang misteri itu yang ku hantarkan sebagai wakil ku disini. Namun, sisi diriku yang misteri itu tidak dapat memancarkan kerdip cahaya nubari di jendela ini. Sehingga jendela ini, penuh dengan pekat hitamnya hati yang kerapuhan lantaran aku tidak menulis di sini seperti sewajarnya.

Terima kasih Ghaz, kerana mengingatkan aku untuk terus menulis.

Kanda Zalisa, adindamu ini terlalu bertangguh untuk membingkiskan tulisan ini. Sudah terlalu tangguh. Namun, harus diletakkan jua.

Monday, May 08, 2006

Langit ini dicurahi cahaya penuh kasih

kesuraman yang meredupi langitku
adalah rapuh dan kehitaman perasaan
yang berbaki daripada hati yang dilukai
aku sedang membungkus ia dalam peti perasaan
yang akan ku lontarkan ke laut kelupaan

awan hitam yang mengumpal di langit
tidak akan menerjuni lapis langit cahaya
tidak akan membasahi bumi atma seri jiwa
tidak akan melintasi biru langit yang kupandang

Biarpun kerdipan bintang itu
Sinarnya enggan melintasi aku
Mentari yang manis dari Ilahi
Sentiasa mencurahi penuh kasih


9 May 2006 (Selasa)


Aku mahu lupa. Lupa itu kadangkala bagus bagi tidak mengingati sesuatu yang tidak perlu dalam ingatan. Lupa itu kadangkala suci, kerana ia menghapuskan dendam. Kelupaan itu pula bukanlah buat-buatan sekadar menyedap rasa. Kelupaan itu jadi perkara wajib, sebagai tanda kasih terhadap diri. Kelupaan yang akan memancarkan sinar cahaya.

Puisi ini sempadan buat diriku. Sempadan antara langit yang luas dengan keredupan melampau yang telah lama bertapuk dalam dunia cahaya ini. Langit ini dicurahi cahaya penuh kasih dari Ilahi.

Wednesday, April 12, 2006

Hati itu rapuh
Seperti dahan kering
Di padang kontang
Belati itu pedih
Tusukannya dalam
Tak akan mungkin sembuh

Rapuh, remuk, pedih dan segala
sedih yang parah itu
kubungkus dalam peti masa
biar jadi penawar luka


12 April 2006

Begitu lama aku menyepi. Membungkus diriku dalam kesepian yang lama. Kerana hati ku sedang luka dalam luka yang parah. Sudah lama berlalu, tapi masih luka. Haruskah aku menulisnya di sini? Tidak. Menulisnya akan melukakan semula tikaman yang telah sembuh. Betapa persahabatan tidak semuanya ikhlas seperti yang ku sangkakan. Betapa naif seorang insan bernama aku ini. Terlintas juga untuk mengkuburkan sahaja blog ini seperti aku mengkuburkan nama ku. Benarkah ini aku yang meracau, atau kelukaan itu yang meracau.

Wednesday, March 15, 2006

Ariyatna Wisesa


Ariyatna Wisesa
Deru nafas semangat menggetar tanah Daluwarsa
Demi kemuliaan sebuah bangsa
Keagungan sebuah tamadun
Kehormatan nenek moyang
Tiada yang menumpaskan seorang Puteri Daluwarsa
Mampukah aku melangkah seperti puteri itu
Dengan gagah meredah segala duri mendarah
Demi memiliki sekeping impian yang pasti
Ariyatna Adreuarsa
7.28 malam
Shah Alam

Wednesday, February 08, 2006

Puisi dan Artikel Dicari: Mengenang Dato' Onn Jaafar, Pengasas Negara Bangsa

Dato' Onn Jaafar



Kepada teman-teman dan pengunjung blog,

Pak Ismail Adnan sedang mencari puisi (sajak) dan artikel bagi sebuah projek - Dato' Onn Pengasas Sebuah Negara Bangsa.

Kerajaan Negeri Johor dan Arkib Negara akan menerbitkan sebuah buku berkaitan dengan Dato' Onn Jaafar sebagai pengasas negara bangsa. Buku tersebut terbahagi kepada dua bahagian iaitu antologi puisi dan penulisan artikel. Buku ini diterbitkan untuk bacaan pelajar sekolah dan bakal diedarkan pada bulan Ogos 2006 semasa pelancarannya di Arkib Negara bersama pelajar-pelajar daripada 10 buah sekolah berasrama penuh.

Puisi hendaklah berkisar tentang Dato' Onn - perjuangannya, gagasannya, saranannya, pemikirannya, kehidupannya dan sebagainya.Insya-Allah, kalau sesuai, puisi tersebut akan diterbitkan.

Pak Mail juga berminat jika ada tulisan asli tentang Dato' Onn untuk diterbitkan sama dalam kumpulan tulisan-tulisan tentang Dato' Onn. Penulisannya tak perlu akademik sebab untuk bacaan pelajar-pelajar.

Hantar selewat-lewatnya akhir bulan April ni. Lagi cepat lagi bagus. Oleh kerana projek ini bukan projek perniagaan, penyajak yang sajaknya disiarkan mungkin hanya dihadiahkan senaskah dua antologi berkenaan atau seringgit dua kalau ada peruntukan, begitu juga dengan artikel.

Jika terjumpa mana-mana sajak tentang Dato' Onn yang sudah diterbitkan, sila e-melkan sajak tu kepada Pak Mail, lengkap dengan nama penyajak, tarikh keluaran, nama penerbitan dan sebagainya.

Kepada teman-teman dan para pengunjung blog yang berminat boleh emelkan karya tersebut kepada pak mail di isbiha@hotmail.com

Pak Mail juga boleh dilawati di www.isbiha.blogspot.com dan yang terbaru di www.onnjaafar.blogspot.com


Ariyatna Adreuarsa
9 januari 2005

Monday, January 30, 2006

Delusi - Nasihat Yang Menyalakan Cahaya Atma - Kembara Sang Kelana

Delusi Atau Ilusi Itu Cuma Fragmen Mimpi

Terbentang di hadapanku
Sebuah jalan yang lurus
Melalui sebuah rimba indah
Yang dirimbuni pohon aneh
Kudup bunga berbatang lurus tak berdaun
Sang rimba berlagu damai membuai kalbu
Aku berdelusi atau ilusi itu cuma fragmen mimpi
Yang berhasil mendamaikan persengketaan
Yang bermaharajalela dalam jiwa
Walau medan kehidupan atma jagat
Peperangan tidak pernah tamat

31 Januari 2006/ 1 Muharam 1427H

Aku sebenarnya sukar membebaskan diri daripada rasa terkilan yang amat berat. Sememangnya pejuang yang bernama aku itu telah terbunuh dalam medan perang yang ganas dan tak berperi kemanusiaan. Mujur yang terbunuh itu hanyalah klon no 113. Namun adakah itu bermakna kewujudan aku ini tidak signifikan langsung, sehingga kematian fs113 tidak berbaloi. Mereka yang sudi mengorbankan nyawa kehidupan lain tetapi tidak pula sudi menghulurkan bantuan adalah manusia yang tidak tulus jiwa.


Nasihat dan Pesanan Yang Menyalakan Cahaya Atma

I asked for Strength...
And Allah gave me Difficulties to make me strong.

I asked for Wisdom...
And Allah gave me Problems to solve.

I asked for Prosperity...
And Allah gave me Brain and Brawn to work.

I asked for Courage...
And Allah gave me Danger to overcome.

I asked for Love...
And Allah gave me Troubled people to help.

I asked for Favours...
And Allah gave me Opportunities.

I received nothing I wanted ...
I received everything I needed!

(purple_pot)
daripada Isbiha @ Pak Mail pada 18 Januari 2006


Setelah kematian fs 113, aku kecelaruan jiwa. Sehingga aku membingkis warkah maya memohon nasihat daripada pemilik sanggar hati yang akrab dengan asam garam dunia. Terima kasih Pak Mail, bintang merah itu kubiarkan rebah kerana sudah sampai masa untuk ku mencari bintang kuning yang masih menyala. Hanya kutautkan jiwaku pada kesabaran dan pada Yang Maha Mengetahui. InsyaAllah, anak muda ini tidak akan tumpas dalam medan peperangan yang tidak dimahukan.


Kembara Sang Kelana

Ayuh sang kelana
Kembara mu tidak selesai lagi
Kau harus terus kembara
Kerana dengan kembara jauh itu
Bakal menemukan kau dengan dunia
Dunia jagat alam serba keilmuan

Mana capal sang kelana?
Mahu kembara dengan capal lusuh itu?
Capal tidak selayak itu di kakimu!
Soal sang seteru dan sang petaka,
membuatkan kau sedih meratap?
Capal lusuh meluntur semangat?
Lidah curang menjadi pedang?

Pedang Pancaran Cahaya Ketaatan
Masih bernyawa dengan mata nilai hati
Menyingkap kebenaran dan ketulusan
Menelusuri pancaran cahaya perisai diri
Jika dia ada benci itu milik hati iri
Jika dia ada sayang itu milik hati suci

Ayuh sang kelana
Jika kau masih berteleku
Seribu tahun bumi daluwarsa tidak akan dijejak
Jika kau masih sepi
Deru angin tidak lagi akan melagukan hikayat di celah dahan Balusa
Jika kau masih bertapa
Putera Rameul Adreuarsa tidak akan pernah bertemu dengan Runya

Ayuh sang kelana! Kembara!


31 Januari 2006/1 Muharam 1427H

Aku jadi sang kelana yang diam dalam perhentian yang panjang. Perhentian itu bukanlah sebuah persinggahan buat beristirahat setelah kembara yang menjenuhkan. Tetapi perhentian itu adalah demi menyudahkan suatu pekerjaan yang memerlukan masa dan tenaga ku siang dan malam. Pekerjaan yang lebih besar buatku memang sedang menanti. Lantaran itu, aku harus mencari jalan supaya kembaraku ini tetap terus berlangsung dan pekerjaan itu mampu kujalankan dalam kembara yang tiada perhentian. Pn. Sifu sudah bersuara, "cepat siapkan penulisan kamu!". Sang kelana hanya tersengih kelat. Pn. Sifu, akan ku redah belantara alam ini dengan kekuatan seperti nyala bintang kuning yang menerangi bumi. Dan Pn. Sifu adalah bintang kuning yang terang itu.

Monday, January 16, 2006

Aku di medan peperangan
Dengan kudratku yang tinggal sekerat
Ku tanya diri ku
Adakah daya kau mengangkat bukit
Hanya dengan tulang empat kerat
Hanya dengan kepala akal fikir mu yang lelah

Cahaya atma jiwa ku malap
Seperti bintang merah
Hanya tunggu masa untuk rebah


Namun di penjuru jiwa ini ada cahaya yang masih bersinar
Sinar yang memberikan harapan untuk ku jelajahi dunia

Tetapi aku masih di medan peperangan ini
Yang menuntut perjuangan dan atmaku
Mana harus kutautkan jiwaku
Agar aku masih berdiri sehingga ke penghabisan
Kerana aku tidak mahu terkorban dalam medan peperangan yang tak ku mahukan

16 Januari 2005
7.50 malam


Saat ini hanya dua perkara yang mampu mendamaikan rasa, iaitu menulis pengembaraanku dalam dunia fantasi yang tak bertepi dan tatkala solatku. Selain saat itu, aku merasakan aku manusia yang tak daya. Aku sudah penat, letih dan lesu dengan bebanan kerja yang asalnya bukit tetapi kini sudah menjadi gunung yang membanjar jauh dari utara ke selatan. Apakah fungsi aku di sini sebagai hamba yang harus menerima segala. Resmi pekerjaan, orang yang membiarkan dikutuk habisan, orang yang melunaskan diguna habisan.

Ya Tuhan Yang Memiliki Segala Kekuatan, hambaMu ini memohon diberi kekekuatan untuk meneruskan perjuangan kerana aku tidak mahu menabur pasir ke dalam periuk nasiku sendiri.