Tuesday, December 27, 2005

Jediadri yang masyghul



Tuan Guru Luke : Mengapa serba sugul lagi masyghul perilaku mu?

Jediadri : Aku menghadapi tekanan di tempat kerja, tuan guru.

Tuan Guru Luke : Jangan biarkan perasaan marah menguasai dirimu. Marah itu kegelapan dan kegelapan itu kehancuran.

Jediadri : Pedang amarahku menyala terang, namun kusimpan supaya tidak membinasakan hati.

Tuan Guru Luke : Ceritakan kepada ku, barangkali aku mampu meringankan beban mu.

Jediadri : Tuan Guru tersohor kerana berjaya menewaskan Darth Vader dan palpatine, namun demi untuk meringankan beban ku ini Tuan Guru sendiri tidak berdaya.

Tuan Guru Luke : ?!

Jediadri : Tuan Guru tahu bulan apa sekarang?

Tuan Guru Luke : Disember

Jediadri : Bulan inilah segala yang tugasan bahagian kewangan datang bergolek ke bahu kiri ku, segala tugasan pentadbiran datang berguling ke bahu kanan ku, kerana pegawai atasan ku semuanya menghabiskan cuti dihujung tahun. Aku pegawai bawahan yang dikontrak ini jugalah yang memikul semuanya. Memandangkan Tuan Guru sendiri menawarkan diri, boleh Tuan Guru menggantikan saya. Cuti saya yang berbaki tidak boleh di bawa ke tahun hadapan. Huwaaaa!!

Tuan Guru Luke : Err...aku tidak dapat membantu mu.

Jediadri : Kenapa?

Tuan Guru Luke : Aku perlu pulang segera ke Coruscant sekarang, isteri ku Mara Jade sudah memanggilku untuk makan malam. Pesanan untukmu anak murid ku. Sabarlah. Teruskan berusaha menyudahi kerja mu, kerana setiap kesabaran pasti dibayar ganjaran.

Jediadri : Huwaaaa!

Sunday, December 18, 2005

Kemanusiaan Seorang Raja Kuasa



Ku buktikan cinta pada kemanusiaan
Sebuah impian negara merdeka
Terzahir dihujung pedang kasadku
Biar terluka insan-insan di bumi itu
Kerana mereka bukan rakyat ku

Ku pinta darah hitam yang terbenam
Sebagai ganti jenuh lasykar gempurku
Sebagai ganjaran tersungkur raja kejam
Andai bayi, kanak-kanak dan wanita terkubur
Tiada daya ku melentur ukuran
kemusnahan sampingan yang berhambur

Ku buktikan cinta pada kemanusiaan
Kerana akulah pelopor dunia kesejagatan padu
Di kaki ku Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu

Ku buktikan cinta pada kemanusiaan
Kerana akulah pelopor dunia keilmuan
Di dada ku ilmu bina senjata udah mapan

Ku buktikan cinta pada kemanusiaan
Kerana akulah pelopor dunia keselamatan
Mata risik yang mana musuh yang mana rakan

Ku buktikan cinta pada kemanusiaan
Kerana aku mampu membuktikan
Lantaran aku raja kuasa dunia kebinatangan


19 Disember 2005/17 Zulkaedah 1426


Masyarakat dunia harus memasang tekad yang tinggi demi memperolehi dunia yang aman tanpa perang. Usaha seorang insan tidak memadai, ia adalah usaha masyarakat dunia seluruhnya.

Pemikiran individu-induvidu hebat milik dunia yang mencintai dunia tanpa perang yang tidak hanya menjadi pemikir tetapi pemangkin geraknya laungan keamanan harus menjadi ikutan setiap manusia.

Tabuh yang dipalu berikutan Forum Keamanan Sejagat Perdana anjuran Yayasan Kepimpinan Perdana yang diketuai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di PWTC pada 15-17 Disember 2005 tempoh hari amat lantang dan mendesing di telinga kuasa besar dunia. Adakah mereka mahu mendengar? Atau mereka memang tuli seperti selalu.

Wednesday, December 14, 2005

Alif, Zafran, Faizah, Zalisa, Hafez, Zaki dan Ashadi

Alif, Zafran, Faizah, Zalisa, Hafez, Zaki dan Ashadi
Munculnya enam pendekar sudah berjanji
Mengikat jua hati seorang kesatria pemegang janji
Untuk mencari hamba yang bermimpi
Untuk memenuhi hasrat dihajati hati
Dengan bayaran tiada galang ganti

Istana Kelam tersimpan kesumat tempat ditujui
Sehingga tiada terlangkah bagi insan tak bermimpi
Semoga tersingkap pintu segala penjara misteri
Segala tersurat tersirat dan yang telah terjanji

Sehingga waktu tiada muda tiada rugi
Kepada tuan setia kasih sudah terpateri
Semoga enam pendekar dan seorang kesatria pemegang janji
Bersiaga menghunus pena agar tinta bersemi memekar seri
Lalu terlangsung ceritera legenda yang melakur dalam sanubari

15 Disember 2005



Pertemuan yang kedua kali pada 11 Disember 2005M bersamaan 9 Zulkaedah 1426H telah menemukan dengan dua orang pendekar lagi. Terserap mereka dalam sebuah niat demi melaksanakan sebuah janji agar tujuh pena melakar ceritera legenda untuk tatapan pembaca yang mengidamkan sebuah kisah yang mencetus sanubari dan menuntut penelitian diri.
Pengembaraan diteruskan lagi, selamat datang teman-teman baru ke dunia fantasi nukilan manusia, semoga pengembaraan ini akan kita selesaikan dengan jayanya.