Thursday, October 27, 2005

Pejuang Dan Panji Kemenangannya

Syawal yang bertamu di halaman ini
Membawa panji kemenangannya
Buat insan soleh yang berjuang
Dalam medan Ramadhan

Pejuang yang dalam tenangnya
Menghunus pedang kesabaran
Menumpaskan Raja Nafsu yang bertakhta
Dalam Kerajaan Dunia Sifat Manusia

Pejuang yang dalam syukurnya
Menangisi nikmat yang menyentuh rasa
Kerana payung kenikmatan yang disangga
Teduhnya tidak meredupkan pejuang dibenua sana

Wahai pejuang di benua sana
Doa ditiup bersama ingatan
Seberkas ikhtiar diterbangkan kepada mu
Andai senyum ini masih terukir, pejuang ulungkah kita ini?


28 Oktober 2005/24 ramadhan 1426


Ramadhan yang pergi akan dirindui lagi, moga Allah mempertemukan ku lagi dengan Ramadhan. Syawal bakal bertamu menjenguk hati setiap insan muslimin dan muslimat. Di segenap benua, di seluruh pelusuk alam. Namun lebaran yang berkunjung mempunyai warna dan makna yang berbeza. Kita mungkin terduduk kekenyangan, di Kashmir mereka terduduk kerana kelaparan dan kesakitan. Kita mungkin menangis kerana kesedihan filem PGL, di Palestina/Aceh mereka menangis kerana kerinduan keluarga dan sahabat yang terkorban. Kita mungkin terbaring kerana mengantuk main mercun sehingga lewat malam, di Iraq mereka terbaring kerana peluru askar Amerika menembusi kepala. Ya Allah, pejuang ulungkah aku ini, jika ingatan ku jarang-jarang singgah pada mereka. Ya Allah kau berikanlah mereka sinar bahagia walau pun sekelumit dalam keadaan mereka itu. Dan sesungguhnya Ya Allah kau penuhilah hati kami dengan rasa insaf diri dan saling menyayangi saudara kami.


Selamat Hari Raya Aidilfitri diucapkan untuk sahabat dan yang datang berkunjung ke Blog ini. Mohon ampun dan maaf jika ada bingkisan yang mengguris hati, moga kita bertemu lagi. Salam Syawal untuk semua.

Tuesday, October 25, 2005

Teman

Namanya teman tetapi hanya menyakiti hati
Namanya teman tetapi tidak sudi memahami
Namanya teman tetapi suka membanding diri

Apa guna adanya teman jika bicara bagai duri
Apa guna adanya teman jika menambah guris di hati
Apa guna adanya teman jika mencambah jiwa yang iri

Biar ku berkelana seorangan tanpa teman di sisi
Biar ku meraih rindu hanya pada Ilahi Yang Maha Mengasihi



25 Oktober 2005 / 21 Ramadhan 1426

Aku bukan sengaja menjauhi mu. Tetapi bicara lidah mu tanpa mu sedari selalu melukakan. Aku tidak mampu untuk berkongsi suka duka ku dengan mu, kerana aku pasti kau tidak mudah mengerti jiwa insan seperti ku. Segalanya sudah berubah, begitu juga persahabatan ini. Aku selalu mendoakan yang terbaik untuk mu. Cuma hadir mu masih lagi melukakan. Teman, biarkan aku sendiri, itulah yang terbaik.

Monday, October 24, 2005

Eureka

aku tidak pantas
menjadi sebijak al-battani atau khwarizmi
perahan ilmu setinggi itu
tak mungkin ku kecapi
namun usaha dan keyakinan
tetap membatasi segala-gala
namun aku masih terperangkap
dalam rumus-rumus yang tak dapat di rungkai
terkadang aku tak dapat membeza
antara linear dan algebra
terkunci aku antara teori arimhetic
terpenjara aku dalam beribu ungkapan
yang gagal ku tafsirkan
ku cari keazaman dan semangat positif
sedang negatif aku tolak jauh dari fikiran ku
aku cekalkan jiwa
gandakan usaha
berharap agar aku dapat menjeritkan
eureka! eureka!
sebagaimana betapa bangganya
Archimedes mengakhiri kekalutan fikirannya
dengan kejayaan

4A3 / 1995


Puisi ini terhasil ketika aku di bangku sekolah. Pertandingan puisi sains dan matematik di sekolah. Aku hantar dua puisi, tapi satu lagi sudah hilang. Sangat menyayangi puisi ini kerana ia membawa makna yang mendalam kepadaku sebagai seorang pelajar ketika itu.

Friday, October 21, 2005

Dia...puisi buat Allahyarhamah ibu Endon

Dia wanita
Yang mulus jiwa
Yang tuntas bakti luhur
Untuk insan dan warisan

Dia isteri
Yang teguh hati
Yang berdiri menyangga cinta
Untuk kekasih bernama suami

Dia ibu
Yang sarat kasih
Yang membelai manja dalam didiknya
Untuk benih cinta permata keluarga

Dia sudah pergi
Meninggalkan cinta dan permata hati
Menghadap Ilahi yang Maha Kasih
Dia, harum budinya masih mewangi
Senandung citanya masih berkumandang
Tasik budinya tidak akan kekeringan


21 Oktober 2005/17 Ramadhan 1426

Sebuah puisi kutujukan khas buat Allahyarhamah Datin Seri Endon, wanita pertama. Langit semalam bagai ikut sama menangisi pemergian mu. Semoga bakti dan kasih yang kau tinggalkan akan tersemai menjadi pohon kekuatan buat anak bangsa mu yang mencintai warisan bangsa dan menyayangi insan lemah dan kurang upaya. Semoga cinta dan permata hati yang kau tinggalkan bertabah hati dan bercekal jiwa. Al-fatihah.

Tuesday, October 18, 2005

Ceritera Indah

Rindu menyapa tangkai hatiku
Pada lepas nafas yang paling tulus
Untuk bait madah yang menjadi puisi
Untuk bingkisan indah sebuah ceritera

Cinta ku sudah terpaut
Pada lakaran kata tinta pena
Hanya ilham rasa kurniaan Ilahi
Memberi nyawa pada tinta ini
Untuk mengait impian dalam madah
Sebuah ceritera yang serba indah

Namun tiada terbanding jua kisah Nabi Yusuf Alaihissalam
Dari kalam Allah yang maha indah
Yang meruntun hati dan menyemai insaf diri


18 Oktober 2005/14 Ramadhan 1426

Monday, October 17, 2005

Nyawa Ramadhan

Titisan hujan mendamai rasa
Menemani sunyi hening malam
Membuai sendu tangis seorang hamba
Yang menadah tangan kepada Ilahi
Di suatu sudut sendi dunia

Ya Rabbul Ilahi
Aku melihat kasih sayang Mu
Dalam titisan hujan yang menyuburkan benih
Dalam sinar mentari yang mendirikan pepohon
Dalam serba kejadian dengan kekuasaan Mu

Ya Rabbul Ilahi
Aku mencintai Mu
Cukupkah cinta ku dengan persaksian bicara
Cukupkah amal ku dengan sedemikian alpa

Ya Tuhan Ya Rabbul Izzati
Aku melihat kasih sayang Mu terlimpah
Untuk dikutip sekalian hamba
Tanpa memilih dan melebihkan seorang hamba dengan yang lain

Ya Tuhan Ya Rabbul Alamin
Aku bertemu keindahan dalam ruang kasih Mu
Nyawa ramadhan penuh kemuliaan
Bernafas dalam kelembutan
Mendengarkan alunan suci kitab al-Karim
Menidurkan dalam kerinduan untuk menemukan
Esok masih Ramadhan untuk bertekun menghadap Ilahi



Puisi mencermin rasa akan kerinduan insan terhadap ramadhan.
Aku rindukan Ramadhan, mohon daripada Mu Ya Tuhan kurniakan aku kekuatan untuk mengisikan hari ku dengan keredhaan Mu.

6 Oktober 2005/2 Ramadhan 1426

Thursday, October 13, 2005

Tanah Aceh Pelita Nusantara

Allah menyayangi bumi Aceh. Malapetaka yang melanda bukanlah musibah, tetapi dugaan dan cubaan paling besar buat umat manusia yang mendiami dan melingkari bumi Aceh. Anak-anak Aceh yang pergi menyahut panggilan Ilahi meninggalkan anak-anak Aceh yang semakin menyintai Allah. Maha suci Allah yang maha agung. Allah menduga hambanya bukan untuk menyusahkan tetapi untuk memberi nikmat yang tak terhitung dengan hitungan di dunia.

Kalimah Allah semakin tegak dan bercambah di tanah Aceh. Tanah yang berjasa pada Nusantara dalam menyebarkan nur Islam.