Thursday, October 27, 2005

Pejuang Dan Panji Kemenangannya

Syawal yang bertamu di halaman ini
Membawa panji kemenangannya
Buat insan soleh yang berjuang
Dalam medan Ramadhan

Pejuang yang dalam tenangnya
Menghunus pedang kesabaran
Menumpaskan Raja Nafsu yang bertakhta
Dalam Kerajaan Dunia Sifat Manusia

Pejuang yang dalam syukurnya
Menangisi nikmat yang menyentuh rasa
Kerana payung kenikmatan yang disangga
Teduhnya tidak meredupkan pejuang dibenua sana

Wahai pejuang di benua sana
Doa ditiup bersama ingatan
Seberkas ikhtiar diterbangkan kepada mu
Andai senyum ini masih terukir, pejuang ulungkah kita ini?


28 Oktober 2005/24 ramadhan 1426


Ramadhan yang pergi akan dirindui lagi, moga Allah mempertemukan ku lagi dengan Ramadhan. Syawal bakal bertamu menjenguk hati setiap insan muslimin dan muslimat. Di segenap benua, di seluruh pelusuk alam. Namun lebaran yang berkunjung mempunyai warna dan makna yang berbeza. Kita mungkin terduduk kekenyangan, di Kashmir mereka terduduk kerana kelaparan dan kesakitan. Kita mungkin menangis kerana kesedihan filem PGL, di Palestina/Aceh mereka menangis kerana kerinduan keluarga dan sahabat yang terkorban. Kita mungkin terbaring kerana mengantuk main mercun sehingga lewat malam, di Iraq mereka terbaring kerana peluru askar Amerika menembusi kepala. Ya Allah, pejuang ulungkah aku ini, jika ingatan ku jarang-jarang singgah pada mereka. Ya Allah kau berikanlah mereka sinar bahagia walau pun sekelumit dalam keadaan mereka itu. Dan sesungguhnya Ya Allah kau penuhilah hati kami dengan rasa insaf diri dan saling menyayangi saudara kami.


Selamat Hari Raya Aidilfitri diucapkan untuk sahabat dan yang datang berkunjung ke Blog ini. Mohon ampun dan maaf jika ada bingkisan yang mengguris hati, moga kita bertemu lagi. Salam Syawal untuk semua.

2 comments:

zalisa said...

selamat hari raya utk tuan rumah. Maaf zahir dan batin. Harap kita akan bertemu. dan saling bantu-membantu.

jed1 said...

salam raya faizah :)..ramadhan 1426 dah berlalu, harap dipanjangkan umur bertemu ramadhan 1427 pula