Tuesday, December 27, 2005

Jediadri yang masyghul



Tuan Guru Luke : Mengapa serba sugul lagi masyghul perilaku mu?

Jediadri : Aku menghadapi tekanan di tempat kerja, tuan guru.

Tuan Guru Luke : Jangan biarkan perasaan marah menguasai dirimu. Marah itu kegelapan dan kegelapan itu kehancuran.

Jediadri : Pedang amarahku menyala terang, namun kusimpan supaya tidak membinasakan hati.

Tuan Guru Luke : Ceritakan kepada ku, barangkali aku mampu meringankan beban mu.

Jediadri : Tuan Guru tersohor kerana berjaya menewaskan Darth Vader dan palpatine, namun demi untuk meringankan beban ku ini Tuan Guru sendiri tidak berdaya.

Tuan Guru Luke : ?!

Jediadri : Tuan Guru tahu bulan apa sekarang?

Tuan Guru Luke : Disember

Jediadri : Bulan inilah segala yang tugasan bahagian kewangan datang bergolek ke bahu kiri ku, segala tugasan pentadbiran datang berguling ke bahu kanan ku, kerana pegawai atasan ku semuanya menghabiskan cuti dihujung tahun. Aku pegawai bawahan yang dikontrak ini jugalah yang memikul semuanya. Memandangkan Tuan Guru sendiri menawarkan diri, boleh Tuan Guru menggantikan saya. Cuti saya yang berbaki tidak boleh di bawa ke tahun hadapan. Huwaaaa!!

Tuan Guru Luke : Err...aku tidak dapat membantu mu.

Jediadri : Kenapa?

Tuan Guru Luke : Aku perlu pulang segera ke Coruscant sekarang, isteri ku Mara Jade sudah memanggilku untuk makan malam. Pesanan untukmu anak murid ku. Sabarlah. Teruskan berusaha menyudahi kerja mu, kerana setiap kesabaran pasti dibayar ganjaran.

Jediadri : Huwaaaa!

Sunday, December 18, 2005

Kemanusiaan Seorang Raja Kuasa



Ku buktikan cinta pada kemanusiaan
Sebuah impian negara merdeka
Terzahir dihujung pedang kasadku
Biar terluka insan-insan di bumi itu
Kerana mereka bukan rakyat ku

Ku pinta darah hitam yang terbenam
Sebagai ganti jenuh lasykar gempurku
Sebagai ganjaran tersungkur raja kejam
Andai bayi, kanak-kanak dan wanita terkubur
Tiada daya ku melentur ukuran
kemusnahan sampingan yang berhambur

Ku buktikan cinta pada kemanusiaan
Kerana akulah pelopor dunia kesejagatan padu
Di kaki ku Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu

Ku buktikan cinta pada kemanusiaan
Kerana akulah pelopor dunia keilmuan
Di dada ku ilmu bina senjata udah mapan

Ku buktikan cinta pada kemanusiaan
Kerana akulah pelopor dunia keselamatan
Mata risik yang mana musuh yang mana rakan

Ku buktikan cinta pada kemanusiaan
Kerana aku mampu membuktikan
Lantaran aku raja kuasa dunia kebinatangan


19 Disember 2005/17 Zulkaedah 1426


Masyarakat dunia harus memasang tekad yang tinggi demi memperolehi dunia yang aman tanpa perang. Usaha seorang insan tidak memadai, ia adalah usaha masyarakat dunia seluruhnya.

Pemikiran individu-induvidu hebat milik dunia yang mencintai dunia tanpa perang yang tidak hanya menjadi pemikir tetapi pemangkin geraknya laungan keamanan harus menjadi ikutan setiap manusia.

Tabuh yang dipalu berikutan Forum Keamanan Sejagat Perdana anjuran Yayasan Kepimpinan Perdana yang diketuai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di PWTC pada 15-17 Disember 2005 tempoh hari amat lantang dan mendesing di telinga kuasa besar dunia. Adakah mereka mahu mendengar? Atau mereka memang tuli seperti selalu.

Wednesday, December 14, 2005

Alif, Zafran, Faizah, Zalisa, Hafez, Zaki dan Ashadi

Alif, Zafran, Faizah, Zalisa, Hafez, Zaki dan Ashadi
Munculnya enam pendekar sudah berjanji
Mengikat jua hati seorang kesatria pemegang janji
Untuk mencari hamba yang bermimpi
Untuk memenuhi hasrat dihajati hati
Dengan bayaran tiada galang ganti

Istana Kelam tersimpan kesumat tempat ditujui
Sehingga tiada terlangkah bagi insan tak bermimpi
Semoga tersingkap pintu segala penjara misteri
Segala tersurat tersirat dan yang telah terjanji

Sehingga waktu tiada muda tiada rugi
Kepada tuan setia kasih sudah terpateri
Semoga enam pendekar dan seorang kesatria pemegang janji
Bersiaga menghunus pena agar tinta bersemi memekar seri
Lalu terlangsung ceritera legenda yang melakur dalam sanubari

15 Disember 2005



Pertemuan yang kedua kali pada 11 Disember 2005M bersamaan 9 Zulkaedah 1426H telah menemukan dengan dua orang pendekar lagi. Terserap mereka dalam sebuah niat demi melaksanakan sebuah janji agar tujuh pena melakar ceritera legenda untuk tatapan pembaca yang mengidamkan sebuah kisah yang mencetus sanubari dan menuntut penelitian diri.
Pengembaraan diteruskan lagi, selamat datang teman-teman baru ke dunia fantasi nukilan manusia, semoga pengembaraan ini akan kita selesaikan dengan jayanya.

Friday, November 25, 2005

Bersayap Mimpi Dalam hati


Di celahan dahan waktu aku melihat sepasang sayap
Milikku yang terjerat di celahan rimba kesibukan
Sedang jiwa nubariku mahu terbang jauh di celahan awan
Menikmati seindah dunia dan selangit luas yang ditatap

Jika aku cenderawasih
Sudah ku terbang menyusupi awan
Buat mengubati jiwa yang lara
Jadi penawar rusuh yang melanda

Aku, sang manusia yang bersayap mimpi dalam hati
Saat sayapku bebas dari penjara rimba kekusutan ini
Akan ku terbang jauh mencari dunia mimpi tak bertepi


25 November 2005/23 Syawal

Aku kebingungan di dalam celahan masa yang begitu tidak mempedulikan aku. PDA kesayanganku juga mendera sekali, setiap hari berbunyi-bunyian mengingatkan aku itu-ini. Alangkah indahnya jika ku punya sepasang sayap yang akan membawa aku terbang melupakan kerusuhan ini. Namun nanti bila aku pulang kerusuhan yang sama tetap akan menjenuhi otak fikirku. Ah! Mendera sekali, meja kerja pun sudah bertukar rupa, bagai dilanggar geroda. Hari dilanggar geroda semakin mampir. Jika hari itu tiba aku akan menjadi semakin jenuh, menghadap barisan adikuasa dunia sini. Hatiku cuma akan tenang selepas utusan-utusan utama rakyat segenap negeri selesai menghadap adikuasa dunia sini. Saat medan penghadapan itu, akulah hulubalang bersenjatakan pena lalu tercatatlah hiruk pikuk pertemuan dari segenap alam dunia sini. Saat itu aku jualah hulubalang yang tersepit di antara adikuasa dunia sini dengan ketua segala hulubalang. Ku pujuk hatiku, nanti selesai jua.

Tuesday, November 15, 2005

Alif, Zafran, Faizah, Zalisa dan Hafez Ziyadi

Alif, Zafran, Faizah, Zalisa dan Hafez Ziyadi
Munculnya 5 pendekar sudah berjanji
Untuk mencari hamba yang bermimpi
Untuk memenuhi hasrat dihajati hati
Dengan bayaran tiada galang ganti

Istana Kelam tersimpan kesumat tempat ditujui
Sehingga tiada terlangkah bagi insan tak bermimpi
Semoga tersingkap pintu segala penjara misteri
Segala tersurat tersirat dan yang telah terjanji
Sehingga waktu tiada muda tiada rugi
Kepada tuan setia kasih sudah terpateri

Semoga lima pendekar tinta bersemi memekar seri
Terlangsung suatu lagenda yang melakur dalam sanubari


15 November 2005


Satu pertemuan telah berlangsung. Menemukan manusia yang berkelana di dunia ini dalam sebuah pertemuan yang sangat akrab walau pertama kali berhimpun demi untuk melaksanakan sebuah niat. Sebuah niat yang begitu tinggi demi menghimpunkan lima pena agar tertulis dan terlakarlah suatu lagenda untuk tatapan pembaca yang mengidamkan sebuah ceritera yang mencetus rasa dan menuntut keinsafan.

Thursday, October 27, 2005

Pejuang Dan Panji Kemenangannya

Syawal yang bertamu di halaman ini
Membawa panji kemenangannya
Buat insan soleh yang berjuang
Dalam medan Ramadhan

Pejuang yang dalam tenangnya
Menghunus pedang kesabaran
Menumpaskan Raja Nafsu yang bertakhta
Dalam Kerajaan Dunia Sifat Manusia

Pejuang yang dalam syukurnya
Menangisi nikmat yang menyentuh rasa
Kerana payung kenikmatan yang disangga
Teduhnya tidak meredupkan pejuang dibenua sana

Wahai pejuang di benua sana
Doa ditiup bersama ingatan
Seberkas ikhtiar diterbangkan kepada mu
Andai senyum ini masih terukir, pejuang ulungkah kita ini?


28 Oktober 2005/24 ramadhan 1426


Ramadhan yang pergi akan dirindui lagi, moga Allah mempertemukan ku lagi dengan Ramadhan. Syawal bakal bertamu menjenguk hati setiap insan muslimin dan muslimat. Di segenap benua, di seluruh pelusuk alam. Namun lebaran yang berkunjung mempunyai warna dan makna yang berbeza. Kita mungkin terduduk kekenyangan, di Kashmir mereka terduduk kerana kelaparan dan kesakitan. Kita mungkin menangis kerana kesedihan filem PGL, di Palestina/Aceh mereka menangis kerana kerinduan keluarga dan sahabat yang terkorban. Kita mungkin terbaring kerana mengantuk main mercun sehingga lewat malam, di Iraq mereka terbaring kerana peluru askar Amerika menembusi kepala. Ya Allah, pejuang ulungkah aku ini, jika ingatan ku jarang-jarang singgah pada mereka. Ya Allah kau berikanlah mereka sinar bahagia walau pun sekelumit dalam keadaan mereka itu. Dan sesungguhnya Ya Allah kau penuhilah hati kami dengan rasa insaf diri dan saling menyayangi saudara kami.


Selamat Hari Raya Aidilfitri diucapkan untuk sahabat dan yang datang berkunjung ke Blog ini. Mohon ampun dan maaf jika ada bingkisan yang mengguris hati, moga kita bertemu lagi. Salam Syawal untuk semua.

Tuesday, October 25, 2005

Teman

Namanya teman tetapi hanya menyakiti hati
Namanya teman tetapi tidak sudi memahami
Namanya teman tetapi suka membanding diri

Apa guna adanya teman jika bicara bagai duri
Apa guna adanya teman jika menambah guris di hati
Apa guna adanya teman jika mencambah jiwa yang iri

Biar ku berkelana seorangan tanpa teman di sisi
Biar ku meraih rindu hanya pada Ilahi Yang Maha Mengasihi



25 Oktober 2005 / 21 Ramadhan 1426

Aku bukan sengaja menjauhi mu. Tetapi bicara lidah mu tanpa mu sedari selalu melukakan. Aku tidak mampu untuk berkongsi suka duka ku dengan mu, kerana aku pasti kau tidak mudah mengerti jiwa insan seperti ku. Segalanya sudah berubah, begitu juga persahabatan ini. Aku selalu mendoakan yang terbaik untuk mu. Cuma hadir mu masih lagi melukakan. Teman, biarkan aku sendiri, itulah yang terbaik.

Monday, October 24, 2005

Eureka

aku tidak pantas
menjadi sebijak al-battani atau khwarizmi
perahan ilmu setinggi itu
tak mungkin ku kecapi
namun usaha dan keyakinan
tetap membatasi segala-gala
namun aku masih terperangkap
dalam rumus-rumus yang tak dapat di rungkai
terkadang aku tak dapat membeza
antara linear dan algebra
terkunci aku antara teori arimhetic
terpenjara aku dalam beribu ungkapan
yang gagal ku tafsirkan
ku cari keazaman dan semangat positif
sedang negatif aku tolak jauh dari fikiran ku
aku cekalkan jiwa
gandakan usaha
berharap agar aku dapat menjeritkan
eureka! eureka!
sebagaimana betapa bangganya
Archimedes mengakhiri kekalutan fikirannya
dengan kejayaan

4A3 / 1995


Puisi ini terhasil ketika aku di bangku sekolah. Pertandingan puisi sains dan matematik di sekolah. Aku hantar dua puisi, tapi satu lagi sudah hilang. Sangat menyayangi puisi ini kerana ia membawa makna yang mendalam kepadaku sebagai seorang pelajar ketika itu.

Friday, October 21, 2005

Dia...puisi buat Allahyarhamah ibu Endon

Dia wanita
Yang mulus jiwa
Yang tuntas bakti luhur
Untuk insan dan warisan

Dia isteri
Yang teguh hati
Yang berdiri menyangga cinta
Untuk kekasih bernama suami

Dia ibu
Yang sarat kasih
Yang membelai manja dalam didiknya
Untuk benih cinta permata keluarga

Dia sudah pergi
Meninggalkan cinta dan permata hati
Menghadap Ilahi yang Maha Kasih
Dia, harum budinya masih mewangi
Senandung citanya masih berkumandang
Tasik budinya tidak akan kekeringan


21 Oktober 2005/17 Ramadhan 1426

Sebuah puisi kutujukan khas buat Allahyarhamah Datin Seri Endon, wanita pertama. Langit semalam bagai ikut sama menangisi pemergian mu. Semoga bakti dan kasih yang kau tinggalkan akan tersemai menjadi pohon kekuatan buat anak bangsa mu yang mencintai warisan bangsa dan menyayangi insan lemah dan kurang upaya. Semoga cinta dan permata hati yang kau tinggalkan bertabah hati dan bercekal jiwa. Al-fatihah.

Tuesday, October 18, 2005

Ceritera Indah

Rindu menyapa tangkai hatiku
Pada lepas nafas yang paling tulus
Untuk bait madah yang menjadi puisi
Untuk bingkisan indah sebuah ceritera

Cinta ku sudah terpaut
Pada lakaran kata tinta pena
Hanya ilham rasa kurniaan Ilahi
Memberi nyawa pada tinta ini
Untuk mengait impian dalam madah
Sebuah ceritera yang serba indah

Namun tiada terbanding jua kisah Nabi Yusuf Alaihissalam
Dari kalam Allah yang maha indah
Yang meruntun hati dan menyemai insaf diri


18 Oktober 2005/14 Ramadhan 1426

Monday, October 17, 2005

Nyawa Ramadhan

Titisan hujan mendamai rasa
Menemani sunyi hening malam
Membuai sendu tangis seorang hamba
Yang menadah tangan kepada Ilahi
Di suatu sudut sendi dunia

Ya Rabbul Ilahi
Aku melihat kasih sayang Mu
Dalam titisan hujan yang menyuburkan benih
Dalam sinar mentari yang mendirikan pepohon
Dalam serba kejadian dengan kekuasaan Mu

Ya Rabbul Ilahi
Aku mencintai Mu
Cukupkah cinta ku dengan persaksian bicara
Cukupkah amal ku dengan sedemikian alpa

Ya Tuhan Ya Rabbul Izzati
Aku melihat kasih sayang Mu terlimpah
Untuk dikutip sekalian hamba
Tanpa memilih dan melebihkan seorang hamba dengan yang lain

Ya Tuhan Ya Rabbul Alamin
Aku bertemu keindahan dalam ruang kasih Mu
Nyawa ramadhan penuh kemuliaan
Bernafas dalam kelembutan
Mendengarkan alunan suci kitab al-Karim
Menidurkan dalam kerinduan untuk menemukan
Esok masih Ramadhan untuk bertekun menghadap Ilahi



Puisi mencermin rasa akan kerinduan insan terhadap ramadhan.
Aku rindukan Ramadhan, mohon daripada Mu Ya Tuhan kurniakan aku kekuatan untuk mengisikan hari ku dengan keredhaan Mu.

6 Oktober 2005/2 Ramadhan 1426

Thursday, October 13, 2005

Tanah Aceh Pelita Nusantara

Allah menyayangi bumi Aceh. Malapetaka yang melanda bukanlah musibah, tetapi dugaan dan cubaan paling besar buat umat manusia yang mendiami dan melingkari bumi Aceh. Anak-anak Aceh yang pergi menyahut panggilan Ilahi meninggalkan anak-anak Aceh yang semakin menyintai Allah. Maha suci Allah yang maha agung. Allah menduga hambanya bukan untuk menyusahkan tetapi untuk memberi nikmat yang tak terhitung dengan hitungan di dunia.

Kalimah Allah semakin tegak dan bercambah di tanah Aceh. Tanah yang berjasa pada Nusantara dalam menyebarkan nur Islam.

Thursday, September 29, 2005

Mengintai Sinar Pelangi

Mengintai sinar pelangi
Yang jauh sayup pandang
Ibarat seorang anak yang mencari denai harapan
Dalam sebuah perjalanan
Melewati batas waktu
Merentas belantara kehidupan
Berbekalkan suar ilmu menyuluh keimanan

Seorang anak yang mencari kasih
Redup pandang sinar mata
Mencari juita hati rindu syahdu
Selautan air mata menjarah jiwa
Setinggi langit tak tumpah jua

Seorang anak yang mencari pengertian
Mengutip kekuatan yang bersisa dalam nurani
Menggapai cahaya yang berlingkar
Menerangi sanubari diri
Mengukir senyum di bibir sepi
Berdiri di kaki pelangi


29.09.2005

Setiap insan adalah seorang anak, anak kepada ibu, anak kepada bapa, anak kepada bumi. bagaimana hendak berkongsi kegembiraan seorang anak yang berdiri di kaki pelangi, kerana dia hanya senyum dalam sepi. Kerana dia tidak dimengerti oleh insan lain. Dia hanya seorang merentasi belantara kehidupan, dia mencari, kasih seorang teman, seorang ibu, seorang bapa, seorang abang dan seorang adik.

Aku tertawa dalam hati dan menangis dalam sanubari demi mencari pelangi.
Jika aku tak mula melangkah hari ini harus bila pula akan aku berdiri di kaki pelangi.

Wednesday, September 28, 2005

Sekerdil Pasir Dalam Lautan

Sekerdil pasir dalam lautan
Manakan ku mampu menduga isinya
Laras jiwa seteguh mana jua
Tak akan pernah daya melawan arus

Sekerdil pasir dalam lautan
Melunasi kehendak alunan arus
Pecah derai di bibir pantai
Mendampar diri di bawah mentari

Sekerdil pasir dalam lautan
Seluas hati dan akal seorang insan
Mendamba ilmu dalam sendu dan rindu
Memaut kasih cinta teragung pada Al-Khaliq
Aku hamba Mu sekerdil pasir dalam lautan.


28.09.2005

Sunday, September 11, 2005

Dil Chahta Hai

Aku teringat di final year kita tonton Dil Chahta Hai. Ia mengisahkan tiga sahabat yang sangat akrab, berkongsi segala suka duka dan gelak ketawa. Mereka berseronok dan bercuti ke goa seolah mahu melupakan apa yang bakal mereka hadapi selepas tamat pengajian.

Teringat bait kata yang penuh makna oleh Akshay Khanna "Kapal itu masih boleh dilihat dari kejauhan ini, akan datang kita tidak tahu sama ada ia masih disitu, begitu juga masa depan kita, tidak tahu bila kita boleh bertemu lagi" I am attached to those words, sebab aku ni yang paling sensitif, paling halus perasaan dan paling berseni(kata Atty) antara korang until Nina said antara tiga orang sahabat Dil Chahta hai itu, akulah watak Akshay Khanna, damn you Nina, of course I will not write the 4th reason. He..he..

I agree with Nina, Atty just like Saif Ali, so much trouble in love. Kisah lama, now you are settle down, we will not worry any more. Nina, your character suits Amir Khan, not just because you have car that drive us what ever we want, but you are so you, a girl who denied love for one boy that is meant for you, and he still is.

Kita begitu terpengaruh dengan Dil Chahta Hai, satu malam kita bertiga menuju ke PD, menghabis masa menikmati angin malam di tepi pantai PD, melihat bulan yang mengambang dan air surut di pantai. Malam tu kita berkongsi satu pengertian dan kita tergelak memikirkan kita bertiga seperti tiga sahabat dalam Dil Chahta Hai dan kita juga hampir menangis mengingati kata-kata Akshay Khanna. Kita kemudiannya mengolah beberapa dialog untuk mengenangkan saat-saat itu, Nina if you still remember what you said that night, kata-kata yang hampir sama maksud dengan Akshay's words, remind me, tell me. Seperti masa yang berlalu, begitu banyak perkara berlaku sehingga aku sukar untuk recall semula our dialog that night, adakah ia berkaitan dengan bulan, adakah ia berkaitan dengan air pantai yang surut, remind me.

Mengingati bukanlah bertujuan untuk bersedih hati. Memindahkan memori dan perasaan kepada tulisan bukanlah untuk mengungkit kesayuan jiwa. Ia ibarat sebuah tugu peringatan yang terpahat betapa kita punya saat-saat yang amat berharga yang nilainya tiada bandingan dengan harta kekayaan di dunia. Itulah persahabatan.

Masa memisahkan kita, tapi aku tahu di hati kita selalu ada pertemuan. Satu masa nanti kita bertemu, reunion.

Saturday, September 10, 2005

My fantasy dream become successful reality

Aku berada di sebuah persimpangan
antara sebuah dunia yang tercipta kerana impian
dan dunia realiti sebuah kehidupan

aku terkadang terperangkap antara dua dunia ini
berada di sebuah jambatan di atas jurang yang dalam
kusut fikiran ku kerana aku tetap berdiri di atas jambatan itu
aku tidak melangkah ke mana-mana
aku tidak dapat menyentuh dunia fantasiku
dan aku tidak dapat pulang ke dunia realiti ku
aku masih di atas jambatan itu
aku tidak menangis
aku tidak marah
aku tidak takut

aku mencari satu perasaan
yang tersimpul jauh dalam sudut hati ku
aku sedang mencari bibit harapan
yang kaki ku akan melangkah
kaki ku akan memijak pada alam tempat ku bernafas
dan tangan dan mata hati ku akan menawan dunia fantasi ku

aku akan menawan dunia fantasi ku menjadi sebuah realiti kejayaan


Kerajaan Daluwarsa akan bertakhta, sebuah perjalanan agung akan berlangsung, sebuah cinta yang penuh kebencian, persaksian dendam yang berzaman dan sebuah hati yang luhur dan suci adalah kunci segala kedamaian.

Seorang puteri raja yang digelarkan Puteri Daluwarsa oleh raja. Gelaran yang tidak dimahukan olehnya kerana kurniaan itu hanya menjauhkan kasih sayang ayahanda daripadanya. Kerana gelaran itu akan memberi kuasa kepada bakal suaminya sebagai pengganti raja. Semangat dan keinginannya untuk berkhidmat untuk ayahanda sangat membara walaupun dia seorang gadis dan kemegahan ayahanda terhadap adindanya Putera Aomiya dan Putera Aoriyan amat meluluhkan hatinya. Sang puteri mengerti ayahnya telah merencana buat putera-puteranya, sang puteri perlu patuh menunggu sehingga usia adindanya dewasa dan gelaran putera mahkota tidak jatuh kepada bakal suaminya. Sang puteri tidak tertawan dengan kurniaan itu, dia tidak mahu menjadi permaisuri jika ayahanda dilanda kesedihan, sang puteri rela berkelana mencari rahsia kitab hikayat Daluwarsa yang agung yang lenyap bersama Kerajaan Adreuarsa. Sang puteri menemui sebuah cinta yang mendambakan dan cinta itu dimakamkan oleh persaksian dendam kisah silam. Hanya hati yang luhur dan suci dapat menciptakan kedamaian dalam peperangan dua jiwa dan menamatkan persengketaan tiga keturunan satu bangsa Daluwarsa.

Semoga aku berjaya.


10 September 2005 -

Friday, September 09, 2005

Love Story in Harvard

Kisah cinta selalunya disampaikan terlalu mudah. Jatuh cinta, sikit halangan dan bertemu bahagia di penghujung cerita.

Namun kisah cinta yang cuba kufahami dan ikuti dalam Love Story in Harvard memberikan kepuasan dan pengertian dalam persepsi cinta yang segar, indah, membahagiakan tetapi sangat merana kerana kerinduan.

gambaran perasaan tidak semuanya dilontarkan melalui kata-kata. Pandangan, jelingan, renungan, senyuman dan tangisan dan yang sepertinya sudah cukup menceritakan sarat perasaan yang terkandung dalam jiwa sang kekasih.

"terbanglah wahai bidadari ku, dan bila kau sudah penat dan letih, pulanglah kepadaku"

dan harus jua aku berkata

"terbanglah wahai camar cintaku, terbang mu demi mengejar sebuah impian dan harapan, dan kepulangan mu adalah penawar kerinduan, dan aku jua akan terbang seperti sang rama-rama yang mengejar impian, dan aku akan pulang kerana akulah penawar kerinduan mu"

Ajay, thank you for being my very best friend, my soul mate, my kindest arguementable friend, my lover and my husband.

Keep going, go! go! usaha! go! go! berjaya!


10 September 2005

Tiada kasih di Puncak Sepi

Aku
Merenung jauh di sudut alam
Melangkah, menuju ke puncak sepi
Kini aku berada di puncaknya
Keseorangan tanpa teman

Aku
Sudah lama menunggu
Dengan desiran angin
Kutiupkan harapan
Menunggu kasih tak kunjung tiba

Aku
Berdiri sepi di sini
Bak kuntum bunga yang tak berteman
Yang keseorangan

Kini ku tahu
Tiada kasih di puncak sepi ku ini


1992/Form 1


Perasaan yang ku lalui ketika itu masih kuat dalam ingatan. Kekosongan melanda hati ku. Aku menyimpan begitu banyak cerita dan impian dalam lubuk hati kerana tiada teman yang mampu berkongsi. Namun tak lama selepas tu datang seorang teman yang seolah-olahnya dihantar untukku. Thank you Maz for coming to my life that year, it is opening my mind and heart that people like us is not alone.

Senja Merah

Awan berarak tenang
Menuju ke ufuk barat
Matahari semakin menghilang
Ditelan di celahan gunung

Suasana mulai sepi
Burung-burung pulang ke sarang
Untuk bersedia menghadap malam
Yang bakal tiba

Warna lembayung mengembang
Di saluti warna keemasan
Begitu indahnya warna alam
Mewarnai segenap ruang

Ya, senja itu merah
Berkilauan bak samudera
Yang luas
Tiada terbatas

Senja itu merah
Menawan hati yang tertawan
Kini lembayung mulai pudar
Dan warna keemasan mulai hilang

Malam yang dingin timbul
Ditemani oleh bulan
Dan senja merah itu
Kan timbul lagi esok




Suara naluri hati - 2B1/1992 - SMK Sungai Besar

Cinta

Sebuah ikatan cinta
Yang teragung
Tiada bandingan sepertinya
Adalah persaksian diri pada Allah Yang Maha Esa

Malam Merdeka

Di tepi jendela
Aku terdengar gurau senda
Aku terdengar rakan ku tertawa

Riang

Esok, hari ulangtahun kemerdekaan
Tanahair ku
Malaysia

Esok
35 tahun usia
Negara ku bebas dari belenggu penjajah
Namun ia tetap belum bebas dengan sikap penghuninya

Aku tertanya-tanya
Adakah manusia ini kenal erti kebebasan
Erti kemerekaan



16 November 1992


Antara gugusan puisi di bangku sekolah masa form 2. Sampai aku pun dah lupa kenapa puisi ini ku tulis 2 bulan selepas bulan kemerdekaan.

Sahabat

Sahabat
Kita dipertemukan
Kerana cita-cita dan harapan
Yang dibina demi sebuah masa depan
Pertemuan telah mengajar kita
Menemukan kita dengan seribu macam
Ragam dan peristiwa
Di sini kita belajar
Mengenal erti hidup sebenar dan kebenaran
Kebenaran yang terpaksa kita telan walau pahit
Sesungguhnya sebuah persahabatan
Adalah untuk mengingati dan kepercayaan

Sahabat
Binalah sebuah cita-cita dan impian
Binalah keazaman dan kekuatan
Binalah kegagahan dan kecemerlangan
Dengan jalan keredhaan Al-Khaliq
Binalah sebuah kehidupan yang disinari
Cahaya kemurnian nurani
Suluhilah jiwa dengan iman
Basahkanlah kehausan minda dengan ilmu
Sesungguhnya tiada kekosongan dalam hidup
Jika kita mengasihi Al-Khaliq dan makhluknya


1997 - Kolej Kurniawan - D4

Kawan, memori itu datang menyapa seolahnya baru semalam kita bertemu. Suka duka kita bersama, gelak tawa, tangis, kenakalan, projek rahsia korang (aku tak terlibat yer), I really miss you guys.

Remaja

Aku amuk suara gema
Yang menjelma kian waktu
Ibarat pelarian aku dijengkelkan
Ejekan yang tiada maksud
Cuma menghasut sebuah kota hati suci
Kain putih dalam segenggam tangan ini
Tidak suka diconteng, dicarik
Aku ini buta dan tuli
Seorang tolol yang dangkal
Bagi mu segenggam kain putih
yang ku sulam di dada ku ini tidak indah
Kekok seorang manusia berdarah mentah
Jauh dan dalam pandang mata mu cuma sejengkal
Sejengkal juga budi akal
Milik mu untuk kau menjadi insan di dunia terbentang

Darah mu masih mentah
Tangan mu ibarat tulang kecil
untuk menduga selautan garam dunia
Hentikan lakonan dewasa mu
Budi, hati perut dan bakul jiwa mu
Tidak harus dipajak pada egois
tidak harus diseret untuk menjulang bongkak diri
Darah mentah mu jangan disuntik cemar
Kerana kita insan bakal tunggak dunia.


21 April 2000


Remaja harus sedar diri dan tidak harus leka dimakan arus dunia yang mereka pandang sebagai kehidupan benar mereka. Realitilah yang harus ditempuhi, bukan sekadar mengecap nama, meniru gaya dan membangga diri di antara teman tapi sebenarnya berjiwa kosong.

Si Buta

Rupanya aku ini buta dalam celik mata ku
Aku bernafas dalam ruang jelik
Tiada sempadan dapat dilangkau
Aku anak daerah ini
Aku ditakdir untuk meyelut lumpur
Aku ditakdir untuk menyambut sisa tulang busuk

Aku meratap serpihan lampau
Tangis dan sendu jiwa ku
Ku lontar di padang orang

Si buta
Tangannya luka
Tika menegakkan tiang rumah sendiri


untuk Palestin - 21/4/2000

Waktu

Seringkali aku marah pada waktu
Yang tidak setia pada ku
Hakikatnya akulah yang tidak setia
Pada lembaran hariku

Ketika aku leka daripadanya
Ia terus meninggalkan ku
Tercicir aku dari laluannya
Tersentak aku kali ini

Parut sesal melukai wajahku
Namun aku masih belum sedar
Aku leka sehinggalah akhirnya waktu
Telah mempermainkan diriku

Tersedar ku dari lamunan
aku jadi insan penghitung masa
Dan insan yang menyesal

Waktu tetap setia
Tidak seperti ku
Waktu tetap setia pada perjalanannya
Berdetik, bergerak, berjalan dan beredar

Waktu setia sepanjang usianya
Manusia yang akur pada waktu
Adalah manusia yangbersyukur
Atas limpah kurnia-Nya


4A3, 1995

Thursday, September 08, 2005

Doa

Resah rasa menenggelamkan diri dalam hanyut perasaan
Dugaan buat insan kerdil ini
Ya Allah, semua yang kau beri dan yang kau ambil adalah dugaan dari Mu
Aku katakan aku tabah
Aku katakan aku reda
Aku katakan aku pasrah berserah
Ya Allah adakah memadai dengan hanya mengakui
Namun aku masih disulami perasaan hanyut dan tenggelam kelemasan ini
Ya Allah hanya daripada Mu aku meminta
kerana semuanya adalah milik Mu
Hanya kepada Mu aku memohon
supaya diri ini dilimpahi limpahan kasih sayang,
Rahman dan Rahim Mu
Ya Allah, Tuhan penentu segala sesuatu
Pemberi rezeki yang tiada tolok bandingnya
yang tiada disangka-sangka oleh hambaNya
Yang Maha Pemurah bagi hamba-hambanya yang bertawakal.

Ya Allah yang Maha Mendengar, aku hamba Mu berdoa,
Ya Allah Yang Maha Mengasihi, aku hamba Mu meraih kasih Mu,
Ya Allah Yang Maha Mengasihani, aku hamba Mu yang lemah,
Ya Allah Yang Maha Kaya, aku hamba Mu yang meminta,
Ya Allah Yang Maha Pemurah, aku hamba Mu yang meminta,
Ya Allah Yang Maha Pemberi Rezeki, aku hamba Mu yang meminta,
Ya Allah Yang Maha Berkuasa, aku hamba Mu yang berserah.



Bingkisan doa dikarang Julai 2005

Himpunan puisi dan sajak

Banyak sajak yang ku tulis hanya untuk simpanan diriku selama ini. Semuanya bermula sejak tahun 1992/1993, dari alam bangku sekolah. Walau tak sehebat mana, walau tak sehebat arwah Pak Usman Awang, ia tetap cahaya pengertian yang serba indah yang kutitipkan jadi bait kata.

Puisi dan Sajak

Puisi adalah cahaya hati yang indah, mencari diri dalam susunan madah nan indah, menitip pengertian alam ciptaan Tuhan dan menyelusuri hati yang gundah.