Saturday, December 05, 2009

Aku Sedang Bercinta




Cuci mata...dan mengangankan untuk bermain di gigi air.
Aku seperti sedang jatuh cinta tatkala memandang langit biru
Sepertinya aku bersayap untuk menuju kejauhan yang indah itu

Aku seperti juga seorang yang sangat merindu
Melantunkan kesyahduan rasa dengan suara sayu
Begitu aku sedang bercinta dengan alam ciptaan Yang Maha Agung

Wednesday, December 02, 2009

Letih

Menjeruk dalam perbendaharaan
Di dalam kotak yang dipintukan
Menguliti perihal urusan berencana
Menjenuhi tugasan yang datang bergolek
Melenguhkan segenap atma dan fikiran
Membuatkan kerinduan yang dalam kepada alam
Pantai yang damai dengan air kebiruan
Gunung yang hijau dengan keramahan bayu

Aku letih...dan rindukan alam yang indah

Wednesday, November 18, 2009

Warna hati dan darah jantung

Hidup bagaimana yang dikejar manusia?

Bagaimana mengenal sama ada jiwa kita masih berbunga harum atau seperti pohon layu?

Tak mungkin hanya Tuhan yang tahu.

Kerana semua yang kita dapat adalah kerana usaha. Tanpa usaha manusia, Allah Maha Agung juga tak memberi.

Bagaimana mencari warna yang hilang?

Kita tahu ke mana menghilang, kita tahu bagaimana mewarnakan kembali, kita tak yakin adakah benar jalan yang kita pilih.

Darah yang mengalir menyambut kelangsungan perabdian yang menjadikan jantung.Kita terpasung dengan ketakutan.

Ya Allah, aku nampak jalan itu.

Sunday, November 01, 2009

Jejak-jejak di Pantai Zaman, penghormatan Ungku A. Aziz kepada Pendeta Za'ba

Aku sebenarnya terpaut, terpaku, terpempan, terpukul, terpana dan terkagum apabila membaca tulisan-tulisan Pak Za'ba yang dititipkan oleh Ungku A.Aziz dalam bukunya Jejak-jejak di Pantai Zaman. Segala perasaan yang bercampur baur terangkum amat dalam, berat dan bermakna pada jiwaku.

Pak Za'ba tidak pernah dikenali sebagai seorang yang ahli dalam ekonomi orang Melayu. Dia hanya dikenali sebagai Pendeta Bahasa dan Sastera. Tetapi sebenarnya Pak Za'ba, pada tahun 1927 pernah menulis rencana perihal ekonomi orang Melayu dan dasar yang boleh membantu membaiki kemiskinan orang Melayu. Malang bagi Pak Za'ba apabila menulis rencana itu, dia kemudiannya didatangi pegawai pengintip British, kenaikan gajinya juga dihentikan selama setahun dan dipindahkan ke jawatan yang dihadkan kepada kerja-kerja menterjemah sahaja, bukan mengajar supaya pengaruhnya dapat dikawal. "Rawatan istimewa" pemerintahan British dikelolakan oleh Mr. Hamilton dan seorang tali barut Melayu sentiasa melawat Pak Za'ba bagi memperbaharui 'rawatan'.

Pendeta Za'aba pada tahun 1927 telah menulis rencana bertajuk Kemiskinan Orang Melayu dan Jalan Keselamatan Bagi Orang Melayu di dalam Al-Ikhwan.


Kemiskinan Orang Melayu

Pendeta Za'ba sangat gusar melihat kemiskinan Orang Melayu. Miskinnya pada wang ringit, harta benda, cita-cita, pelajaran, latihan, sifat yang tinggi mulia, pada tumbuh dan subur hatinya, karya-karya yang mengangkatkan perasaan, tulisan yang meninggikan fikiran, asuhan yang sempurna dan keelokan perangai serta roh agamanya. Orang muda-muda leka membuang masa dengan kesukaan yang sia-sia (rasanya masa kini masih tak berubah), orang tua-tuanya pula terpasung dengan kepercayaan bodoh dan bukan-bukan akan hantu syaitan dan jin(rasanya juga tak berubah). Pendeta Za'ba memberi pandangan 360 darjah tentang kemiskinan bangsa Melayu.

Pendeta Za'ba menerangkan sebab yang menjadikan orang Melayu miskin.

1. Keadaan agama Islamnya dan kepercayaannya telah jatuh rendah daripada ketunggalan dan kebersihannya yang asli;

2. Beratus tahun kehidupan orang Melayu di bawah perabdian pemerintahan-pemerintah dari bangsanya sendiri. Hidup penuh kesempitan, azab sengsara, dan kebuasan yang tiada terderitakan (roh agama Islam jauh daripada jiwa pemerintah). Oleh itu, orang melayu memerlukan latihan khas bagi melawani latihan pesaka (perabdian) itu.

3. Tanah Melayu ini mewah dan subur. Orang Melayu tiada rajin dan tiada cekap bekerja melumbai bangsa-bangsa lain kerana negeri ini sengaja mewah dengan serba jenis makanan yang bleh dapat dengan taida susah payah atau sedikit usaha sahaja.

4. Tiada berpengetahuan darihal apa yang hendak dibuat, bagaimana membuat, dan sebab apa dibuat dan tidak pula tajam tentang hal perniagaan dan jalan perusahaan mencari duit.

Pendeta Za'ba menjelaskan jalan yang patut diusahakan oleh orang Melayu bagi membaiki kemiskinan itu sebahagian dalam rencana Kemiskinan orang Melayu dan sebahagiannya disambung dalam rencana Jalan Keselamatan bagi orang Melayu.

Jalan Keselamatan bagi orang Melayu.
1. Dengan diubati penyakit pengetahuan dan kemiskinan pelajaran dengan diberi pelajaran daripada jenis yang betul dan munasabah seperti latihan perniagaan daripada orang Cina(praktikal);

2. Latihan khas bagi melawani latihan pesaka (perabdian)itu menjadi orang yang menolong diri sendiri dan bergantung kepada diri sendiri (kemerdekaan diri) dengan menyediakan jalan membaca kitab-kitab yang memesrakan dalam hati akan fikiran-fikiran yang baru dan pengetahuan yang meluaskan lingkungan 'kaki langit'yang tampak oleh hati seseorang itu serta mengubahkan sifat-sifat keadaan dirinya.

3. Bekerja bersama-sama dalam pergerakan, bangkit bersatu mengumpulkan wang sesama sendiri (persatuan dan koperasi), dan 'memberi pelajaran' dijadikan pedoman , nyawa dan asas umbi pergerakan itu.

4. Bekerja bersama-sama dalam pergerakan mengumpulkan wang kutipan antara sesama sendiri bagi mengadakan biasiswa dan menghantar anak-anak muda belajar mengikut kecenderungannya dalam ilmu bahasa, penulisan, sejarah, falak, falsafah, agama, kejuruteraan, elektrik, jentera, enjin, membuat barang, membuat ramuan, ilmu perniagaan, ekonomi, berkebunan, penternakan, ilmu perhutanan, perlombongan, perikanan, veterinar, perundangan dan perubatan dan sebagainya.

5. Memberatkan kepada usaha berniaga dan perusahaan hasil-hasil tanah, pertanian, penternakan dan perikanan;

6. Mentadbirkan wang dengan tulus hati, amanah, kesungguhan cita-cita, kasihkan kaum dan gemarkan faedah ramai.

7. Bersiap sedia jika tidak berjaya, tidak takut dan gentar kepada kerugian, terus mencuba dan mencuba lagi sekiranya gagal.

8. Kepada orang melayu yang sebenarnya bersungguh-sungguh hendak menghasilkan jalan keselamatan bagi kaum Melayu ini, hendaklah jangan gentar walau bagaimana besar dan susahnya pekerjaan itu tidaklah mustahil disempurnakan jika bersatu.

9. Hendaklah mengeluarkan titik peluh sendiri, jalankan akal ikhtiar, gunakan sehabis daya upaya dengan tegas, tekun dan bersungguh-sungguh."Kita diberi balasan hanya sukat sebanyak yang kita usahakan sahaja".

10. Menubuhkan pergerakan atau persatuan penulisan, karya dan buku. Melengkapkan bilik-bilik membaca dan mutalaah dengan buku-buku yang boleh memberi pelajaran, asuhan dan mengangkatkan hati kepada perasaan-perasaan yang tinggi dan luas. Persatuan ini hendaklah mengadakan pertemuan, membahaskan ilmu-ilmu dan membiasakan ahlinya bercakap di tengah majlis. Selain itu, menterjemahkan buku-buku bahasa lain ke bahasa Melayu untuk faedah bangsa Melayu dan memberi hadiah tahunan kepada pengarang yang baik sekali karyanya bagi menggalakkan dan memberangsangkan hati hendak mengarang.

11. Wajib kepada orang muda-muda yang selama ini tiada ambil peduli atau asyik kegilaan mencari kesukaan untuk bersatu hati dengan wasitah persatuan.

Pendeta Za'ba melihat dan memahami hati budi perilaku bangsa Melayu. Dia seorang pemikir Melayu yang pertama menuliskan tentang masalah ekonomi orang Melayu. Dia memikirkan Jalan Keselmatan Orang Melayu. Tetapi jalan itu tidak dapat dikongsikan dan diperluaskan kepada anak bangsanya secara meluas dan hebat tatkala itu.

Terima kasih Ungku A.Aziz yang menyampaikan cebisan tulisan Pendeta Za'ba yang bakal hilang dari zaman jika tidak dituliskan dalam buku ini.

Monday, October 19, 2009

Aku suka di situ


Aku mencari cinta ku di celahan masa
Lalu aku temui dia dalam rimbunan rasa
Terkadang aku merindui dia dalam lamunanku
Terkadang aku peluknya erat dalam kotak ilham
Dan cinta itu kadang juga yang aku biarkan
Sehingga merajuk lalu terus meninggalkan ku tanpa muncul
Meninggalkan ku dalam derita percintaan yang parah

Aku merinduinya kerana tatkala bertemu pasti aku akan muncul di tanah indah itu. Sebuah tanah yang penuh kehormatan dan kecintaan. Sebuah kerajaan yang indah dan agung.

Aku berlari di bawah pohon besar yang merendang dan menjatuhkan untaian bunga Runya yang merah dan harum. Aku menikmati pemandangan padang yang hijau yang dipenuhi pohonan bunga mewangi pelbagai rona. Bunga-bunga itu terbang dan memenuhi anak sungai yang mengalir ke tasik dan ke aliran-aliran air yang dibentung ke rumah-rumah ladang.Gadis-gadis mengambil air untuk dijadikan mandian wangi. Pemuda-pemuda bekerja keras di ladang menuai hasil tanaman. Anak-anak kecil pula beradu kekuatan dengan perlawanan pedang kayu yang diukir oleh orang-orang tua.

Tanah yang penuh damai yang pernah dijanjikan Tuhan Yang Maha Esa untuk bangsa Daluwarsa. Aku suka di situ selalu.

Thursday, September 10, 2009

ceritera cinta siapa...

Jika hidup ini boleh diatur seperti resepi cup cake..bahan ini bahan itu..bakar..jadi kek cawan comel. Tambah keceriaan dengan warna-warna krim yang gembira. Kalau semudah itu...hmm. Apa pula resepi kek cawan penuh cinta? Bagaimana warna dan rasanya? Bahan mana yang padan dan sesuai yang pabila oven membakarkan, wangian harum cinta suci kek cawan comel itu memenuhi segenap ruang dapurku.

Masih mencari jejaka yang menghargai rasa yang kaya dari kek cawan yang ku bakar. Selalu kecewa kerana kek cawan dihakimi dengan warna dan hiasannya yang cantik sahaja. Kalau cantik itu yang dipandang mewakili keenakkannya, maka bahan adunan yang menjadi kandungan rasa kek itu tidak perlu disusah-susahkan. Tak perlu memasaknya dengan hati. Tanpa hati, rasa akan mati. Tanpa hati, tiada cinta.

Hmmm...kek cawan penuh cinta. Siapa yang bakal menghargainya?

ceritera cinta si pembakar kek...kalau kek itu comel..comel lagi si pembakarnya.



Aku sukakan hidup yang mengujakan ini. Yang datang itu selalu mencabar, tetapi itulah guru. Guru yang mengajar aku mencipta teori-teori kemahiran kehidupan yang kuterapkan dalam kerja, perhubungan dan hidup. Utusan kata William Wirt, Peguam Negara Amerika ke-9, 2 abad lalu sangat mengesan dalam pemikiran. "Seize the moment of excited curiosity on any subject to solve your doubts; for if you let it pass, the desire may never return, and you may remain in ignorance."

Begitu juga cinta. Kita seharusnya menyenangi wanita dan kemudian jatuh cinta. Tetapi untuk jatuh cinta memang sukar, kerana wanita yang disenangi tidak semestinya boleh dicintai. Wanita itu seperti pemandangan yang indah, walau lense telah mengunci pandang atas keindahan itu, tidak semestinya akan berhasil foto yang indah. Sedang menunggu keindahan yang ajaib, yang mendatangkan perasan seperti aku jurufoto terhebat dunia... Sedang menunggu hati berkata, ya! inilah dia orangnya. Siapa dia yang bakal menyenangi aku?

ceritera cinta si tukang gambar...kalau foto itu unik..unik sungguh si jurufotonya.


ceritera cinta siapa...

Monday, August 17, 2009

Sinar Iktibar Hikayat Munsyi Abdullah

Hikayat Abdullah adalah pembuka mata
Yang telah menegur bangsa yang berbahasa Melayu
Sejak 180 tahun dahulu

Nyata bangsa ini mengambil masa beratus tahun untuk berubah
Namun, ada yang kembali memelihara kekolotan kerana kebodohan
Sinar iktibar yang pernah dipancarkan oleh penanya adalah nyala terang kemilau
Tersimpan dalam timbunan sejarah seperti kubu yang runtuh dan ditimbus zaman

Kenapa kita simpan kehebatan itu menjadi eksklusif, jarang dikongsi dan tidak disedari? Hikayat Abdullah adalah kitab wajib baca bangsa Melayu.